Thursday, February 3, 2011

Dadah: Penyanyi rock terkenal dan isteri ditangkap

 Seorang penyanyi sebuah kumpulan rock terkenal tanah air bersama isterinya hari ini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan setelah dipercayai memiliki dadah di serbuan di sebuah hotel bajet di sini petang semalam.
TAHAN REMAN...penyanyi (kanan) dan pasangannya (bertudung) dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Perintah tahanan reman sehingga 8 Februari depan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah itu dikeluarkan oleh Majistret Aishah Hijriah Arshad di Mahkamah Majistret di sini kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
Penyanyi lelaki terbabit yang berusia 43 tahun dan isterinya serta seorang anak lelakinya berusia empat tahun diserbu polis ketika menginap di bilik sebuah hotel bajet di Melaka Raya di sini.

Menurut sumber, dalam serbuan kira-kira pukul 5.20 petang semalam, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menemui dadah di dalam sebuah beg di bilik tersebut.

"Pemeriksaan mendapati, beg tersebut mengandungi satu ketulan mampat disyaki ganja dan empat peket disyaki ganja dengan anggaran berat keseluruhan 122 gram selain empat peket disyaki mengandungi syabu kira-kira satu gram ditemui di atas kerusi bilik berkenaan.

"Hasil ujian dadah juga mendapati penyanyi tersebut positif dadah jenis 'methamphetamine'," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Jaafar Mat ketika dihubungi mengesahkan tangkapan penyanyi terbabit serta isterinya.

Menurut sumber, serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka terhadap Ameng, 43, atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail dan isterinya, 41, dilakukan hasil maklumat orang ramai.

Penyanyi itu yang pernah dikaitkan dengan masalah dadah sebelum ini kini disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952


Pada September tahun lalu, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan penyanyi itu membela diri terhadap tuduhan memasukkan ganja ke tubuhnya pada 2 April 2010.


Selain kes dadah, dia berdepan satu lagi kes mahkamah apabila bekas isterinya memfailkan tuntutan nafkah anak mereka yang dikatakan tidak dijelaskannya

No comments:

Post a Comment

halaman