Pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy mendakwa, dadah jenis syabu yang berada di dalam rumahnya di Kondominium Menara Duta 2, di sini, ditinggalkan oleh seorang rakan yang berkunjung ke rumah itu pada malam, sehari sebelum dia ditangkap.
Benjy berkata, dia hanya mengetahui mengenai dadah yang berada di rak buku yang terletak di ruang tamu rumah tersebut selepas dimaklumkan oleh bekas pembantu peribadinya, Afifi Hamid.
Tambahnya, Afifi memberitahu seorang rakan mereka yang bernama Nor Azizi atau ‘Ji’ telah datang ke rumah itu pada sekitar pukul 10 malam, 10 Mac 2010 iaitu semasa dia tidak berada di rumah kerana keluar memancing di kolam ikan Kampung Desa Aman, Kepong, di sini.
Menurut Benjy, memancing merupakan hobinya di masa lapang, selain membawa anaknya ke kedai permainan, Toy ‘R’ Us.
Seterusnya, Benjy memberitahu, Afifi telah memaklumkan bahawa ‘Ji’ telah mengambil syabu semasa berada di rumah tersebut selama kira-kira sejam sebelum meninggalkan ‘barang’ di rak buku yang terdapat di ruang tamu.
“Afifi beritahu saya perkara itu semasa kami dalam perjalanan untuk ke sebuah lagi kolam ikan di Kampung Delek, Klang, dekat sini setelah saya tidak berjaya mendapat ikan di Kampung Desa Aman.
“Saya tanya kepada Afifi, mengapa dia tidak larang perbuatan Ji, dan dia beritahu dia tidak berbuat demikian kerana itu bukan rumahnya.
“Saya juga beritahu Afifi, bahawa saya bimbang akan anak saya dan Afifi jawab, dadah itu berada di rak atas,” katanya menjawab soalan peguam Amer Hamzah Arshad di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Mengimbas kejadian itu lagi, Benjy memberitahu bahawa dia telah meminta Afifi untuk melupuskan dadah itu dan beranggapan bahawa wanita tersebut telah berbuat demikian semasa mereka pulang untuk menghantar ikan jenahak yang diperolehnya pada keesokan paginya.
Bagaimanapun, semasa mereka ditahan polis pada 11 Mac 2010, Afifi telah memberitahunya bahawa dia terlupa untuk membuang dadah tersebut.
Justeru itu, dia mendakwa tindakannya mengambil dan menyerahkan dadah itu apabila ditanya oleh Asisten Superintendan (ASP) Mohd Ashril Md Johar sama ada terdapat barang salah di dalam rumah adalah cara dia memberikan kerjasama kepada pasukan polis.
Selain itu, dia juga menyerahkan dadah itu kepada polis kerana mahu polis yang berada di rumah itu segera beredar kerana tidak mahu anaknya melihat keadaannya yang bergari dengan lebih lama.
Pada prosiding itu, Benjy yang merupakan anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty juga memberitahu, bahawa dia tidak mengetahui nama penuh ‘Ji’ dan hanya boleh mengesannya melalui rakan-rakan kerana nombor telefon ‘Ji’ disimpan di dalam telefon bimbitnya yang kini ditahan oleh polis.
“Saya tidak dapat mencari ‘Ji’ kerana selepas ditangkap, saya ditahan di Pusat Pemulihan Akhlah Muar, Johor,” tambahnya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abd Halim, Benjy menafikan bahawa ‘Ji’ itu sebenarnya tidak wujud dan sekadar rekaan kerana kewujudan individu itu tidak pernah dinyatakan kepada polis semasa siasatan dijalankan.
Tambah Benjy, perkara itu tidak diberitahu kepada polis kerana selain tidak ditanya, dia juga mengamalkan hak untuk berdiam diri ekoran peguamnya tidak dibenarkan bersamanya semasa siasatan.
Meskipun hanya pulang ke rumah itu antara dua atau tiga hari seminggu, Benjy, 33, menyifatkan hubungannya dengan isteri, Safiya Stephance Kar-Leng Lee, 28, masih baik dan mereka jarang bergaduh.
Sementara itu, soalan Noor Mawarni berkaitan anak Benjy seperti makanan kegemaran dan waktu tidur dibantah oleh Amer Hamzah atas alasan perkara tersebut tidak relevan dengan kes yang sedang dibicarakan.
“Jika mahu berkenalan dengan lebih rapat, mungkin boleh dilakukan selepas ini,” kata Amer Hamzah.
Benjy sedang membela diri atas tuduhan memiliki syabu seberat 0.24 gram di rumah bernombor A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B Persimpangan Jalan Segambut di sini pada 4 petang 11 Mac tahun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun.
No comments:
Post a Comment