Showing posts with label mishar. Show all posts
Showing posts with label mishar. Show all posts

Wednesday, May 23, 2012

Rumah Urut: Selangor akan rampas premis

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tindakan merampas premis yang dijadikan tempat operasi rumah urut yang tidak sah itu boleh dilaksanakan berdasarkan undang-undang sedia ada.
Katanya kerajaan negeri memandang serius isu kewujudan rumah urut yang berleluasa di negeri itu dan memberi amaran bahawa risiko menjalankan perniagaan rumah urut haram tidak hanya akan ditanggung oleh pengendali malah pemilik premis.

Jumlah rumah urut yang semakin bertambah di Selangor membimbangkan banyak pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwapusat-pusat urut tumbuh bagai cendawan sehingga merebak ke kawasan penempatan setinggan sejak kebelakangan ini.
Menurut mereka, di kawasan Pandan Indah sahaja, terdapat lebih 80 pusat urut dan lebih 200 pusat urut beroperasi di Klang selain berpuluh-puluh lagi di Kuchai Lama, Damansara dan Ampang Jaya.
Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Selasa melaporkan bahawa di Kuala Selangor terdapat enam pusat urut beroperasi dalam satu kawasanperdagangan yang baru dibuka manakala pusat urut juga dibuka di kawasan luar bandar iaitu tiga di Sekinchan, Sungai Besar (dua) dan masing-masing satu di Sabak Bernam dan Tanjong Karang.

Sunday, January 29, 2012

Produk Tradisional Tidak Berdaftar Undang Risiko

Produk tradisional yang dijual di kedai runcit atau pasar malam tidak perlu dipandang remeh.
Kebanyakan ubat-ubatan tersebut seperti ubat peransang seks, makanan tambahan mahupun barangan kosmetik merupakan produk tidak berdaftar.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd Hatta Ahmad, Bahagian Penguatkuasa Farmasi merampas 33,274 produk (ubat-ubatan) tidak berdaftar bernilai RM22.5 juta dalam serbuan tahun lalu.
Berlaku peningkatan ketara pada 2010 apabila pegawai penguatkuasa merampas 24,852 produk bernilai RM21.5 juta berbanding 19,764 produk mencecah RM10.4 juta pada 2009.
"Pembeli mungkin tidak menyedari risiko produk tersebut kerana ia mudah didapati dan murah. Malah produk itu dijual dengan bungkusan menarik," katanya.
Hatta berkata, kebanyakan ubat-ubatan tidak berdaftar dijual di pasar malam, kedai runcit dan di sepanjang kaki lima.
Dengan erti kata lain, produk tersebut dijual secara terbuka dan sejumlah besar ubat-ubatan tidak berdaftar itu dirampas dalam rumah seorang pengedar.
Katanya, produk tersebut yang dikenali sebagai ubat-ubatan tradisional sering digunakan untuk merawat dan melegakan batuk, demam dan sakit kepala.
"Beberapa produk didakwa mujarab untuk sakit sendi. Apabila kami mengkaji produk tersebut di dalam makmal, kami dapati ia mengandungi steroid," katanya.
Segelintir produk tersebut mengandungi logam yang boleh merosakkan buah pinggang.
Hatta berkata, barangan kosmetik mungkin mengandungi bahan kimia terlarang seperti hidrokuinon, merkuri yang memberi kesan sampingan kepada kulit.
Ubat peransang seks palsu merupakan produk makanan tambahan yang diperkaya dengan bahan-bahan aktif seperti tadanafil, sildenafil dan verdenafil yang boleh menyebabkan mati pucuk.
Beliau berkata, produk tersebut boleh menjejaskan kesihatan pengguna jika diambil tanpa nasihat pakar.
"Produk tersebut masih berada di pasaran kerana permintaan yang tinggi daripada pengguna. Jika tiada pembeli, penjualan produk tersebut pastinya terhenti," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk yang tidak berdaftar tidak selamat untuk diambil kerana kualiti, keselamatan dan keberkesanannya diragui.
"Apabila kami melakukan ujian pra-kelulusan, kira-kira 10 peratus produk tersebut mengandungi bahan tercemar," katanya.

Monday, January 23, 2012

Lelaki Dipercayai Tidak Siuman Culik Budak Perempuan Di Kampung Baru

Insiden 'drama' seorang lelaki tidak siuman menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Kampung Baru di sini pada pagi ini masih menjadi tumpuan dan perhatian ramai apabila pihak berkuasa cuba untuk memujuknya supaya membebaskan mangsa.
Kejadian yang mengemparkan penduduk sekitar Lorong Raja Muda Musa 6 pada jam 10.30 pagi itu berlaku apabila seorang lelaki berbogel telah meluruh masuk ke sebuah rumah di lorong berkenaan lalu melarikan kanak-kanak perempuan berkenaan.
Dia menggunakan sebilah pisau untuk mengancam nyawa kanak-kanak perempuan tersebut.
Ketika kejadian itu berlaku, keluarga kanak-kanak berkenaan sedang menonton televisyen.
Ketika berita ini ditulis, polis masih lagi cuba memujuk lelaki berkenaan agar membebaskan kanak-kanak itu.
Dia enggan berbuat demikian.

Saturday, January 21, 2012

Polis Tahan 10 Anggota Sindiket Ah Long Di Sekitar Ibu Negara

 Polis menahan 10 lelaki anggota sindiket Ah Long dan merampas wang tunai RM21,000 dalam satu operasi di sekitar ibu negara, Khamis.
Mereka yang ditahan dalam operasi "Vulture" oleh Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bermula pukul 12.30 tengah hari di sebuah premis di Jalan Ipoh itu terdiri daripada rakyat tempatan berusia antara 29 hingga 40 tahun.
Sejumlah besar dokumen seperti kad ATM, geran kenderaan, cek, salinan kad pengenalan, gambar-gambar (dipercayai milik peminjam) dan peralatan yang digunakan dalam menjalankan kegiatan 'Ah Long', dirampas dalam operasi itu, kata kenyataan Polis Diraja Malaysia di sini, Jumaat.
"Berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi, sindiket ini didalangi seorang lelaki tempatan, yang dipercayai mempunyai pengaruh yang kuat serta mampu memperoleh jumlah peminjam yang ramai di sekitar Lembah Klang.
"Penangkapan anggota sindiket ini dipercayai dapat menyelesaikan beberapa kes berkaitan 'Ah Long' yang bergerak aktif di sekitar ibu negara," kata kenyataan itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut atau pertanyaan mengenai kes itu diminta menghubungi Ketua Penolong Pengarah Operasi JSJK ACP Rohaimi Md Isa di talian 03-26163872. - BERNAMA

Thursday, January 19, 2012

Pelajar Wanita Ugut PM Dalam Facebook Ditahan Polis

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditahan polis pada Khamis, kerana menulis kenyataan berunsur lucah dan berbaur ugutan terhadap Perdana Meteri Datuk Seri Najib Tun Razak di laman sosial.
Penuntut wanita berusia 20 tahun dari sebuah IPTS di Kuala Muda itu ditahan pada pukul 9 pagi, selepas polis menerima laporan mengenai kenyataan yang dipercayai ditulis wanita tersebut pada akaun Facebook miliknya.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan kira-kira 10 malam semalam mengenai perkara itu, dan menahan penuntut terbabit selepas mengenal pasti pemilik akaun Facebook tersebut.
"Kita telah ke universitinya dan melalui pihak universiti, kita telah memanggil pelajar itu untuk diambil kenyataan berhubung berkara itu," katanya kepada pemberita, di sini malam Khamis.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan sebuah komputer riba milik pelajar tahun dua IPTS tersebut untuk siasatan.
"Kita juga turut memanggil ibu bapa pelajar itu bagi membantu siasatan," kata Ahmad.
Katanya memandangkan pelajar itu masih lagi dalam minggu peperiksaan, pihaknya telah membebaskan pelajar tersebut petang tadi selepas diambil keterangan bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan.
"Kita akan memanggil beberapa individu lain untuk memberi keterangan berhubung perkara ini. Kita juga akan memanggil pelajar tersebut pada bila-bila masa jika perlu," katanya.
Beliau berkata pihak polis akan sentiasa membuat pemantauan terhadap pelajar itu dan akan menyiasat dengan terperinci perkara tersebut.
"Kita telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya. - BERNAMA

Abby Abadi terkena sihir maut


Pelakon Abby Abadi mendakwa ada pihak cuba menutup periuk nasinya dengan menghantar sihir sehingga menyebabkan badan-badannya menjadi sakit.
Selain itu kata Abby, perutnya juga sakit sehingga tidak mampu berjalan, sukar untuk tidur dan sakit pinggang yang teruk ketika sedang sibuk dengan penggambaran drama dan rakaman single lagu barunya, Aku Tak Mahu.
"Sebelum mendapat tahu terkena buatan orang, saya telah ke hospital sebanyak dua kali pada November lalu untuk mengesan penyakit saya itu tetapi doktor berkata saya tidak mempunyai sebarang masalah.
"Kemudian, barulah saya membuat rawatan secara tradisional pula dengan pelakon Ashraf Muslim. Memang waktu itu keadaan tubuh badan begitu teruk tetapi saya tetap gagahkan diri kerana mempunyai komitmen dengan penggambaran drama Pelangi Kasihdan Mulanya Di Sini," katanya yang dihubungi mStar Online di sini, Rabu.
Tambah Abby, semasa mendapatkan rawatan secara alternatif itu, dia diberitahu terkena buatan orang oleh pihak-pihak yang iri hati dengannya.
Dia tidak menyangka ada orang yang berniat jahat terhadapnya sedangkan dia tidak pernah pun cuba untuk menyakiti hati orang lain.
Bagaimanapun, ibu tunggal beranak tiga ini berkata, dia bersyukur kerana penyakit misterinya itu beransur pulih dan masih lagi mengamalkan perubatan tradisional itu.
"Alhamdulillah, saya beransur pulih. Bagaimanapun, benda sihir ini akan datang balik jika kita tidak berjaga-jaga.
"Saya pun tak tahu siapa yang sanggup melakukan perkara buruk ini. Biarlah pihak yang mengenakan saya itu mendapat balasan daripada Allah di atas perbuatannya itu," ujar Abby.
Terkilan dengan Zul
Sementara itu, mengenai hubungannya dengan bekas kekasih, Zul Ariffin, Abby mengakui mereka tidak lagi kerap berhubung seperti dahulu.
Cuma Abby sedikit terkilan apabila pelakon itu telah membuat kenyataan kepada sebuah portal pada Rabu yang dia tidak lagi memikirkan tentang dirinya. Namun Abby tidak pasti adakah Zul benar-benar bermaksud sedemikian ataupun tidak.
Ujar Abby, sukar untuk dia mengulas berkenaan dengan kenyataan pelakon lelaki yang semakin meningkat naik itu apabila terdapat dua komen yang berbeza yang dinyatakan Zul sebelum ini.
"Entahlah, saya pun tak tahu nak cakap apa sebab dia memberikan kenyataan yang berbeza. Pada mulanya, dia cakap, masih lagi sayang dan mengingati saya dan sekarang, lain pula ceritanya.
"Bagaimanapun, saya tak dapat nafikan bahawa perasaan sedikit terkilan itu ada," tuturnya.
Dalam pada itu, Abby dan Zul masih lagi berhubung kerana terdapat urusan yang masih lagi belum selesai di antara mereka.
"Memang ada beberapa perkara yang saya tidak boleh jelaskan di sini yang masih belum selesai di antara kami.
"Apa-apa pun, hidup mesti diteruskan bukan? Alhamdulillah walaupun dilanda pelbagai masalah, saya masih lagi menerima tawaran lakonan dan mengacara. Malah tahun ini saya buat 'comeback' dengan muncul lagu Aku Tak Mahu, ciptaan Edry Abdul Halim," katanya.

halaman