Friday, May 27, 2011

Nurul AF2 nikah dithailand


 Penyanyi Nurul, yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) telah berkahwin dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad di Narathiwat, Thailand.
Menurut Nurul, pernikahan itu berlangsung pada 23 Mei lalu. Dia menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 pada majlis yang dilakukan dengan berwalikan seorang lelaki Thailand, Wan Husin Wan Ab Rahman.
Katanya lagi, dia, suami dan ibu bapa mertuanya masuk ke Narathiwat menerusi Kota Bharu, Kelantan pada hari tersebut dengan menaiki kereta dan terus ke pejabat agama itu untuk mengisi borang pernikahan.
"Bagaimanapun, akad nikah dilakukan di rumah Wan Husin kerana semasa itu adalah hari cuti, iaitu Sabtu. Wan Husin adalah seorang wali bertauliah yang disyorkan oleh majlis agama," katanya.
Nurul atau nama sebenarnya Nurullah Abdul Hamid, 29, berkata demikian semasa memberi keterangan pada permohonan Mohd Munzil, 28, untuk mengesahkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini pada Khamis.
Permohonan tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah dan mereka diwakili oleh peguam-peguam syarie, Mohamad Azlin Mohamad Razali dan Mohammad Fauzi Abdullah.
Nurul sewaktu majlis pertunangannya.
Pada keterangan lain, Nurul berkata, pernikahan itu diadakan di Thailand kerana timbul masalah wali ekoran keengganan bapa kandungnya, Zawawi untuk menjadi wali.
"Saya ada cuba berjumpa dengan bapa kandung saya, tapi dia tidak mahu menjadi wali. Ini kerana masalah yang berlaku antara bapa dengan keluarga angkat saya sewaktu saya masih kecil," tambahnya.
Nurul juga menambah, dia dan suami ada mencuba untuk mendapatkan wali hakim daripada Majlis Agama Islam Sarawak, tetapi ia akan mengambil masa yang lama, sedangkan tarikh majlis pernikahan telah ditetapkan berlangsung pada Sabtu ini.
"Selepas perkahwinan itu, jika orang tanya siapa Mohd Munzil, saya akan jawab dia sebagai tunang saya, sebab tidak ramai yang tahu (berkahwin), hanya orang terdekat sahaja.
"Tetapi, dia sebenarnya suami saya. Selepas berkahwin saya tinggal dengan dia,” katanya.Selepas mendengar keterangan itu, Abdul Halim memutuskan pernikahan tersebut sah di sisi hukum syarak kerana telah memenuhi hukum nikah, walaupun tidak menggunakan wali sebenar ekoran bapa kandung Nurul berada jauh di Kuching, Sarawak.
Beliau seterusnya mengarahkan pasangan tersebut untuk mendaftarkan pernikahan tersebut di Pejabat Majlis Agama Islam.
Sementara itu, Nurul yang ditemui di luar mahkamah berkata, dia berasa lega kerana masalah pernikahannya telah selesai.
"Saya rasa lebih berdebar dengan kes mahkamah berbanding dengan majlis persandingan Sabtu ini," katanya yang mengenakan baju kurung merah jambu dan selendang kelabu.
Selain itu, dia yang mengenali Mohd Munzil sejak Julai tahun lepas sebelum mengikat tali pertunangan pada 4 Februari lalu juga memberitahu akan berlepas ke Kuching pada malam Khamis untuk menyiapkan persiapan majlis perkahwinan.
Pasangan tersebut dijangkakan akan mengadakan majlis resepsi sebelah lelaki di De Palma Hotel Ampang, dekat sini pada 3 Jun depan.
Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Nurul memberitahu mereka mungkin ke Bali, Indonesia sebelum berlepas ke New Zealand seminggu selepas raya kerana Mohd Munzil akan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selama tiga tahun.
Pelakon Razak Ahmad Ditangkap Di Tempat Terselindung
 Pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad yang menghadapi pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang dikatakan telah ditangkap di tempat yang terselindung di sebuah rumah.
Pelakuan tersebut yang membawa watak sebagai Tok Imam dalam drama bersiri Geng Surau itu dan wanita terbabit, Selamah Sahudin adalah dihujahkan boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Itu adalah sebahagian daripada intipati hujahan bertulis oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Selain itu, Shafezan juga menghujahkan bahawa pihaknya telah membuktikan eleman yang diperlukan seperti pertuduhan khalwat, iaitu tertuduh adalah seorang lelaki yang bukan suami atau mahram kepada Selamah.
Hujah beliau lagi, semasa pasukan penguat kuasa Jais membuat serbuan, hanya Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang berada di rumah terbabit bersama Selamah, 45 tahun.
Razak dan Selamah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Razak yang dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 27 Julai 2006 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut manakala Selamah dijatuhkan hukuman denda RM2,850 selepas mengaku bersalah.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992 itu akan mengetahui nasibnya, sama ada akan dipanggil untuk membela diri ataupun dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 30 Jun ini.
Tarikh keputusan telah ditetapkan oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding sebelum ini.
Sepanjang perbicaraan yang melibatkan tiga saksi pendakwaan, Razak diwakili oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim.
Fakta kes yang diakui oleh Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan menyatakan bahawa pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut berada dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap.
Pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.

No comments:

Post a Comment

halaman