Penjelasan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadhillah Yusof mengenai projek pembinaan kilang tanah jarang di Gebeng, Kuantan mengundang persepsi negatif berhubung ketelusan maklumat yang disalurkan kepada rakyat.
Malah, tindakan berdolak-dalik ketika menjawab soalan Senator Mohammed Najeeb Abdullah di Dewan Negara kelmarin menggambarkan kementerian itu semakin tertekan, kata aktivis DAP Charles Santiago.
Charles yang dihubungi Tv Selangor berkata kerajaan kini sedang mencari jalan untuk menjelaskan kepada rakyat tentang lesen membina kilang yang dikeluarkan kepada Lynas (M) Sdn Bhd walaupun bantahan telah dibuat.
Katanya, kementerian di bawah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak cuba memandang rendah tahap kesedaran rakyat mengenai bahayanya kesan radioaktif kepada penduduk dan persekitaran mereka khususnya di Pahang.
"Jelas ia bukan sahaja isu Lynas tetapi termasuk isu tenaga nuklear, nampaknya kerajaan hendak main-main dengan rakyat.
"Apabila dicabar dengan fakta-fakta lain, mereka tidak dapat berikan penjelasan yang boleh diterima rakyat," kata beliau.
Kementerian menerusi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), telah mengeluarkan lesen penempatan tapak dan pembinaan kilang kepada Lynas di Gebeng, Pahang.
Tempoh sah lesen penempatan tapak dan pembinaan itu bermula 19 September 2009 hingga 18 September 2011.
Timbalan Menterinya kemudian menjelaskan lesen pengeluaran penuh tidak akan dikeluarkan jika Lynas tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Seterusnya penilaian lebih ketat akan dijalankan bagi pengeluaran lesen pengendalian untuk memastikan sisa yang dihasilkan kelak akan diuruskan dengan baik dan selamat, di samping memenuhi kriteria asal kertas cadangan yang telah dikemukakan,"
Ahli parlimen Klang itu kemudian mendakwa kerajaan tidak mengamalkan sikap telus sejak dari awal cadangan projek tanah jarang itu dikemukakan di bawah Plan Transformasi Ekonomi (ETP) Najib Razak.
Katanya, menteri telah bersetuju untuk berbincang dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat namum sebaliknya Perdana Menteri sendiri mengumumkan cadangan tersebut tanpa pengetahuan rakyat.
"Kalau ini berlaku maka kepercayaan terhadap kerajaan Malaysia tidak begitu baik di rantau ini khususnya pelabur. Isu ini berkait dengan persekitaran. Sebelum meluluskan mana-mana projek mesti berunding dengan rakyat termasuk NGO dan persatuan profesional," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment