Saturday, June 11, 2011

kes khir Toyo menarik

ISNIN lalu, perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam sudah mula menerima pengunjung seawal 7 pagi, meskipun kunci pintu kayu tersebut hanya diselak pada pukul 8.30 pagi.
Selain wartawan yang hadir kerana tugas, ada pengunjung lain yang sanggup meninggalkan tempat tidur dan meredah kedinginan angin pagi kerana memulakan perjalanan - termasuk dari Sabak Bernam - seawal subuh.
Itu membuktikan betapa kuatnya 'tarikan' bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, sehingga orang ramai berpusu-pusu untuk memasuki mahkamah bagi mengikuti perbicaraan kes salah guna kuasa terhadapnya.
Mohamad Khir, 45, didakwa melakukan kesalahan tersebut menerusi perbuatannya mendapatkan bagi dirinya dan isteri, Zaharah Kechik, 45, dua lot tanah dan sebuah rumah daripada syarikat Ditamas Sdn Bhd pada harga yang murah menerusi pengarahnya, Shamsuddin Hayroni, yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.
Hartanah itu terletak di lot 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7, Shah Alam dan didakwa dibeli pada harga RM3.5 juta sedangkan Ditamas membayar sebanyak RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu pada 29 Mei 2007 di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Jalan Permata 7/1, Seksyen 7.
Pertuduhan terhadap Mohamad Khir menyebabkan dia meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor manakala gelaran Datuk Seri-nya digantung sehingga semakan dibuat selepas kes mahkamah selesai.
Bagaimanapun, mereka yang menghadiri prosiding Isnin sedikit hampa apabila perbicaran ditangguhkan kerana masih ada dokumen yang tidak diserahkan kepada barisan pembelaan Mohamad Khir.
Paling 'mengejutkan' ialah apabilan pihak pendakwaan mengumumkan bahawa mereka tidak berminat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Shamsuddin, yang sebelum itu didakwa bersubahat dengan Mohamad Khir melakukan kesalahan tersebut.
Mengikut keterangan pemilik asal hartanah itu, Saiful Aznir Shahabudin, 51, tanah itu berkeluasan kira-kira 50,000 kaki persegi manakala banglo (15,000 kaki persegi) itu dilengkapi dengan garaj (boleh memuatkan empat buah kereta), kolam renang, kolam ikan dan taman.
Hartanah tersebut yang dibelinya pada harga RM1.3 juta pada tahun 1995 dan 1996 kemudiannya dijual kepada Shamsuddin pada harga RM6.5 juta.
Seperti diduga, kehadiran Shamsuddin, 55 , di mahkamah apabila kes disambung pada Rabu, adalah sebagai salah seorang saksi pendakwaan - menceritakan bagaimana beliau berurusan secara terus dengan Mohamad Khir.
Kata ahli perniagaan yang memiliki beberapa syarikat itu, beliau banyak berurusan dengan Kerajaan Selangor, seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodakan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Antara projek yang dijalankan oleh syarikatnya pula meliputi projek pembangunan hartanah di Selangor seperti mendirikan rumah kediaman di Bandar Baru Bangi, Cheras dan Sungai Long.
Bagaimanapun, keterangan saksi kedua tersebut tidak dapat 'diteruskan' kerana tidak dapat meneruskan percakapannya selain kelihatan tidak selesa dan sering mengulang-ulangkan jawapan yang sama.
Keadaan saksi menyebabkan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki bertanya sekiranya beliau mengalami sebarang masalah kesihatan dan memerlukan masa untuk berehat.
Keterujaan untuk mendengar Shamsuddin menyambung keterangan pada Khamis, 'terbantut' selepas beliau dimaklumkan tidak sihat menyebabkan pihak pendakwaan memanggil saksi seterusnya, iaitu seorang pereka laman bebas, Nasir Ismail.
Bagaimanapun, rasa hampa itu 'terubat' apabila keterangan Nasir tidak kurang menariknya, apatah lagi kedudukannya sebagai individu yang melakukan kerja-kerja pengubahsuaian terhadap banglo milik Mohamad Khir dengan berkonsepkan Bali.
Tarikan utama sudah pastilah angka dan cara pembayaran kerja itu dibuat - RM6 juta tunai - satu jumlah yang tidak mungkin akan tertera pada buku simpanan bank penulis, melainkan jika mendapat durian runtuh tanpa diduga.
Katanya lagi, bayaran pertama yang diterima ialah wang tunai RM250,000 yang digunakan untuk membeli barang-barang dari Bali, Indonesia.
Transaksi bayaran lain pula sebanyak 11 atau 13 kali melibatkan jumlah RM500,000 dan dijelaskan sama ada oleh Shamsuddin atau Mohamad Khir sendiri.
Saksi yang pernah diisytiharkan sebagai bankrap pada tahun 1998 hingga 2008 juga mengatakan satu sebab mengapa pembayaran dibuat secara tunai adalah kerana 'status' tersebut selain dia sendiri tidak mempunyai akaun bank.
Bagaimanapun, saksi yang hanya tamat tingkatan satu itu mengakui ada menandatangani perjanjian dengan Mohamad Khir yang menyatakan kerja-kerja pengubahsuaian itu bernilai RM600,000 yang dikatakan sebagai tujuan formaliti.
Sayangnya selepas berhabis jutaan ringgit, masih ada kerja-kerja kecil yang tidak disiapkan dan alasan yang diberikan oleh Shamsuddin ialah pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan ke atas Mohamad Khir berhubung rumah tersebut.
Katanya, saban hari ada sahaja individu membuat tunjuk perasaan di hadapan rumah, selain berlaku perselisihan faham antara dia dengan Mohamad Khir berpunca daripada jumlah bayaran.
Setiap kes berprofil tinggi pastinya akan 'diserikan' dengan pertelingkahan, sindir-menyindir mahupun perselisihan pendapat, dan perbicaraan terhadap Mohamad Khir tidak dapat lari dari senario ini.
Antaranya, pertelingkahan yang berlaku antara peguam utama Mohamad Khir, M. Athimulan dengan Nasir berhubung ketiadaan dokumen seperti resit atau catitan yang dapat membuktikan bayaran RM6 juta tersebut.
Setelah diasak, Nasir yang terlebih dahulu mengatakan ketiadaan resit adalah disebabkan oleh 'permintaan tuan rumah' akhirnya mengatakan Tuhan adalah saksi kepada pembayaran tersebut - jawapan yang tidak dapat diterima oleh Athimulan.
Kata Athimulan, perbicaraan tersebut bukan berjalan di hadapan Tuhan , sebaliknya di hadapan seorang hakim yang sudah pastilah memerlukan bukti.
Selain itu, pertelingkahan singkat yang berlaku antara Athimulan dan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud juga 'memanaskan' perbicaraan sehingga Mohtarudin menyifatkan ia seperti perbuatan di kedai kopi.

Thursday, June 9, 2011

syamil ditembak polis jarak dekat

Laporan forensik dedah Syamil dibunuh dari jarak dekat

 Remaja mangsa tembakan Polis, Muhammad Syamil Hafiz Shapiei dibunuh dari jarak dekat, kata Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran.

Bukti itu katanya, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Menurut Surendran, berasaskan laporan itu juga, besar kemungkinan Syamil berada dalam kedudukan melutut atau mencangkung, ketika remaja itu ditembak.
“Mangsa yang ditembak di bahagian dahi dan dada sebenarnya berada pada jarak yang dekat dengan berkedudukan lebih rendah daripada penembak,” kata Surendran.
“Luka berbentuk bulat selaras dengan luka tembakan masuk pada bahagian dahi di antara kedua-dua kening berdiameter 0.5 cm.
“Terdapat lebam dan luka lelas mengelilinginya, kawasan berukuran 1×1.5 cm. Arah  tembakan 45 darjah ke belakang ke kanan dan tembus.
“Manakala pada bahagian sebelah kanan dada, 2.5 cm dari puting kanan, dari tulang tengah dada 7.5 cm berdiameter 0.5 cm,” kata Surendran memetik laporan itu.

Ibu Syamil, yang mengalirkan air mata ketika hadir di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini cuba ditenangkan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin
Justeru KEADILAN menuntut Peguam Negara  mendakwa mereka yang terlibat untuk dihadapkan ke mahkamah.
Muhammad  Syamil Hafiz Shapiei, 15, Mohd Khairul Nizam Tuah, 20, dan Mohd Hanafi Omar, 22, maut ditembak polis dalam kejadian pada awal pagi 13 November tahun lalu di Glenmarie, Shah Alam.
Pihak polis sebelum ini mendakwa kesemua remaja  itu sebagai ‘penjenayah tegar ‘ yang kononnya dikenali sebagai ‘geng minyak’.

Wednesday, June 8, 2011

bicara kes khir toyo

Perbicaraan kes Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo bermula Rabu dengan pemilik asal dua tanah lot di Seksyen 7, di sini memberitahu, tanah tersebut dijual pada harga RM6.5 juta.
Saksi pertama pendakwaan, Saiful Aznir Shahabudin yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kebangsaan Berhad memberitahu, tanah itu dijual kepada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Datuk Shamsuddin Hayroni yang telah dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dengan Mohamad Khir.
Kata saksi itu lagi, pada asalnya beliau mahu menjual pada harga RM7 juta.
Bagaimanapun, beliau akhirnya bersetuju untuk menjual tanah yang seluas kira-kira 50,000 kaki persegi pada harga yang lebih rendah.
Tanah tersebut yang mengandungi sebuah banglo, garaj yang boleh memuatkan empat buah kereta, kolam renang, kolam ikan dan lanskap dijual pada 23 Disember 2004.
Selain itu, saksi mengakui tanah itu dibeli pada tahun 1995 dan 1996 pada harga RM1.3 juta.
Bagaimanapun, menjawab soalan peguam Mohamad Khir, M. Athimulan, saksi bersetuju bahawa berdasarkan surat pindah milik, tanah itu dijual pada harga RM5 juta.
Perbicaraan bersambung petang ini dan Shamsuddin dijangkakan memberi keterangan.
Mohamad Khir, 45, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 6 Disember tahun lalu atas tuduhan mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Ditamas melalui Shamsuddin.
Hartanah tersebut yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L, Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang itu didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

astro pula naikkan harga


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru kerajaan supaya mendedahkan sama ada tindakan Astro untuk menaikkan harga bagi pakej televisyen berbayar adalah mengikut perjanjian yang ditetapkan.
Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata, pengguna perlu diberitahu apakah perkara yang dipersetujui dengan Astro bagi membolehkan pemegang lesen tunggal bagi penyiaran televisyen berbayar itu menaikkan harga perkhidmatannya.
"Sedangkan kadar tol juga perlu dipersetujuan oleh kerajaan dalam perjanjian... Kalau kerajaan tidak ambil tindakan serius, kami akan boikot Astro," katanya lagi dalam satu sidang media hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berhubung tindakan Astro untuk menaikkan harga bagi pakej perkhidmatannya sehingga RM15 sebulan yang didakwa tidak mesra pengguna.
astro satellite dishSebaliknya, Astro perlu mencontohi langkah yang diambil kerajaan yang tidak menaikkan harga bahan api terbeban demi kepentingan rakyat.
"Jika kerajaan boleh tangguh kenaikan harga, kenapa Astro tidak tunjuk rasa terima kasih kerana dapat monopoli, tangguh kenaikan harga yang ingin dibuat.
"Pulangan daripada yuran langganan saya sudah cukup untuk menampung kos operasi. Apa yang mereka mahu adalah untuk tambah keuntungan, bukan untuk tampung kos operasi," katanya lagi.

Tuesday, June 7, 2011

HATI SELALU MUDA


DARI Abu Hurairah r.a katanya, nabi s.a.w bersabda: "Hati seorang tua tetap muda dalam hal mencintai dua perkara iaitu dalam hal mencintai hidup dan harta benda."Kehidupan ini akan menjadi indah jika kita sentiasa bersemangat untuk meneruskan hayat. Dengan perkataan lain apabila semakin tua usia kita, jiwa kita semakin muda.-Riwayat Muslim
Tetapi muda di sini bukanlah bermaksud menganggap kematian itu masih jauh sehingga tidak kenal erti taubat dan tidak habis-habis melakukan maksiat yang walaupun usia sudah lanjut, 'rumah kata pergi, kubur kata mari', masih juga bergelumang dengan dosa.
Hal yang demikian ini merupakan suatu yang amat merugikan. Oleh sebab itu kita diminta untuk merebut 5 peluang sebelum tiba 5 rintangan iaitu waktu kaya sebelum miskin, waktu senang sebelum sibuk, waktu sihat sebelum sakit, waktu muda sebelum tua dan waktu hidup sebelum mati.
Maka sebagai insan yang percayakan kedatangan hari kiamat dan kematian itu akan datang pada bila-bila masa, tidak harus menanamkan kecintaan berlebihan terhadap dunia kerana esok sebenarnya bukanlah satu kenyataan.
Bahkan kenyataannya adalah di saat-saat sekarang. Oleh itu jalan yang paling selamat ialah dengan berpegang pada prinsip bahawa seseorang itu harus berusaha (bekerja) seolah-olah dia akan hidup selama-lamanya dan beribadat seolah-olah dia akan mati pada esok hari.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Sunday, May 29, 2011

Nilai Sogokan Anggota Penguatkuasa SPRM Pernah Mencecah RM1 Juta

 Sepanjang April tahun lepas hingga Mac tahun ini seramai 462 orang telah ditahan kerana merasuah anggota pengguatkuasa dengan nilai sogokan tertinggi sebanyak RM1 juta.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Samsiah Abu Bakar berkata daripada jumlah tersebut 422 orang terdiri daripada lelaki, dan seramai 282 orang warga tempatan, manakala selebihnya rakyat asing.
"Nilai sogokan tertinggi secara purata adalah dari RM200,000 hingga RM1 juta dan tangkapan tersebut menunjukkan bahawa SPRM tegas dan kita harap orang ramai juga bertegas menolak tawaran rasuah biarpun dalam jumlah kecil," katanya.
Samsiah berkata demikian dalam forum bertajuk "Ke Arah Rasuah Sifar: Peranan NGO Dalam Memerangi Rasuah" bersama Pertubuhan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini Sabtu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu aktif membantu SPRM memerangi rasuah.
Ini adalah kerana NGO banyak berinteraksi dengan orang ramai dan boleh membantu menerangkan kepada mereka secara terus mengenai bahaya rasuah, katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum tersebut.
"NGO boleh diibaratkan sebagai mata dan telinga atau 'watch dog' untuk melaporkan apa-apa juga kesalahan yang ada kaitan dengan penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa," katanya.
Sutinah berkata usaha membanteras rasuah tidak sepatutnya dibebankan di bahu penguatkuasa semata-mata, sebaliknya perlu dijalankan secara bersama.
"Kalau diharapkan SPRM sahaja untuk 'cungkil' dan cari kesalahan rasuah dari semua aspek dan sektor dengan keanggotaan yang kita ada, kita tidak mampu. Justeru kita perlu kerjasama dari pertubuhan seperti NGO sebagai saluran," katanya.
Pengerusi Majlis Penasihat Persatuan Pengguna Islam Malaysia Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata pihaknya merancang untuk menjalankan 'roadshow' bersama SPRM ke semua negeri supaya masyarakat dalam semua sektor dapat dididik dan didedahkan tentang kesan-kesan buruk gejala rasuah dan langkah-langkah pencegahannya. -BERNAMA

Friday, May 27, 2011

Nurul AF2 nikah dithailand


 Penyanyi Nurul, yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) telah berkahwin dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad di Narathiwat, Thailand.
Menurut Nurul, pernikahan itu berlangsung pada 23 Mei lalu. Dia menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 pada majlis yang dilakukan dengan berwalikan seorang lelaki Thailand, Wan Husin Wan Ab Rahman.
Katanya lagi, dia, suami dan ibu bapa mertuanya masuk ke Narathiwat menerusi Kota Bharu, Kelantan pada hari tersebut dengan menaiki kereta dan terus ke pejabat agama itu untuk mengisi borang pernikahan.
"Bagaimanapun, akad nikah dilakukan di rumah Wan Husin kerana semasa itu adalah hari cuti, iaitu Sabtu. Wan Husin adalah seorang wali bertauliah yang disyorkan oleh majlis agama," katanya.
Nurul atau nama sebenarnya Nurullah Abdul Hamid, 29, berkata demikian semasa memberi keterangan pada permohonan Mohd Munzil, 28, untuk mengesahkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini pada Khamis.
Permohonan tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah dan mereka diwakili oleh peguam-peguam syarie, Mohamad Azlin Mohamad Razali dan Mohammad Fauzi Abdullah.
Nurul sewaktu majlis pertunangannya.
Pada keterangan lain, Nurul berkata, pernikahan itu diadakan di Thailand kerana timbul masalah wali ekoran keengganan bapa kandungnya, Zawawi untuk menjadi wali.
"Saya ada cuba berjumpa dengan bapa kandung saya, tapi dia tidak mahu menjadi wali. Ini kerana masalah yang berlaku antara bapa dengan keluarga angkat saya sewaktu saya masih kecil," tambahnya.
Nurul juga menambah, dia dan suami ada mencuba untuk mendapatkan wali hakim daripada Majlis Agama Islam Sarawak, tetapi ia akan mengambil masa yang lama, sedangkan tarikh majlis pernikahan telah ditetapkan berlangsung pada Sabtu ini.
"Selepas perkahwinan itu, jika orang tanya siapa Mohd Munzil, saya akan jawab dia sebagai tunang saya, sebab tidak ramai yang tahu (berkahwin), hanya orang terdekat sahaja.
"Tetapi, dia sebenarnya suami saya. Selepas berkahwin saya tinggal dengan dia,” katanya.Selepas mendengar keterangan itu, Abdul Halim memutuskan pernikahan tersebut sah di sisi hukum syarak kerana telah memenuhi hukum nikah, walaupun tidak menggunakan wali sebenar ekoran bapa kandung Nurul berada jauh di Kuching, Sarawak.
Beliau seterusnya mengarahkan pasangan tersebut untuk mendaftarkan pernikahan tersebut di Pejabat Majlis Agama Islam.
Sementara itu, Nurul yang ditemui di luar mahkamah berkata, dia berasa lega kerana masalah pernikahannya telah selesai.
"Saya rasa lebih berdebar dengan kes mahkamah berbanding dengan majlis persandingan Sabtu ini," katanya yang mengenakan baju kurung merah jambu dan selendang kelabu.
Selain itu, dia yang mengenali Mohd Munzil sejak Julai tahun lepas sebelum mengikat tali pertunangan pada 4 Februari lalu juga memberitahu akan berlepas ke Kuching pada malam Khamis untuk menyiapkan persiapan majlis perkahwinan.
Pasangan tersebut dijangkakan akan mengadakan majlis resepsi sebelah lelaki di De Palma Hotel Ampang, dekat sini pada 3 Jun depan.
Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Nurul memberitahu mereka mungkin ke Bali, Indonesia sebelum berlepas ke New Zealand seminggu selepas raya kerana Mohd Munzil akan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selama tiga tahun.
Pelakon Razak Ahmad Ditangkap Di Tempat Terselindung
 Pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad yang menghadapi pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang dikatakan telah ditangkap di tempat yang terselindung di sebuah rumah.
Pelakuan tersebut yang membawa watak sebagai Tok Imam dalam drama bersiri Geng Surau itu dan wanita terbabit, Selamah Sahudin adalah dihujahkan boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral.
Itu adalah sebahagian daripada intipati hujahan bertulis oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli yang difailkannya di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada Khamis.
Selain itu, Shafezan juga menghujahkan bahawa pihaknya telah membuktikan eleman yang diperlukan seperti pertuduhan khalwat, iaitu tertuduh adalah seorang lelaki yang bukan suami atau mahram kepada Selamah.
Hujah beliau lagi, semasa pasukan penguat kuasa Jais membuat serbuan, hanya Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, yang berada di rumah terbabit bersama Selamah, 45 tahun.
Razak dan Selamah didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 2.15 pagi, 1 April 2006, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, dekat sini.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 29(1)(a) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang membawa hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Razak yang dihadapkan ke mahkamah untuk kali pertama pada 27 Julai 2006 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut manakala Selamah dijatuhkan hukuman denda RM2,850 selepas mengaku bersalah.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Pagar Padi dan tersenarai pada peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1992 itu akan mengetahui nasibnya, sama ada akan dipanggil untuk membela diri ataupun dilepaskan daripada pertuduhan itu pada 30 Jun ini.
Tarikh keputusan telah ditetapkan oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada prosiding sebelum ini.
Sepanjang perbicaraan yang melibatkan tiga saksi pendakwaan, Razak diwakili oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim.
Fakta kes yang diakui oleh Selamah yang merupakan seorang ahli perniagaan menyatakan bahawa pintu rumah dan jeriji besi rumah tersebut berada dalam keadaan berkunci manakala rumah dalam keadaan yang agak gelap.
Pintu rumah dibuka selepas beberapa minit diketuk.
Semasa itu, Selamah yang membuka pintu berpakaian lengkap dan pemeriksaan di bilik pertama rumah mendapati Razak sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.

halaman