Monday, January 9, 2012

Ujian Darah, Air Kencing Pengawal Peribadi Presiden PKR Negatif Racun, Dadah


Keputusan ujian Jabatan Kimia terhadap sampel darah dan air kencing pengawal peribadi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail didapati negatif pengaruh racun atau dadah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata keputusan ujian terhadap sampel darah dan air kencing Fayyadh Afiq Albakry Jaafar Sidek, 26, yang cedera di tangan kiri dipercayai dicucuk dengan objek tajam dalam satu ceramah di Cheruk Tok Kun pada Sabtu, diterimanya petang ini.
"Saya baru terima keputusan ujian itu petang ini dan ia (keputusan) negatif,darah dan air kencingnya (Fayyadh Afiq) tidak ada kesan benda asing termasukracun atau dadah," katanya kepada Bernama di sini Isnin.
Katanya, Fayyadh Afiq, yang dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), telahkeluar daripada hospital tengah malam tadi.
"Beliau sendiri yang meminta untuk balik (keluar hospital) kerana mendakwa telah sihat," katanya.
Ayub berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengetahui punca sebenarkecederaan mangsa.
Dalam kejadian itu, Fayyadh Afiq mendakwa tangannya dicucuk benda tajam ketika mengiringi Wan Azizah ke pentas untuk memberi ceramah di Galeri Pejuang di situ, pada kira-kira pukul 10 malam.
Fayyadh Afiq, yang berasal dari Seberang Jaya, ketika ditemui di HSJ dilaporkan berkata, dia tidak pasti bagaimana tapak tangannya cedera kerana ketika kejadian orang sangat ramai dan keadaan kelam-kabut. - BERNAMA

Timbalan Setiausaha Kementerian Belia dan Suka didapati bersalah kes khalwat

Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 52 dan bekas pembantu peribadinya, Nur Diayana Norslan dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau lima bulan penjara selepas didapati bersalah kerana berkhalwat di sebuah hotel di Batu Feringgi di sini, April tahun lalu. 

Hakim Mahkamah Syariah negeri, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan hukuman selepas menilai semua faktor dan aspek. 

Wednesday, January 4, 2012

Bantuan selesaikan saman trafik


Polis mengingatkan orang ramai agar tidak terpedaya panggilan individu menggunakan nombor telefon Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, yang mahu membantu mengurangkan kadar saman trafik.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kebelakangan ini, polis menerima tidak kurang 50 aduan setiap hari berhubung penggunaan nombor 03-22662222/03-22663444dan beberapa sambungan lain di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Kebanyakan pemanggil memperdaya penerima bahawa mereka boleh mengurangkan kadar saman trafik de­ngan syarat pembayaran mesti dilakukan dengan memasukkan duit ke akaun bank pemanggil,” katanya.

Ramli menasihatkan orang ramai agar mendapatkan butiran pemanggil dan memberitahu akan memanggil semula si pemanggil menggunakan nombor tertera.

“Proses verifikasi seperti ini boleh mencegah kejadian penipuan kononnya daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman,” katanya.

Ramli berkata, polis menerima laporan mengenai penipuan menggunakan nombor talian ini daripada orang ramai dan pihaknya akan menyiasat dengan segera.

Beliau berkata, semakan panggilan melalui sistemnya dan Telekom Malaysia juga mendapati tiada panggilan keluar oleh pihak polis dibuat ke atas nombor yang dinyatakan pengadu.-Bernama

Polis Temerloh Tumpas Kumpulan Remaja Aktif Pecah Rumah, Curi Motosikal


 Polis Daerah Temerloh berjaya menumpaskan sebuah kumpulan remaja bawah umur yang aktif melakukan aktiviti pecah rumah dan mencuri motosikal sepanjang tahun lalu di sekitar Taman Temerloh Jaya, Temerloh Makmur dan Taman Bahagia di sini.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Nor Mansor berkata kumpulan itu yang merupakan empat remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun melakukan kegiatan pecah rumah yang ditinggalkan oleh penghuni kerana bercuti.
"Kumpulan itu turut mencuri motosikal pada waktu malam dan kebanyakan barang yang dicuri dijual kepada orang yang tidak dikenali dan juga untuk kegunaan mereka sendiri," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.
Menurutnya hasil maklumat awam, tiga remaja tersebut ditangkap di tiga buah rumah berasingan di Taman Temerloh Jaya dan Temerloh Makmur pada 29 Dis lepas, namun perancang kumpulan itu yang berusia 17 tahun masih bebas.
Mohd Nor berkata dengan penangkapan tiga anggota kumpulan terbabit, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan tiga kes pecah rumah, empat kes curi motosikal dan beberapa kes curi tong gas serta basikal di tiga taman perumahan tersebut.
Katanya antara barang curi yang ditemui semula daripada kumpulan itu ialah enam buah pembesar suara, dua unit dekoder Astro, satu unit pemain video digital, dua motosikal mini dan lima buah tong gas.
Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 179A akta yang sama berkaitan curi motosikal.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nor berkata pihaknya berjaya menurunkan kes jenayah indeks sebanyak 6.3 peratus sepanjang tahun lalu yang membabitkan 446 kes jenayah yang dilaporkan berbanding 476 kes pada tahun 2010.
"Polis Temerloh juga berjaya menyelesaikan 50.9 peratus atau 227 kes tahun lalu berbanding 276 kes atau 57.98 peratus pada tahun 2010 yang sebahagian besar adalah berkaitan curi motosikal dan pecah rumah," katanya. - BERNAMA

Sunday, January 1, 2012

AWAS! UBAT PERANSANG SEKS DIJUAL DALAM PRODUK MAKANAN

 Pelbagai produk yang merupai coklat atau kopi dengan balutan yang tertera kata-kata yang menjanjikan kekuatan luar biasa didapati memenuhi pasaran dan boleh membahayakan kesihatan.
Terdapat sindiket yang memperalatkan produk berbentuk makanan atau suplemen untuk mengelabui mata pengguna dengan menjanjikan kekuatan yang luar biasa sedangkan ia mengandungi bahan-bahan yang dikawal seperti Cialis, Viagra dan Levitra.
Ketiga-tiga bahan tersebut digunakan untuk meransang seksual lelaki.
Dalam pada itu, ubat-ubatan seperti tadanafil, sildenafil dan verdenafil juga adalah bahan terkawal dan jika digunakan tanpa nasihat pakar perubatan boleh mendatangkan bahaya kepada tubuh badan.
Pengarah Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan, Mohd Hatta Ahmad berkata, terdapat sindiket yang menambah bahan-bahan ini ke dalam produk-produk berkenaan khususnya produk ubatan tradisional yang digunakan untuk menambah atau merangsang kebolehan seksual lelaki.
"Oleh kerana kawalan kami ke atas bahan-bahan ini sangat ketat sindiket berkenaan telah mengubah taktik dengan memperalatkan bahan makanan tambahan atau suplemen untuk mengelabui mata masyarakat," ujarnya.
Sepanjang tempoh dua tahun ini, Bahagian Perkhidmatan Farmaseutikal Kementerian telah menemui pelbagai bahan terkawal yang dilarang di dalam produk-produk makanan untuk merangsang kekuatan seksual lelaki.
"Pada tahun 2009, kami telah merampas pelbagai produk yang mengandungi bahan-bahan ini bernilai lebih RM600,000 yang menganduni pelbagai bahan-bahan perangsang seks dan kebanyakkannya dijual dalam bentuk ubat-ubatan tradisional.
"Jumlah ini didapati meningkat dengan mendadak pada tahun 2010 apabila kami merampas produk-produk seumpama itu bernilai lebih RM3.8 juta," ujarnya lagi.
Hatta juga berkata, trend ini berterusan pada 2011 dengan rampasan bernilai RM2.7 juta setakat ini.
Bahan-bahan ini boleh mengancam nyawa jika ia diambil tanpa nasihat doktor atau pakar perubatan khususnya bagi mereka yang mempunyai masalah jantung.

selamat tahun baru 2012

Friday, December 30, 2011

Lima kepala babi dimasjid desa jaya Johor Baharu

Lima kepala babi ditemui di luar pintu pagar masuk utama Masjid Al-Falahiah, Taman Desa Jaya, Johor Bahru, pagi ini.

Kepala babi itu, dalam satu bungkusan, disedari seorang penjaga masjid itu pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Tiga lagi bungkusan yang dipercayai mengandungi tulang, juga ditemui dekat situ, tetapi polis kemudiannya mengesahkan ia mengandungi batu.

Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata polis menubuhkan sebuah pasukan siasatan yang diketuai timbalannya, Datuk Ismail Yatim untuk menyiasat kejadian tersebut.

Ketua Polis Johor , Datuk Mokhtar Mohd Shariff (kanan dalam gambar) berkata, satu pasukan khas yang diketuai timbalannya, Ismail Yatim, ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

Mokhtar juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ini ekoran satu lagi kejadian di mana dua bungkusan yang disyaki mengandungi tulang, ditemui pada jam 5.30 petang semalam di masjid yang sama.


************************************
Polis Tahan Tiga Lelaki Termasuk Teman Lelaki Rozana Yusak

Tiga lelaki, termasuk teman lelaki Rozana Mohd Yusak, 35, wanita yang ditemui mati dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong 21 Dis lepas, ditahan polis pada Khamis.
Sumber polis berkata kesemua mereka berumur 19 hingga 20 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pantai Dalam dan Datuk Keramat.
"Dalam tangkapan pukul 8 malam sehingga 1 pagi itu, polis juga merampas sebuah komputer riba milik mangsa daripada salah seorang suspek," katanya.
Menurut sumber itu, ketiga-tiga lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi ini dan direman tujuh hari sehingga 6 Jan depan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata sidang media mengenai kes tersebut akan diadakan pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor oleh Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Rozana ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya, di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. - BERNAMA
*****************************************************************
Pengedar Dadah Mati Selepas Tembak Menembak Dengan Polis
 Seorang pengedar dadah yang dikehendaki polis mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Sungai Lokam, Butterworth malam Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakop berkata lelaki berusia 36 tahun dan berasal dari Butterworth itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
"Sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan pada 10.30 malaqm tadi telah mengekori kereta yang dipandu lelaki berkenaan sehingga ke tempat kejadian selepas mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.
Beliau berkata sebaik lelaki yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah termasuk mengedar dadah itu menyedari diekori polis, dia bertindak memecut keretanya.
Katanya apabila polis memintas kereta itu di Sungai Lokam, lelaki itu terus keluar dari kenderaan itu dan melepaskan beberapa tembakan ke arah polis.
"Anggota kita bertindak membalas tembakan dan terkena lelaki yang memang dikehandaki polis itu dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Ayub berkata polis menemui sepucuk pistol dan sejumlah peluru serta dua ketul dadah jenis ganja seberat 1.2 kilogram dalam kereta itu.
Katanya polis turut menemui topeng muka, sarung tangan, satu batang rotan dan sebuah komputer riba, dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.
"Siasatan juga mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan senjata api dan dadah yang kedua-duanya masih dalam perbicaraan," katanya.
Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki dan merampas dua pucuk pistol bersama 80 butir peluru dalam sebuah kereta yang dipandunya di Nibong Tebal malam tadi.
Ayub berkata lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan positif dadah itu direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206). - BERNAMA
****************************************
Edar Syabu, Pereka Hiasan Dalaman Ke Tali Gantung
 Seorang pereka hiasan dalaman dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 3.98 kilogram, tujuh tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Boon Kwang, 40, dari Johor Baharu, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, beliau menolak pembelaan Lee yang mendakwa dia tidak mengetahui tentang dadah itu dan menafikan beg yang mengandungi dadah berkenaan adalah miliknya.
Lee, yang bekerja di Singapura, didakwa mengedar 3,984.4 gram dadah jenis methylenedioxy methamphetamine (MDMA) di pejabat Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada pukul 7.10 pagi, 25 Sept 2004.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman sementara Lee diwakili peguam Zamani Dolmat yang menyebut bagi pihak peguam James George.
Lee sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan memiliki dadah yang sama mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, dia kemudian diperintah membela diri atas tuduhan mengedar dadah selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sama yang meminda pertuduhan itu. - BERNAMA

halaman