Showing posts with label Malaysia insider. Show all posts
Showing posts with label Malaysia insider. Show all posts

Thursday, September 15, 2011

Koperal Jenain didapati bersalah tembak Aminurasyid


Koperal Jenain Subi didapati bersalah menyebabkan kematian pelajar Aminulrasyid Amzah akhir April tahun lalu, kes yang menarik perhatian seluruh negara mengenai soal pematuhan peraturan oleh anggota pasukan keselamatan sendiri.
Dalam keputusannya hari ini, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.
Anggota polis itu dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen.
Latifah membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Jenain, 48, didakwa melakukan kesalahan itu antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.
Kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Kes kematian Aminulrasyid, 15, mendapat liputan meluas dan kecaman masyarakat selepas remaja itu mati terkena tembakan di kepalanya ketika dikejar anggota peronda yang sebelum itu mengarahkan dia yang memandu kereta Proton Iswara, berhenti.
Seramai 39 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Wednesday, September 14, 2011

Pengurus Besar KTMB dituduh terima rasuah RM33,000


Seorang pengurus besar bahagian urusan jalan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dituduh menerima rasuah berjumlah RM33,000 lima tahun lalu.
Tajuddin Mohd Yussof, 54, dituduh melakukan lima kesalahan rasuah apabila menerima suapan dalam bentuk cek berjumlah RM6,600 bagi setiap transaksi ketika berkhidmat sebagai Pengurus Besar Pengurusan Projek KTMB pada 2006.
Tertuduh didakwa melakukan lima kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan apabila menerima lima keping cek antara bulan Mac hingga Oktober pada tahun 2006 bagi membayar pinjaman overdraf Syarikat Intiwangi Sdn Bhd iaitu syarikat miliknya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima sekeping cek Bank Muamalat Malaysia bernilai RM6,600 pada 27 Mac 2006 di RHB Bank Jln Tun H.S Lee daripada Pengarah Syarikat Sureman Sdn Bhd yang mempunyai hubungan tugas rasmi dengannya dimana syarikat tersebut diberikan kontrak KTMB berkaitan pembaikpulihan landasan kereta api antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat.
Tertuduh ketika itu adalah Pegawai Penguasa Projek KTMB.
Cek tersebut bagi membayar pinjaman overdraf RHB syarikat miliknya, Syarikat Intiwangi Sdn Bhd.
Sementara itu, di bawah tuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima sekeping cek Maybank bernilai RM6,600 pada 30 Jun 2006 di RHB Bank Jln Tun H.S Lee daripada Pengarah Syarikat Sureman Sdn Bhd yang mempunyai hubungan tugas rasmi dengannya dimana syarikat tersebut diberikan kontrak KTMB berkaitan pembaik pulihan landasan kereta api di antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat.
Tertuduh ketika itu adalah Pegawai Penguasa Projek KTMB.
Cek tersebut bagi membayar pinjaman overdraf RHB syarikat miliknya, Syarikat Intiwangi Sdn Bhd.
Dalam pada itu, di bawah tuduhan ketiga, dia tertuduh didakwa menerima sekeping cek Maybank bernilai RM6,600 pada 31 Julai 2006 di RHB Bank Jln Tun H.S Lee daripada Pengarah Syarikat Sureman Sdn Bhd yang mempunyai hubungan tugas rasmi dengannya di mana syarikat tersebut diberikan kontrak KTMB berkaitan pembaikpulihan landasan kereta apa antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat.
Tertuduh ketika itu adalah Pegawai Penguasa Projek KTMB. Cek tersebut bagi membayar pinjaman overdraf RHB syarikat miliknya, Syarikat Intiwangi Sdn Bhd.
Pertuduhan keempat menyebut tertuduh didakwa menerima sekeping cek Maybank bernilai RM6,600 pada 14 September 2006 di RHB Bank Jln Tun H.S Lee daripada Pengarah Syarikat Sureman Sdn Bhd yang mempunyai hubungan tugas rasmi dengannya dimana syarikat tersebut diberikan kontrak KTMB berkaitan pembaik pulihan landasan kereta api antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat.
Tertuduh ketika itu adalah Pegawai Penguasa Projek KTMB. Cek tersebut bagi membayar pinjaman overdraf RHB syarikat miliknya, Syarikat Intiwangi Sdn Bhd.
Selain itu, tertuduh didakwa menerima sekeping cek Maybank bernilai RM6,600 pada 6 Oktober 2006 di RHB Bank Jln Tun H.S Lee daripada Pengarah Syarikat Sureman Sdn Bhd yang mempunyai hubungan tugas rasmi dengannya dimana syarikat tersebut diberikan kontrak KTMB berkaitan pembaikpulihan landasan kereta api antara Stesen Gemas dan Stesen Kerdau (Fasa 2) serta Yard Tumpat .Tertuduh ketika itu adalah Pegawai Penguasa Projek KTMB. Cek tersebut bagi membayar pinjaman overdraf RHB syarikat miliknya, Syarikat Intiwangi Sdn Bhd.
Tertuduh tidak mengaku salah bagi kesemua lima pertuduhan yang dibacakan ke atasnya.
Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozilah Bt Salleh menetapkan wang jaminan RM12,000.00 dengan seorang penjamin dan 14 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula.
Tertuduh juga dinasihatkan melantik seorang peguam.
SPRM diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria.
Jika sabit kesalahan dibawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Wednesday, August 24, 2011

Kes Liwat Anwar: DNA diragui Pakar


NONE Pakar forensik Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata spesimen sperma diambil dari bahagian dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak boleh digunakan sebagai bahan bukti dalam kes liwat kerana  keadaannya telah terjejas dan hanya diperoleh 56 jam selepas hubungan seks didakwa berlaku.
Dr David Wells mendakwa sampel-sampel DNA yang diperoleh tidak mungkin sesuatu yang “bermakna” dan adalah penting ia telah dihantar  untuk tujuan analisis dengan segera.
“Selepas satu tempoh yang lama, sampel tidak berada dalam keadaan baik,” kata beliau di mahkamah hari ini.
Sebelum ini, mahkamah diberitahu bahawa spesimen DNA Saiful diperoleh  56 jam selepas perbuatan seks iaitu ketika dia pergi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan perubatan pada 28 Jun 2008 dan kemudian membuat laporan polis.
Mahkamah juga pernah diberitahu bahawa spesimen DNA disimpan 43 jam lagi dalam kabinet oleh pegawai penyiasat  Supt Jude Pereira sebelum ia dihantar kepada ahli kimia kerajaan untuk dianalisis.
Dr Wells menekankan dalam borang perubatan Saiful mengatakan terdapat darah dalam dubur, namun keputusan pemeriksaan mendapati sebaliknya.
Beliau juga berkata borang itu tidak diisi dengan lengkap.
“Ia mesti diisi untuk menunjukkan semua pemeriksaan. Saya keliru dengan bahagian penting yang hilang,” kata Dr Wells.
Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya, Saiful di sebuah kondominium di Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Beliau boleh dijatuhkan hukuman sehingga 20 tahun penjara jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan tetapi hukuman sebat tidak akan dijalankan kerana faktor umur.
“Saya akan skeptikal boleh memperoleh sebarang keputusan bermakna,” kata Dr Wells lagi.
Dr Wells juga mengkritik keputusan Pereira untuk membuka beg yang telah pun disita bagi tujuan menyusun semula pelbagai pakej sebelum menyerahkannya kepada ahli kimia kerajaan untuk tujuan analisis.
Katanya, tindakan itu telah menjejaskan rantaian bahan yang ada di bawah jagaan polis.
“Saya secara peribadi terkejut jika sebarang spesimen yang saya ambil tiba di makmal dalam bentuk yang lain.
“Saya bukan seorang anggota polis tetapi saya mengesyaki beliau (Pereira) akan mencari kerja baru,” katanya yang kini merupakan ketua forensik perubatan di Victoria Institute of Forensic Medicine.
“Integriti spesimen adalah sangat penting,” katanya lagi.
Perbicaraan akan disambung esok dengan pemeriksaan balas ke atas Dr Wells oleh pendakwa raya.

Tuesday, July 5, 2011

kes srbani: Sarbani jadi spidernan - saksi

Saksi kedua inkues kematian Ahmad Sarbaini Mohamed percaya penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia itu terjatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Cochrane ketika cuba meninggalkan premis itu melalui tingkap.

DSP Sharul Othman Mansur dari cawangan forensik Bukit Aman yang dipanggil untuk memberi keterangan selepas balu Sarbaini berkata demikian ketika diminta mengulas kesimpulan bagaimana pegawai itu jatuh berdasarkan kedudukan mayat yang ditemui di gelanggang badminton bangunan SPRM pada 6 April lalu.

Soalan itu ditanyakan pegawai pengendali inkues Hanim Mohd Rashid.

“Saya percaya si mati terjatuh dari tingkap aras tiga (bilik pantri) berkemungkinan si mati nak keluar dari bilik SPRM melalui tingkap,” kata beliau.

“Kalau lihat dari arah bumbung (berdekatan dengan bilik pantri) ukuran jarak adalah sembilan kaki tujuh inci, jarak tingkap dan bumbung cukup dekat.

“Si mati cuba melompat ke bumbung yang berhampiran tapi tidak sampai dan jatuh ke lantai (gelanggang badminton),” katanya.

Jarak antara bilik pantri di tingkat tiga bangunan SPRM dan gelanggang badminton setinggi 10 meter.




Inkues Sarbani : Allahyarham Dianiaya Ejen Baucer RM100-Isteri

Prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed yang bermula hari ini menyaksikan isteri Allahyarham, Maziah Manap menceritakan karektor suaminya, sekaligus menolak tanggapan bahawanya suaminya itu sanggup membunuh diri.


Malah menurut Maziah, suaminya itu dianiaya oleh seorang ejen melibatkan baucer bernilai RM100.


"Beliau seorang yang penyabar, biasalah suami isteri, dalam perkahwinan adakala kami bergaduh, dan arwah akan ke surau kalau ada masalah," demikian kata Maziah ketika dipanggil sebagai saksi pertama dalam kes kematian Sarbani di Mahkamah Majistret di sini.


Maziah antara 30 saksi yang dipanggil memberikan keterangan bagi menyisat punca kematian Sarbani pada April lalu.


Allayarham ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan untuk membantu siasatan kes rasuah dan aktiviti pengubahan wang haram.


Sebelum ini timbul pelbagai pertikaian berhubung kematian Sarbani sehingga timbul spekulasi bahawa Allahyarham membunuh diri.


Sarbani antara yang ditahan oleh SPRM, hasil kerjasama dengan beberapa agensi lain yang berjaya menahan lebih 60 pegawai kanan Jabatan Kastam dan merampas jutaan ringgit, jongkong emas dan barangan milik berharga seperti kereta dan jam tangan mewah daripada mereka.


Serbuan dilaksanakan di beberapa pelaburan seluruh negara terutama Pulau Pinang, Pelabuhan Klang, Kuantan, Johor dan Sabah berikutan maklumat bahawa sindiket dengan ‘kaki’ dalam banyak organisasi membabitkan kerugian lebih RM10 bilion menerusi pengelakkan cukai dan penggelapan wang.


Maziah dalam keterangannya memberitahu mahkamah tentang apa yang berlaku bermula 1 April sehingga suaminya ditemui mati di Tingkat Satu, Pejabat SPRM.


“Pada 1 April (sebelah pagi) saya mendapat panggilan daripada anak mengatakan abah nak cakap kerana kawan abah ada tapi saya tak sempat cakap, panggilan terputus.


“Ketika saya pulang ke rumah pada pukul 9 malam anak beritahu saya abah tidur di SPRM, saya cuba hubungi dia tapi tak dapat,” kata Maziah.


Kata Maziah, pada keesokan hari dia cuba untuk menghubungi suaminya pada sebelah pagi namun gagal.


Sebaliknya, Maziah berkata dia menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya yang berbunyi “Kalau kita di pihak benar Allah akan bantu, kalau boleh baliklah sebab esok kita ada kursus haji.”


“Kemudian pada pukul 11 pagi suami hubungi minta ambil dia di pejabat SPRM, suruh datang naik teksi sahaja.


“Ketika tiba di sana, saya disoal oleh seorang pegawai SPRM yang bernama Ghani berkenaan harta saya dan saya ceritakan semua sekali tapi saya dipersoalkan berkenaan dengan wang KWSP.


“Pegawai itu tanya dari mana datang duit dan saya beritahu ia adalah duit KWSP dan saya keluarkan sebahagian sebab dah berumur 50 tahun.


“Tapi saya terus dipersoalkan oleh pegawai itu dan saya minta senaraikan dokumen yang diperlukan agar saya boleh sediakan,” katanya.


Kemudian kata Maziah, dia akhirnya dibenarkan untuk menemui suaminya di tingkat atas pejabat SPRM.


Dia bertanya kepada suaminya mengenai tindakan SPRM itu.


“Dia kata ejen aniaya dia, saya tanya macam mana dan dia kata pasal baucer berharga RM100.


“Ejen sudah mengaku RM70 agen ambil dan RM30 suami saya... suami kata dia tak ambil dan tidak terima baucer itu,” katanya.


Pada 4 April, Maziah berkata suaminya memberitahunya akan ke pejabat SPRM kerana mahu menyelesaikan masalah yang berlaku.


“Pada sebelah malam suami bercakap kepada ‘apalah orang SPRM ini, saya ada tiga kereta tapi suruh kata empat kereta’.


“Saya tanya mana datang lagi sebuah, suami kata masuk kereta yang sudah dijual,” katanya.


Tambah Maziah, pada 5 April, dia telah menyediakan dokumen-dokumen yang ingin dibawa suaminya ke pejabat SPRM seperti diminta.


Menurutnya, pada pagi 6 April, dia terpaksa bekerja awal ke pejabat kerana ada urusan yang harus diselesaikan.


“Saya bangun kira-kira pukul 5 pagi tapi saya tengok suami tiada di bilik, saya hubungi dia dan dia kata ada di Subang untuk jumpa rakannya bernama Azman untuk menyerahkan minuman dan dia balik ke rumah pada pukul 6.30 pagi.


“Semasa saya hendak ke tempat kerja suami beritahu kepada saya dia akan ke pejabat SPRM dulu sebelum pergi bekerja dan saya tidak tahu pukul berapa dia keluar (dari rumah).


“Pagi itu saya tidak hubungi dia langsung kerana saya sibuk dengan kerja,” kata Maziah.


Bagaimanapun katanya, kira-kira pukul 11 pagi seorang pegawai Kastam bernama Norlia ada menghubunginya dan bertanyakan tentang keadaan suami.


“Puan Norlia tanya Encik Mat ada di mana? Dia OK kah? Saya cakap OK sebab pagi tadi jumpa tiada apa-apa tapi Puan Norlia arahkan saya untuk menghubungi suami.


“Tapi bila saya cuba hubungi suami tidak dapat... Puan Norlia hubungi saya kali kedua dan bertanyakan soalan sama, suruh saya hubungi suami dan saya cuba (hubungi) tapi tak dapat.


Namun kemudiannya Maziah menerima berita mengejutkan apabila diberitahu suaminya sudah meninggal akibat "rebah" dan bukannya jatuh bangunan.


Namun setelah melihat keadaan mayat suaminya di Hospital Univesiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), beliau mengesyaki sesuatu telah berlaku ke atas suaminya kerana keadaan muka mayat lebam dan berdarah beku.


Setelah itu baru dirinya mengetahui suaminya bukan mati akibat rebah tetapi terjatuh bangunan.


" Saya dimaklumkan beliau meninggal dunia akibat rebah. Pada saya rebah mungkin terjatuh kerusi atau ke lantai, dan redha ia mungkin sudah ajal, tetapi bila


buat pengecaman dibilik mayat, muka suami saya seperti dihempuk ke dinding, darah beku dan lebam,"kata Maziah.


Prosiding itu yang bermula hari ini didengar di hadapan koroner Aizatul Akmal Maharani, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Hanim
Mohd Rashid.


Turut serta peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd Osman yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta peguam
Awtar Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Allahyarham.


Selain itu, peguam Salim Bashir, Roger Than dan Halim Asghar daripada Majlis Peguam turut bertindak sebagai peguam pemerhati.




halaman