Sepanjang April tahun lepas hingga Mac tahun ini seramai 462 orang telah ditahan kerana merasuah anggota pengguatkuasa dengan nilai sogokan tertinggi sebanyak RM1 juta.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Samsiah Abu Bakar berkata daripada jumlah tersebut 422 orang terdiri daripada lelaki, dan seramai 282 orang warga tempatan, manakala selebihnya rakyat asing.
"Nilai sogokan tertinggi secara purata adalah dari RM200,000 hingga RM1 juta dan tangkapan tersebut menunjukkan bahawa SPRM tegas dan kita harap orang ramai juga bertegas menolak tawaran rasuah biarpun dalam jumlah kecil," katanya.
Samsiah berkata demikian dalam forum bertajuk "Ke Arah Rasuah Sifar: Peranan NGO Dalam Memerangi Rasuah" bersama Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu aktif membantu SPRM memerangi rasuah.
Ini adalah kerana NGO banyak berinteraksi dengan orang ramai dan boleh membantu menerangkan kepada mereka secara terus mengenai bahaya rasuah, katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum tersebut.
"NGO boleh diibaratkan sebagai mata dan telinga atau 'watch dog' untuk melaporkan apa-apa juga kesalahan yang ada kaitan dengan penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa," katanya.
Sutinah berkata usaha membanteras rasuah tidak sepatutnya dibebankan di bahu penguatkuasa semata-mata, sebaliknya perlu dijalankan secara bersama.
"Kalau diharapkan SPRM sahaja untuk 'cungkil' dan cari kesalahan rasuah dari semua aspek dan sektor dengan keanggotaan yang kita ada, kita tidak mampu. Justeru kita perlu kerjasama dari pertubuhan seperti NGO sebagai saluran," katanya.
Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata pihaknya merancang untuk menjalankan 'roadshow' bersama SPRM ke semua negeri supaya masyarakat dalam semua sektor dapat dididik dan didedahkan tentang kesan-kesan buruk gejala rasuah dan langkah-langkah pencegahannya. -BERNAMA
No comments:
Post a Comment