Thursday, January 12, 2012

UiTM diarah bayar ganti rugi lebih RM250,000 kepada bekas pelajar oleh mahkamah

 Mahkamah Tinggi di sini, semalam memerintahkan Universiti Teknologi MARA (UiTM) membayar lebih RM250,000 kepada bekas pelajarnya yang cedera teruk akibat terjatuh di premis institusi itu, lima tahun lalu. 

Hakim Datuk Hinshawati Shariff membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan seorang Eksekutif Bank, Nur Fairuzah Amat @ Saini terhadap UiTM, dengan kos.
Beliau mengarahkan UiTM membayar ganti rugi RM254,058.99 kepada plaintif termasuk ganti rugi istimewa RM24,058.99; ganti rugi am dan kos pembedahan pada masa depan (RM70,000); ganti rugi untuk penderitaan serta kehilangan upaya serta ganti rugi kerana kehilangan keupayaan mendapat lebih tiga anak berikutan kejadian itu.
Nur Fairuzah, 30, yang memfailkan tuntutan pada 2008, menyatakan beliau pelajar sepenuh masa di kampus defendan dan mengikuti kursus di peringkat ijazah dalam bidang perakaunan dari 2003 hingga 2005. 

Plaintif yang berjaya menamatkan pengajiannya, diminta hadir oleh defendan di premis bangunan universiti itu iaitu di Bangunan Menara Sultan Abdul Aziz Shah untuk mengambil jubah dan menyertai raptai konvokesyen pada 21 Mei 2006. 

Beliau menyatakan, ketika berada di tingkat dua lobi lif bangunan berkenaan, plaintif terlanggar sesuatu dan hilang keseimbangan lalu terjatuh dari balkoni ke tingkat bawah, pada ketinggian kira-kira 20 kaki. 

Nur Fairuzah menyatakan, ketika kejadian, kawasan di depan lif itu dalam proses ubah suai naik taraf kerana ada banyak pasir dan bahan binaan manakala besi penghadang mengelilingi balkoni berkenaan dialihkan untuk kerja pembinaan, tanpa notis amaran atau papan tanda. 
Beliau menyatakan, defendan gagal mengambil langkah pencegahan kemalangan secukupnya di kawasan dan di sekitar kawasan yang sedang diubah suai itu, gagal mempamerkan papan tanda atau notis amaran kepada orang ramai dan plaintif supaya berhati-hati selain gagal menutup kawasan itu daripada dimasuki plaintif. 

Plaintif juga menyatakan dalam tuntutannya, berikutan kejadian itu, beliau dikejarkan ke hospital dan dirawat selama sebulan akibat cedera teruk, termasuk menjalani pembedahan di bahagian tulang belakangnya. 

Dalam penghakiman itu, Hinshawati turut mengarahkan UiTM menanggung 70 peratus daripada liabiliti berkenaan manakala 30 peratus lagi ditanggung oleh syarikat kontraktor yang menjalankan kerja ubah suai itu. 

Tauke balak Pulau Pinang kena reman


Tauke balak Pulau Pinang pula kena reman 4 hari

 Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima rasuah. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

TAUKE balak dari Pulau Pinang (gambar kiri) dan pegawai Jabatan Perhutanan Perak (kanan) diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapat dan melanjutkan tempoh  tahanan reman, semalam.
TAUKE balak dari Pulau Pinang (gambar kiri) dan pegawai Jabatan Perhutanan Perak (kanan) diiringi pegawai SPRM ke Mahkamah Majistret Ipoh bagi mendapat dan melanjutkan tempoh tahanan reman, semalam.


 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang lagi 'tauke balak' dari Pulau Pinang berhubung siasatan kes rasuah balak membabitkan pegawai Jabatan Perhutanan Perak.
Ia susulan penahanan seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan negeri bersama rampasan wang tunai RM720,000 serta akaun saham amanah mencecah RM4 juta di Grik, 4 Januari lalu.
'Tauke balak' berusia 41 tahun itu ditahan ketika datang ke pejabat SPRM di Bandar Meru Raya, di sini jam 7 petang kelmarin bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, SPRM mendapat kebenaran Mahkamah Majistret di sini untuk menahan reman lelaki itu selama empat hari.

Selain 'tauke balak' berkenaan, pegawai SPRM turut membawa pegawai Jabatan Perhutanan Perak berusia 50 tahun terbabit ke mahkamah sama bagi mengemukakan permohonan melanjutkan tempoh reman ke atasnya.

Mahkamah membenarkan SPRM melanjutkan tempoh reman pegawai terbabit selama lima hari lagi. Reman ke atas pegawai itu sepatutnya berakhir semalam. 
Perintah reman baru ke atas 'tauke balak' dan sambungan reman membabitkan pegawai itu dikeluarkan Majistret Fauziah Hani Ahmad Fuzi di kamarnya.

Pada 4 Januari lalu, SPRM menahan pegawai berkenaan dan merampas wang tunai RM720,000 ketika menyerbu rumahnya di Grik pada kira-kira jam 10 malam. SPRM turut menemui beberapa akaun saham amanah atas nama ahli keluarganya yang nilai pelaburannya mencecah RM4 juta.

Serbuan itu susulan penahanan seorang pegawai jabatan sama berusia 40-an dan seorang 'tauke balak' di Hutan Kuar, Pangkalan Hulu, pada sebelah siang dan menyita 300 batang kayu balak, dipercayai ditebang di luar kawasan.



Wednesday, January 11, 2012

Pencuri Tasbih berlian dan Al-Quran tulisan emas dihukum penjara 10 tahun


Seorang pembantu khas di sebuah syarikat swasta pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri pelbagai barangan termasuk tasbih berlian dan Al-Quran dengan tulisan emas bernilai lebih RM2 juta milik majikannya.
Nur Khairunisa Zolkifli, 26, dituduh mencuri barangan milik seorang ahli perniagaan dari Arab Saudi, Hamou Abdallah Sadji, 63, di rumahnya di A 32-2-1 Hampshire Residence 2A, Persiaran Hampshire di sini pada Mei 2011.
Dia dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman 10 tahun penjara atau denda jika sabit kesalahan.
Barangan itu termasuk 50 tali leher berjenama, dua jam tangan berjenama Swiss, 50 pakaian jenama Louis Vuitton, 40 botol minyak wangi, dua beg berjenama, pasport pembantu rumah majikannya, telefon bimbit, kamera, dan wang tunai berjumlah RM60,000.
Majistret Parveen Hameedah Nachtiar menetapkan 16 Februari untuk tarikh sebutan dan membenarkan Nur Khairunisa dijamin RM30,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping manakala tertuduh diwakili Choy Chi Ping. - BERNAMA

Rita Rudaini berperang dengan Zakuan lagi

Inilah entri Rita Rudaini yang ditulisnya pada petang Selasa menyelar individu tertentu.
Zaquan Adha meluahkan perasaan marah dalam Twitter miliknya pada entri petang Selasa.
Zaquan Adha Abd Radzak menasihati kakak iparnya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar agar tidak menyebarkan fitnah kononnya dia telah melakukan perkara tidak baik terhadap seorang wanita.
Zaquan berkata tuduhan yang ditulis dalam entri Twitter milik Rita itu adalah sebagai satu ugutan yang bertujuan untuk memalu serta menjatuhkan maruahnya sebagai orang yang dikenali.
"Terlalu banyak tuduhan berbaur negatif yang dia (Rita) lemparkan kepada saya. Terus terang saya katakan, dengan apa yang ditulis dalam Twitter itu sebenarnya berbaur ugutan kepada saya.
Perbalahan antara mereka tercetus apabila masing-masing dilihat mengeluarkan kenyataan sinis melalui laman sosial tersebut walaupun tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan.
Dalam entri Twitter Zaquan, suami kepada pelakon Ayu Raudhah ini meluahkan rasa kecewa terhadap seorang individu yang tidak pernah pulang ke rumah untuk menjenguk mertua.
Malah Zaquan meminta individu berkenaan tidak mencari masalah dengan sikapnya yang dilihat semakin melampaui batas.
Tambah Zaquan melalui Twiter terbabit, jika dia menjadi “batu api” dalam kemelut yang melanda keluarga, ia adalah disebabkan keinginan dia untuk menyelamatkan abangnya daripada seseorang yang dianggap kejam.
Dalam pada itu menurut Zaquan, dia enggan memberi komen tentang perbalahan antara mereka kerana risau jika isu tersebut akan memburukkan lagi keadaan dan keluarga.
"Saya tak mahu komen tentang perbalahan kami ini. Orang ramai boleh menilai sendiri dengan apa yang ditulis dalam entri Twitter saya itu.
"Tuduhannya sudah melampau dan saya tidak boleh bersabar dengan dakwaannya itu. Kerana itu, saya membalas setiap apa yang dituduh," kata Zaquan.
Bagaimanapun, Zaquan mengakui dia menyesal dengan entri tersebut yang boleh mengundang suasana “panas” terhadap individu yang dimaksudkan.
Sementara itu dalam entri Twitter milik Rita Rudaini pula, pelakon itu sekali lagi menyelar pihak tertentu yang cuba mencampuri urusan rumah tangganya sehingga tahap kesabaran dia telah hilang.
Rita dalam entri petang Selasa menulis pelbagai perkara sensitif tanpa menyebut nama individu yang dimaksudkan termasuklah mengisytiharkan “perang” bagi “membongkar” rahsia yang disimpannya.
“Jantan macam tu tak boleh dibiarkan... dia nak sangat malukan saya, meh kita start the game,” katanya.
Rita yang juga isteri kepada kembar Zaquan iaitu Aidil Zafuan dalam Twitter berkenaan turut berkata, seseorang yang hendak meruntuhkan masjid (merujuk kepada rumah tangganya) akan menerima balasan daripada Allah.
Kata Rita lagi, pihak yang membuat tuduhan kepadanya telah beberapa kali melakukan kejahatan sehingga diberi balasan dengan musibah patah kaki.

wanita 17 tahun baru 2 hari lahirkan anak ditahan bersama dadah Rm 150

Ibu Berusia 17 Tahun Antara 12 Ditahan Bantu Siasatan Kes Edar Dadah
Polis menahan 12 suspek termasuk seorang gadis berumur 17 tahun yang baru dua hari melahirkan anak dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM150,000 dalam dua operasi pada Sabtu dan Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata ibu muda itu ditangkap bersama empat lelaki dan dua wanita lain di sebuah unit di Apartmen Vista Indah pada 12 tengah hari, Ahad lepas.
Premis itu dipercayai dijadikan tempat pembungkusan dadah dan polis merampas 11 paket lutsinar mengandungi dadah dipercayai jenis syabu seberat 170.2 gram dan lima paket mengandungi 1,480 biji pil ecstacy seberat 690gram, katanya pada sidang media, di sini, Selasa.
Ujian air kencing ke atas semua suspek yang berumur antara 17 dan 41 tahun termasuk ibu muda berkenaan mendapati mereka positif dadah.
"Siasatan mendapati bayi remaja itu masih berada di hospital," katanya.
Sementara itu, Mohamad berkata polis menahan lima warga Indonesia berumur dalam lingkungan 20 dan 30an di sekitar Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas di sini Sabtu lepas, dipercayai terlibat mengedar ganja sekitar Klang.
Katanya mereka ditangkap selepas suspek pertama diberkas do tempat letak kenderaan Jalan Sri Sarawak, Taman Sri Andalas kira-kira 8 malam.
Polis menemui ketulan mampat ganja seberat 950gram pada suspek pertama itu dan siasatan membawa kepada serbuan di sebuah rumah di kawasan sama.
"Di rumah itu polis menahan empat lagi warga Indonesia," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Bom 901 bukan polis punya

Kon Bersama Bahan Letupan Bukan Milik Polis - Ku Chin Wah

 Polis, pada Selasa mengesahkan kon yang ditemui bersama bahan letupan pada perhimpunan di pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Isnin, bukan milik mereka.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata berdasarkan analisis ke atas kon terbabit, bentuknya didapati tidak menyamai kon polis yang diletakkan di sekitar kawasan berkenaan.
"Memang sekali imbas macam polis punya (kon). Tapi bila kami adakan analisis ke atasnya, kami dapati ia lebih besar, buatan dan warnanya lain daripada kon polis.
"Kon itu juga tidak tertulis perkataan 'POLIS'. Ada pihak yang letakkannya bersama-sama kon polis yang lain," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.
Beliau mengulas mengenai kejadian tiga letupan yang berlaku semasa penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berhimpun di pekarangan kompleks mahkamah itu bagi menunggu keputusan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang tersebut semalam. Mengulas lanjut, Ku berkata siasatan terhadap bom jangka buatan sendiri yang ditemui di lokasi perhimpunan itu juga mendapati ia mempunyai bateri dan jam yang telah ditentukan lebih awal untuk membuatkannya meletup.
Katanya siasatan juga mendapati ketiga-tiga letupan diperbuat daripada bahan yang sama.
"Ia juga dipercayai diletakkan oleh orang yang sama," katanya.
Tiga letupan itu yang mengakibatkan lima cedera berlaku sejurus Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan. - BERNAMA

cubaan Samun si Wangsa Maju: Dua lelaki ditembak mati

Anggota polis memeriksa mayat salah seorang daripada dua lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah kereta dipercayai akibat terkena tembakan polis. Mereka sebelum itu cuba menyamun seorang wanita di hadapan sebuah bank di Wangsa Maju, Kuala Lumpur sebelum berbalas tembakan dengan anggota polis. - FotoBERNAMA 

Dua lelaki yang sebelum itu cuba menyamun seorang wanita di hadapan sebuah bank di Wangsa Maju di sini, Selasa, ditemui mati di dalam sebuah kereta dipercayai akibat terkena tembakan polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata suspek sebelum itu berbalas tembak dengan polis dan berjaya meloloskan diri dengan kereta tersebut.
Polis juga percaya ada suspek ketiga yang melarikan diri dari kereta itu yang terbabas dan melanggar sebuah kereta lain di Jalan Madrasah, berhampiran Stesen LRT Putra Taman Melati, tidak jauh dari lokasi berbalas tembak dengan polis, katanya kepada pemberita di sini.
Mengulas kejadian 2.50 petang itu, Ku berkata polis yang menerima laporan cubaan samun menghantar kereta peronda ke kawasan terbabit dan berjaya mengesan sebuah kereta jenis Proton Putra yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Polis kemudian mengejar kereta tersebut yang memecut laju sebelum berlaku kejadian berbalas tembak, namun kereta yang dinaiki suspek berjaya lolos daripada pandangan polis.
Katanya tidak lama kemudian polis mendapat laporan kereta jenis yang sama terbabas dan melanggar sebuah kereta lain.
"Apabila kami tiba, kelihatan kereta tadi remuk di bahagian hadapannya serta dua lelaki yang duduk di tempat pemandu dan kerusi penumpang di sebelahnya mati.
"Siasatan yang dijalankan mendapati kereta tersebut merempuh belakang sebuah kereta jenis Vios yang dipandu serang wanita hamil. Bagaimanapun wanita itu tidak mengalami kecederaan," katanya.
Ku berkata saksi juga mendakwa seorang lelaki dilihat melarikan diri dari kereta tersebut dengan menjinjing sesuatu dipercayai senjata api.
"Berdasarkan kad pengenalan yang ditemui di dalam poket suspek pertama berumur 45 tahun itu, siasatan polis mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau iaitu samun kereta mewah dan rompak bank serta dikehendaki dalam lima kes di ibu negara dan Kelantan.
"Manakala suspek kedua berumur 35 tahun itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya.
Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat, katanya. - BERNAMA

halaman