Seorang pakar perubatan forensik hari ini mempertahankan pendapatnya bahawa Teoh Beng Hock berada dalam kedudukan mencangkung di birai tingkap sebelum terjun dan dijumpai mati di koridor tingkat lima, Plaza Masalam pada 16 Julai dua tahun lalu.
Dr. Prashant Naresh Samberkar semasa memberi keterangan pada prosiding suruhanjaya untuk menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor itu, mengekalkan teori tersebut berdasarkan kesan garisan lekuk pada dua belah tapak kasut milik mangsa yang sepadan dengan birai tingkap di tingkat 14.
Beliau yang merupakan pensyarah kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) turut menjalankan bedah siasat terhadap mayat Beng Hock berkata, ukuran birai selebar tiga milimeter dipadankan sendiri semasa melawat tempat kejadian untuk kali kedua.
"Berdasarkan kesan lekuk pada tapak kasut, si mati mencangkung di atas birai tingkap dan memegang tingkap sebelum terjun.
"Kalau si mati dicampak keluar tingkap, tidak mungkin dia dalam keadaan sedar dan tidak akan ada kesan lekuk birai tingkap di bahagian tapak kasut.
"Amat penting untuk memahami mekanisme kesan jatuh. Saya tahu keluarga si mati tidak dapat menerima pendapat ini, tetapi saya telah buat kajian tentang jatuh dari tempat tinggi sejak 10 tahun lalu. Sebab itu saya buat kesimpulan sebegitu,'' katanya.
Sementara itu, seorang lagi pakar perubatan forensik, Dr. Khairul Azman Ibrahim hari ini turut menegaskan bahawa tiada sebarang kesan kecederaan sebelum jatuh ditemui pada badan mahupun leher Beng Hock semasa mayat lelaki itu dibedah siasat untuk kali pertama.
Beliau turut menolak dakwaan pakar patologi dari Thailand, Dr. Pornthip Rojanasunand bahawa terdapat kesan kecederaan akibat dicekik pada leher, sebaliknya ia adalah impak akibat jatuh dari tempat tinggi.
"Saya tidak jumpa sebarang kesan cekik yang jelas. Kesan melecet tidak akan dijumpai sekiranya yang dicekik adalah kanak-kanak kerana mereka mungkin tidak melawan.
"Bagaimanapun sekiranya orang dewasa dicekik, dia pasti melawan dan berlaku pergelutan serta meninggalkan kesan melecet yang ketara,'' katanya.
Beliau juga berpendapat Beng Hock bukan sahaja masih hidup semasa jatuh, tetapi juga masih bernafas selama beberapa minit selepas badannya terhempas di koridor tingkat lima.
"Bila jatuh, si mati masih hidup sebab dia mencuba untuk melindungi diri dengan menjejakkan kaki dahulu ke lantai.
"Dia juga mungkin masih hidup selama beberapa minit selepas jatuh berdasarkan gelembung-gelembung gas dalam rongga dada yang menunjukkan dia masih bernafas,'' jelas beliau.
Terdahulu, pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengarahkan Khairul Azman meneliti pandangan Pornthip bagi memberi peluang kepada beliau untuk mempertahankan pendapatnya sebelum ini.
Beliau juga membenarkan pakar perunding dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang itu serta Prashant hadir mendengar keterangan Pornthip pada 15 dan 16 Mac ini.
Ketika kedua-dua pakar patologi itu memberi keterangan, suruhanjaya mengarahkan agar gambar-gambar bedah siasat tidak ditayangkan secara langsung melalui televisyen yang terdapat di luar mahkamah serta bilik media.
Arahan itu bertujuan menghormati keluarga Beng Hock selepas peguam mewakili Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong mencadangkan ia tidak ditunjukkan kepada umum.
Turut memberi keterangan hari ini ialah Zurinawati Zulkifli, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ternampak beg sandang Beng Hock di tepi sofa pada pagi sebelum mayatnya ditemui.
Prosiding yang diadakan di Mahkamah NCvC di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.
No comments:
Post a Comment