Monday, July 4, 2011

Bicara Bunuh Sosilawati Bermula Hari Ini


Perbicaraan terhadap seorang peguam P. Pathmanabhan yang didakwa membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu yang hilang bersamanya bermula di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin.
Pathamanabhan dibicarakan bersama tiga pekerja ladang, R. Thilaivalagan, R. Matan dan R. Kathavaravan.
Sejak pukul 7.30 pagi, perkarangan mahkamah dipenuhi oleh petugas media yang perlu mendaftar untuk mengikuti prosiding.
Semua tertuduh didakwa membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamal Abdul Karim, 32, dan pemandu, Kamaruddin Shamsuddin, 44.
Tertuduh didakwa melakukan jenayah itu pada antara pukul 8.30 dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010, di lot 2001,Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, dekat sini.
Semua mangsa dilaporkan hilang sebelum dibunuh selepas dikatakan ke Banting untuk bertemu seorang peguam bagi urusan pembelian tanah.
Pada pukul 9 pagi, anggota polis membawa masuk barang-barang kes termasuk atap zink.
Pada prosiding ini, barisan pendakwaan dibarisi Timbalan- Timbalan Pendakwa Raya, Shaiful Edris Zainudin dan Idham Abd Ghani yang diketuai Ishak Mohd Yusoff.
Barisan pembelaan pula diwakili oleh peguam-peguam Manjeet Singh Dhillon, Pushpa Ratnam, Gurbachan Singh, Amer Hamzah Arshad, Ravi Nekoo dan Datuk Ng See Teong.
Berdasarkan ucapan pembukaan yang dibacakan Ishak, perbicaraan dijangkakan akan melibatkan 36 saksi, termasuk dua pekerja ladang, A. Sarawanan dan U. Suresh yang telah mengaku salah atas tuduhan melupuskan bahan bukti pembunuhan itu.
Ishak juga memberitahu, salah seorang anak Sosilawati yang merupakan individu terakhir bertemu dengan mangsa turut akan dipanggil untuk memberi keterangan.

No comments:

Post a Comment

halaman