Pelajar lelaki berusia tujuh tahun yang didakwa menjadi mangsa pukul seorang guru sehingga meninggal dunia telah disahkan menemui ajalnya akibat pendarahan dalam otak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Perlis, Superintenden Mohd Nashir Ya berkata, hasil bedah siasat mendapati, mangsa ada kemungkinan dicekik dileher mengakibatkan saluran oksigen ke otaknya terjejas dan ini menyebabkan pendarahan dalam otak.
Saiful Syazani Saiful Sopfidee meninggal dunia empat hari selepas dia dikatakan diikat dan dikemudian dipukul selama lebih dua jam oleh seorang guru yang juga warden Sekolah Agama Al-Furqan di Jejawi, Arau dekat sini pada malam Khamis lepas.
Kanak-kanak itu yang kemudiannya dimasukkan ke Hospital Sultan Bahiyah Alor Setar pada hari Jumaat meninggal dunia pada kira-kira jam 8 pagi Ahad.
Supt Mohd Nashir memberitahu para wartawan di sini, pada Selasa, bahawa siasatan ke atas kes tersebut telah pun selesai dan kes tersebut telah dipanjangkan ke pejabat timbalan pendakwa raya negeri untuk tindakan seterusnya.
“Kami turut mendapatkan perintah penyambungan tahanan reman ke atas suspek yang berusia 26 tahun itu yang telahpun ditahan berhubung kes ini sehingga 11 April,” ujarnya lagi.
No comments:
Post a Comment