ISNIN lalu, perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam sudah mula menerima pengunjung seawal 7 pagi, meskipun kunci pintu kayu tersebut hanya diselak pada pukul 8.30 pagi.
Selain wartawan yang hadir kerana tugas, ada pengunjung lain yang sanggup meninggalkan tempat tidur dan meredah kedinginan angin pagi kerana memulakan perjalanan - termasuk dari Sabak Bernam - seawal subuh.
Itu membuktikan betapa kuatnya 'tarikan' bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, sehingga orang ramai berpusu-pusu untuk memasuki mahkamah bagi mengikuti perbicaraan kes salah guna kuasa terhadapnya.
Mohamad Khir, 45, didakwa melakukan kesalahan tersebut menerusi perbuatannya mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd pada harga yang murah menerusi pengarahnya, Shamsuddin Hayroni, yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Hartanah itu terletak di lot 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam dan didakwa dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar sebanyak RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7.
Pertuduhan terhadap Mohamad Khir menyebabkan dia meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor manakala gelaran Datuk Seri-nya digantung sehingga semakan dibuat selepas kes mahkamah selesai.
Bagaimanapun, mereka yang menghadiri prosiding Isnin sedikit hampa apabila perbicaran ditangguhkan kerana masih ada dokumen yang tidak diserahkan kepada barisan pembelaan Mohamad Khir.
Paling 'mengejutkan' ialah apabilan pihak pendakwaan mengumumkan bahawa mereka tidak berminat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Shamsuddin, yang sebelum itu didakwa bersubahat dengan Mohamad Khir melakukan kesalahan tersebut.
Mengikut keterangan pemilik asal hartanah itu, Saiful Aznir Shahabudin, 51, tanah itu berkeluasan kira-kira 50,000 kaki persegi manakala banglo (15,000 kaki persegi) itu dilengkapi dengan garaj (boleh memuatkan empat buah kereta), kolam renang, kolam ikan dan taman.
Hartanah tersebut yang dibelinya pada harga RM1.3 juta pada tahun 1995 dan 1996 kemudiannya dijual kepada Shamsuddin pada harga RM6.5 juta.
Seperti diduga, kehadiran Shamsuddin, 55 , di mahkamah apabila kes disambung pada Rabu, adalah sebagai salah seorang saksi pendakwaan - menceritakan bagaimana beliau berurusan secara terus dengan Mohamad Khir.
Kata ahli perniagaan yang memiliki beberapa syarikat itu, beliau banyak berurusan dengan Kerajaan Selangor, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodakan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Antara projek yang dijalankan oleh syarikatnya pula meliputi projek pembangunan hartanah di Selangor seperti mendirikan rumah kediaman di Bandar Baru Bangi, Cheras dan Sungai Long.
Bagaimanapun, keterangan saksi kedua tersebut tidak dapat 'diteruskan' kerana tidak dapat meneruskan percakapannya selain kelihatan tidak selesa dan sering mengulang-ulangkan jawapan yang sama.
Keadaan saksi menyebabkan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bertanya sekiranya beliau mengalami sebarang masalah kesihatan dan memerlukan masa untuk berehat.
Keterujaan untuk mendengar Shamsuddin menyambung keterangan pada Khamis, 'terbantut' selepas beliau dimaklumkan tidak sihat menyebabkan pihak pendakwaan memanggil saksi seterusnya, iaitu seorang pereka laman bebas, Nasir Ismail.
Bagaimanapun, rasa hampa itu 'terubat' apabila keterangan Nasir tidak kurang menariknya, apatah lagi kedudukannya sebagai individu yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian terhadap banglo milik Mohamad Khir dengan berkonsepkan Bali.
Tarikan utama sudah pastilah angka dan cara pembayaran kerja itu dibuat - RM6 juta tunai - satu jumlah yang tidak mungkin akan tertera pada buku simpanan bank penulis, melainkan jika mendapat durian runtuh tanpa diduga.
Katanya lagi, bayaran pertama yang diterima ialah wang tunai RM250,000 yang digunakan untuk membeli barang-barang dari Bali, Indonesia.
Transaksi bayaran lain pula sebanyak 11 atau 13 kali melibatkan jumlah RM500,000 dan dijelaskan sama ada oleh Shamsuddin atau Mohamad Khir sendiri.
Saksi yang pernah diisytiharkan sebagai bankrap pada tahun 1998 hingga 2008 juga mengatakan satu sebab mengapa pembayaran dibuat secara tunai adalah kerana 'status' tersebut selain dia sendiri tidak mempunyai akaun bank.
Bagaimanapun, saksi yang hanya tamat tingkatan satu itu mengakui ada menandatangani perjanjian dengan Mohamad Khir yang menyatakan kerja-kerja pengubahsuaian itu bernilai RM600,000 yang dikatakan sebagai tujuan formaliti.
Sayangnya selepas berhabis jutaan ringgit, masih ada kerja-kerja kecil yang tidak disiapkan dan alasan yang diberikan oleh Shamsuddin ialah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan ke atas Mohamad Khir berhubung rumah tersebut.
Katanya, saban hari ada sahaja individu membuat tunjuk perasaan di hadapan rumah, selain berlaku perselisihan faham antara dia dengan Mohamad Khir berpunca daripada jumlah bayaran.
Setiap kes berprofil tinggi pastinya akan 'diserikan' dengan pertelingkahan, sindir-menyindir mahupun perselisihan pendapat, dan perbicaraan terhadap Mohamad Khir tidak dapat lari dari senario ini.
Antaranya, pertelingkahan yang berlaku antara peguam utama Mohamad Khir, M. Athimulan dengan Nasir berhubung ketiadaan dokumen seperti resit atau catitan yang dapat membuktikan bayaran RM6 juta tersebut.
Setelah diasak, Nasir yang terlebih dahulu mengatakan ketiadaan resit adalah disebabkan oleh 'permintaan tuan rumah' akhirnya mengatakan Tuhan adalah saksi kepada pembayaran tersebut - jawapan yang tidak dapat diterima oleh Athimulan.
Kata Athimulan, perbicaraan tersebut bukan berjalan di hadapan Tuhan , sebaliknya di hadapan seorang hakim yang sudah pastilah memerlukan bukti.
Selain itu, pertelingkahan singkat yang berlaku antara Athimulan dan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud juga 'memanaskan' perbicaraan sehingga Mohtarudin menyifatkan ia seperti perbuatan di kedai kopi.
No comments:
Post a Comment