Thursday, December 29, 2011

Pegawai Polis Kena Tetak


Keadaan Inspektor Mohd Firdhaust Zainal, 29, yang cedera parah akibat ditetak Selasa lalu, kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Yan, DSP Ismail Abu berkata mangsa kini berada dalam keadaan baik setelah menjalani pembedahan pada bahagian kaki kiri di HSB pada Rabu.
"Keadaan Mohd Firdhaust bertambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.
Mohd Firdhaust yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Yan cedera pada bahagian kaki kiri akibat ditetak dengan sebilah parang oleh seorang lelaki dalam pergelutan di Kampung Gelam 2, Alor Pudak, Bukit Besar di sini.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, seorang lagi pegawai yang juga berpangkat Inspektor mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Sebelum kejadian, sepasukan 12 anggota dan pegawai polis ke rumah suspek yang berusia 45 tahun untuk menyerahkan saman kepada suspek berhubung satu kes lain.
Bagaimanapun suspek yang melihat kehadiran polis mengambil parang panjang sebelum menyerang pegawai serta anggota polis itu serta merosakkan kenderaan mereka yang mana jumlah kerosakan yang dialami kenderaan polis itu dianggarkan RM2,500. - BERNAMA

Kes Tikam:Polis Buru Teman Serumah Rozana


Lelaki yang kini diburu polis bagi membantu siasatan kes seorang kerani bank yang mati dengan lebih 15 kesan tikaman pada 21 Dis lepas, adalah teman serumah mangsa.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu juga dipercayai teman lelaki mangsa.
"Kini kita giat mengesan lelaki terbabit bagi membantu menyelesaikan kes ini," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini pada Khamis.
Abdul Rahim juga berkata lelaki berkenaan dipercayai masih berada di dalam negara.
Pada Rabu, Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah memberitahu pemberita pihaknya telah mengenal pasti seorang lelaki yang dipercayai dapat membantu siasatan kes pembunuhan Rozana Mohd Yusak.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas motif serta hubungan lelaki itu dengan mangsa.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Rozana, 35, ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya, di rumah sewanya di Puncak Desa, kepong.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. - BERNAMA

Saturday, December 24, 2011

Penipuan Transaksi Beli Barang Melalui Internet Meningkat Sejak 2009

Polis menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dalam membuat transaksi bagi pembelian barangan melalui internet berikutan meningkatnya kes penipuan cara itu sejak tiga tahun kebelakangan ini.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 1,424 kes dilaporkan berbanding 1,114 kes sepanjang tahun lepas dan 551 kes pada 2009.
Jumlah kerugian untuk tahun ini pula ialah RM3.519 juta berbanding RM3.124 juta sepanjang tahun lepas dan RM786,000 bagi 2009, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata pada tahun ini, kes paling banyak membabitkan 'mudah.my' dengan 1,009 transaksi melibatkan kerugian RM1.7 juta, diikuti transaksi lain-lain sebanyak 415 kes dengan kerugian RM1.84 juta.
Selain itu, polis juga menerima 2,472 laporan mengenai kes penipuan kewangan atas talian sejak 2008 sehingga Okt tahun ini, dengan kerugian kira-kira RM19 juta.
Ramli berkata, modus operandi yang digunakan ialah dengan menyamar sebagai kakitangan bank atau pegawai polis, yang meyakinkan mangsa agar menyerahkan nombor akaun bank bagi mendapatkan tawaran hadiah, menyelesaikan hutang kad kredit atau tawaran mendapatkan barang lelongan kastam.
Katanya, mangsa hanya menyedari telah tertipu apabila mendapati wang dalam akaun mereka berkurangan.
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes berkenaan agar menghubungi urus setia Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di talian 03-26163972 pada waktu pejabat, atau bilik gerakan di talian 03-26163999 selepas waktu pejabat.- BERNAMA

Friday, December 23, 2011

pegawai kastan ditembak oleh gengster


Seorang pegawai penguatkuasa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia di sini mengalami kecederaan parah selepas dia ditembak beberapa kali oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali ketika sedang keluar dari rumahnya di Tanjung Minyak di sini pada Jumaat.
Pegawai berusia 52 tahun itu mengalami kecederaan di bahu kiri dan tangan, kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka.
Dalam kejadian jam 7.25 pagi itu, pegawai penyiasat tersebut sedang bersiap-siap untuk keluar rumah apabila sekumpulan lelaki menghampirinya dan melepaskan tembakan beberapa das.
Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan kejadian itu sambil menegaskan berdasar laporan para saksi, empat lelaki dilihat berada di hadapan kediaman mangsa sebelum kedengaran beberapa das tembakan.
Beliau juga berkata, sebagai tindak balas mempertahankan dirinya, mangsa turut melepaskan beberapa das tembakan menggunakan revolvernya.
"Keadaan mangsa kini stabil dan kita sedang meneruskan siasatan," ujarnya lagi.

Khir Toyo bersalah

Bekas Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir Toyo didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini terhadap tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri hartanah bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta di Seksyen 7 di sini, empat tahun lalu.

Hakim Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.
Mohamad Khir melalui peguamnya diberi peluang untuk mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman.

Friday, December 2, 2011

Lelaki ditembak polis miliki parang


Seorang lelaki yang ditembak dan ditahan selepas merempuh seorang anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Meru, Klang dekat sini semalam, disyaki terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, siasatan juga mendapati suspek berumur 23 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
"Rekod jenayah itu membabitkan kes curi kenderaan di Sungei Way, Petaling Jaya dan samun sehingga mendatangkan kecederaan di Damansara Utama pada 2007 serta pemulihan akhlak selama 18 bulan di Simpang Renggam pada 2008.
"Sembilan kes samun itu membabitkan kawasan sekitar Kapar di Klang, Puchong, Sungei Way dan Damansara antara 2007 dan tahun ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Khamis.
Mohd Adnan berkata, kereta jenis Vios, yang dipandu suspek, dilaporkan disamun di Puchong pada 15 November lepas dan dipercayai telah digunakan dalam kes cubaan samun di Sungai Buloh pada 29 November lepas.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, suspek yang kebetulan bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Meru, Klang, enggan keluar dari kereta selepas diarahkan berbuat demikian sebelum bertindak melanggar seorang anggota polis menyebabkannya cedera di tangan.
Ekoran tindakan suspek itu, polis melepaskan tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sebelum ia terbalik.
Tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek, yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Hasil siasatan pada kereta yang dipandunya, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah.
Mohd Adnan berkata, kira-kira sejam selepas ditahan, polis bertindak memeriksa sebuah hotel yang didiami suspek di kawasan Klang Utara, Klang, dan menemui seorang wanita berumur 18 tahun dipercayai teman wanita lelaki itu yang juga berasal dari Petaling Jaya.
"Dalam pemeriksaan di hotel itu polis turut menjumpai telefon bimbit, beberapa kunci kereta, komputer riba, jaket hitam dan sarung tangan. Suspek dan teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dismber ini untuk siasatan lanjut," katanya.-BERNAMA

Denggi: Dua Kematian Baru Pada Minggu Ke-47


Sejumlah 437 kes demam denggi dengan dua kematian telah dilaporkan pada minggu ke-47 dari 20 November hingga Sabtu lepas (26 Nov) sekaligus mencatatkan peningkatan kes sebanyak 20 berbanding minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman. Dr Hasan dalam satu kenyataan berkata, peningkatan itu adalah sebanyak lima peratus berbanding minggu sebelumnya iaitu 417 kes dimana tiada sebarang rekod kematian dicatatkan.
"Dua kematian itu dicatatkan masing-masing di Johor dan Selangor akibat komplikasi denggi iaitu 'Dengue Shock Syndrome'," katanya.
Menurut beliau, antara negeri yang menunjukkan peningkatan kes ialah Selangor dengan 21 kes (13 peratus), Johor 10 kes (42 peratus), Perak 8 kes (19 peratus), Melaka 1 kes (8 peratus), Pahang dan Sarawak masing-masing 2 kes (17 peratus)sementara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing meningkat sebanyak 1 kes (2 peratus).
Beliau berkata, pada keseluruhannya sejak enam minggu lepas terdapat peningkatan kes dengan purata lapan peratus setiap minggu berlaku di seluruh negara.
"Ia melibatkan negeri-negeri yang menunjukkan peningkatan kes berterusan sejak beberapa minggu lepas iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.
Menurutnya, sebanyak 78 lokaliti wabak denggi dipantau di seluruh negara dengan lima lokaliti 'hot spot' ditemui iaitu di Projek Perumahan Rakyat(PPR)Desa Tun Razak dan PPR Taman Mulia di Cheras, Flat Taman Gembira dan Taman Sri Petaling di Klang Lama, dan di Seksyen 35 (Teres B Alam Impian) di Klang. -BERNAMA

halaman