Wednesday, June 27, 2012

bukit tinggi: pengurus ditembak

Terkena tembakan jarak dekatSeorang pengurus pusat refleksologi cedera parah di bahu kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal ketika mangsa sedang memandu kereta berseorangan di persimpangan lampu isyarat Taman Bayu Perdana, di sini lewat petang semalam.

Berikutan itu, mangsa dikenali Teo Kian Soon, 40, beralamat di Bukit Tinggi dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu kereta jenis Toyota Camry dari Jalan Bayu Perdana menuju Klang sekitar jam 5 petang.

“Ketika sedang memandu, mangsa telah ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dan telah mengenai bahu kanan.

“Sebaik tembakan dilepaskan kedua-dua suspek melarikan diri. Mangsa yang mengalami kecederaan di bahu kanan menggagahkan diri dengan memandu keretanya ke sebuah pusat perubatan swasta tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun isterinya yang tiba tidak lama kemudian membawa mangsa ke HTAR,” katanya.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat berdasarkan kesan pecah pada cermin tingkap sebelah pemandu.

“Berikutan itu, polis kini sedang menjejaki kedua-dua suspek yang menaiki motosikal dan tidak diketahui nombor pendaftarannya.

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tuesday, June 26, 2012

Warga Emas dihukum gantung bunuh teman wanita tak mahu dikahwini

Seorang tukang masak dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita yang enggan berkahwin dengannya tahun lepas.

Othman A. Aziz, 61, dijatuhkan hukuman itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata berdasarkan keterangan pakar patologi, terdapat 26 luka tikaman dan empat luka hirisan pada bahagian dada dan belakang mangsa.
    
"Luka tikaman itu menembusi organ dalaman si mati dan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh si mati. Jadi mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh mengikut peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Othman didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di dalam sebuah bilik bernombor G 12 di rumah nombor 1926H, Taman Mahkota, Jalan Stadium di Alor Star antara pukul 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi 3 Mei 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Othman yang merupakan bapa kepada dua orang anak dalam rayuannya memohon maaf kepada isteri dan anak-anaknya serta keluarga mangsa.
    
"Saya mohon mahkamah pertimbangkan rayuan kes saya dan saya insaf dengan apa yang telah terjadi. Saya juga mohon agar mahkamah mempertimbangkan supaya saya boleh menjalani hukuman penjara di Selangor kerana keluarga saya berada di sana," katanya.
    
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam A. J. Surinarayanan.

- Bernama

Wanita dibakar teman lelaki meninggal dunia

Wanita yang parah dibakar teman lelakinya selepas bertengkar di sebuah rumah di flat Taman Segar, Cheras, Jumaat lepas, meninggal dunia hari ini.
    
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata wanita berusia 23 tahun itu meninggal dunia pukul 12.50 tengah hari di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas melecur teruk 90 peratus.
    
"Sehubungan itu, polis menahan reman teman lelakinya berusia 35 tahun itu sehingga Jumaat (29 Jun) untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
    
Teman lelaki wanita itu, yang ditahan pada hari kejadian, turut melecur di tangan dan dirawat di PPUKM.
    
Kejadian pada jam 3 pagi itu disedari jiran mangsa setelah mendengar jeritannya sebelum mendapati ruang tamu rumah berkenaan musnah terbakar. 

- Bernama

Tuesday, June 19, 2012

SPRM boleh siasat tapi tiada kuasa mendakwa


Laman web SPRM memaparkan pangkalan data pesalah rasuah.



Lebih 900 individu yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah termasuk personaliti berprofil tinggi disenaraikan dalam laman web yang lengkap dengan gambar, data peribadi dan sejarah kes.
Pangkalan data pesalah dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah.
Profil berkenaan yang diwujudkan pada 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun.
Pesalah rasuah terdiri daripada ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri.
Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela.
Carian boleh dilakukan berdasarkan nama atau nombor kad pengenalan pesalah.
Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah."
Dalam satu temu bual, beliau berkata SPRM sejak akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa menawarkan rasuah juga satu kesalahan.
"Tidak akan wujud penerima jika tiada pemberi rasuah," katanya.
Pada tahun lalu, peratusan kejayaan SPRM dalam mendapatkan sabitan adalah sebanyak 75% daripada 388 kes, berbanding hanya 72% daripada 309 kes pada 2010.
Kira-kira 463 individu didapati bersalah tahun lalu termasuk mereka yang mengaku bersalah, berbanding 272 pada 2010.
Pada Januari hingga Mei tahun ini, seramai 211 orang didapati bersalah.
Jumlah mereka yang dipenjarakan tidak diketahui tetapi beliau berkata kira-kira RM10.9 juta bayaran denda diterima pada tahun lalu berbanding hanya RM9.5 juta pada 2010.-MS
------------------------------------------------------------------------



Kerajaan tidak berhasrat untuk menyerahkan kuasa mendakwa kes-kes rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tanpa merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu Parlimen, Isnin, ini kerana terdapat keperluan untuk memeriksa dan mengimbangi atau "pemikiran bebas" antara penyiasatan dan pendakwaan.
Beliau berkata Ketua Pesuruhjaya dan pegawai-pegawainya diberi kuasa untuk menyiasat di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009 manakala Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan apa-apa prosiding kecuali mahkamah syariah dan tentera.
Beliau memberi respons kepada soalan oleh Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Monday, June 18, 2012

Eramin 5 bernilai RM5.4juta dirampas


Polis menumpaskan sindiket mengedar dadah eramin 5 yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM5.4 juta serta tertangkapnya enam anggota sindiket itu.
Enam suspek, empat lelaki dan dua wanita berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun ditahan dalam dua serbuan di kawasan apartmen di sini dan Damansara serta Petaling Jaya 31 Mei lepas.
Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim dalam sidang media di sini hari ini berkata polis turut merampas 44,930 pil eramin 5 bernilai RM898,600 dalam dua serbuan tersebut.
Susulan itu pasukan polis menyerbu pula sebuah rumah kedai di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan yang dipercayai dijadikan setor penyimpanan dadah berkenaan oleh sindiket pada Khamis lepas.
Pada serbuan itu polis merampas 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM4.5 juta.
Noor Rashid berkata polis tidak menemui sebarang makmal untuk memproses dadah tersebut kerana kesemua dadah itu telah dibungkus.
"Kita masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi," katanya sambil menegaskan kerjasama daripada orang ramai amat dialukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh negara.
Beliau berkata kesemua suspek telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Ling Liong Sik mohon hakim tarik diri untuk perbicaraannya

DiMahkamah Tinggi hari ini. bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmadi Asnawi menarik diri daripada mendengar perbicaraan terhadapnya berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang  (PKFZ).
Pada mulanya, hari ini telah ditetap untuk mahkamah mendengar keterangan bekas presiden MCA itu.

Pada 9 Mac, dalam penghakiman 83 muka surat, Hakim Ahmadi mengarahkan Ling membela diri selepas beliau mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Berikutan perkembangan baru ini, permohonan Ling itu akan didengar terlebih dahulu dan diputuskan oleh hakim sebelum beliau mula membela diri.

Ahmadi kemudiannya menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan Ling itu.Dr Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas presiden MCA itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
    
Dr Ling, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.- MK

Saturday, June 16, 2012

samseng gempur sekolah

SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.



Sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara kumpulan remaja samseng terdiri daripada bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah bersama kumpulan rakan dewasa mereka dengan beberapa pelajar sekolah itu.

Saksi kejadian yang juga pekerja sekolah berkenaan berkata, pergaduhan itu berlaku sebaik sesi pagi persekolahan tamat dan pelajar keluar dari perkarangan sekolah sebelum diserang kumpulan remaja samseng yang menunggu mereka di luar pagar.

“Sebaik beberapa pelajar yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan terbabit keluar dari pintu pagar, semua remaja yang berkumpul di luar itu menyerang mereka menggunakan senjata.

“Keadaan semakin kecoh dan ganas apabila puluhan pelajar lain yang berada di kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.


Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kanan sekolah yang kemudian cuba meleraikan pergaduhan dengan menarik pelajar masuk semula ke kawasan sekolah.

“Guru itu cuba meleraikan pergaduhan dan menarik beberapa pelajar yang membelasah seorang daripada kumpulan terbabit.

“Ketika dia (guru) ingin membantu seorang remaja samseng yang terbaring atas jalan akibat dibelasah teruk, tiba-tiba seorang daripada kumpulan yang bergaduh itu membaling topi keledar dengan kuat ke arah guru berkenaan hingga terkena kepalanya,” katanya.

Menurutnya, kumpulan remaja yang melakukan serangan itu bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju tempat kejadian dan guru serta beberapa pelajar yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.-HM

halaman