Wednesday, May 25, 2011

menawar serangan asid


Beberapa siri insiden serangan asid di Lembah Klang baru-baru ini jelas menimbulkan ketakutan di kalangan orang awam, terutamanya kaum wanita.
Sehingga kini, sejumlah 23 kes dilaporkan sejak Mac namun orang yang bertanggungjawab masih bebas lepas.
Seorang pakar kimia Prof Dr Zainudin Arifin berkata orang ramai tidak seharusnya berasa cemas dan terancam dengan insiden berkenaan.
"Mereka seharusnya keluar dan pergi bekerja seperti biasa, dan pada masa sama mereka hendaklah mengambil tindakan dan langkah keselamatan. Kesan akibat simbahan asid boleh dikurangkan jika mereka tahu apa yang hendak dilakukan," katanya kepada Bernama, Selasa.
Bagi mencegah kesan penghakisan teruk dan kecacatan kekal pada kulit, Zainudin daripada Jabatan Kimia, Fakulti Sains, Universiti Malaya menasihatkan kaum wanita supaya membawa sebotol air dalam beg tangan mereka dan menggunakannya untuk mencuci simbahan asid jika kejadian seumpamanya berlaku kerana air adalah bahan pelarut mudah mencairkan kimia.
"Cuci bahagian badan dan bersihkan simbahan asid dengan menggunakan sebanyak air yang mungkin kerana masa amat kritikal ketika ini. Jika anda melengahkan pencucian asid itu, kesan lebih buruk dan menakutkan akan berlaku.
"Dapatkan sebanyak air dan berada di dalam aliran air sekurang-kurangnya 15 minit, lebih baik jika dapat 30 minit, kemudian tukar pakaian dan hanya selepas itu anda dapatkan rawatan," katanya.
Beliau berkata jika serbuk penaik, sodium bikarbonat boleh diperoleh, mangsa simbahan asid boleh mencampurkannya dengan air dan meletakkan di kawasan yang terkena simbahan asid bagi meneutralkan kesan asid berkenaan.
"Dan jika dalam paling teruk di mana tiada air boleh diperoleh, lap kawasan yang terkena simbahan asid dengan sebersih-bersihnya," kata beliau.
Beliau juga mencadangkan kaum wanita menggunakan alat pelindung keselamatan seperti kaca mata besar. Mengenai insiden simbahan asid yang berlaku di sekitar Lembah Klang ini, Zainuddin percaya bahan yang digunakan dalam serangan berkenaan bukan larutan beralkali seperti yang dilaporkan tetapi adalah asid cair.
Katanya terdapat empat jenis asid yang lazimnya mudah diperoleh di pasaran iaitu asid formik, asid hidroklorik, asid sulfurik dan asid nitrik.
Beliau berpendapat bahawa cadangan kerajaan untuk mengawal jualan asid di pasaran tidak sesuai dan tidak akan dapat menyelesaikan masalah berkenaan.
"Jika ada seorang yang lemas, adakah kita akan melarang semua orang daripada berenang? soalnya.
Beliau berkata cadangan ini juga tidak membantu memandangkan asid merupakan bahan penting bagi kebanyakan industri pembuatan dan pertanian.
Asid boleh diperoleh dengan mudah di kedai-kedai menjual alat perkakasan dan ia juga digunakan untuk tujuan pembersihan.
"Mengenai kegunaan asasnya, asid sangat berkesan sebagai agen bagi membersihkan kotoran.
"Dan sebagai negara perindustrian, kita menggunakan banyak asid terutamanya asid sulfurik, yang juga merupakan sejenis bahan yang paling banyak dikeluarkan dan bahan penghakis paling berkesan," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman