Thursday, March 29, 2012

telinga besar ingin sertai polis

Kamarudin Hasrat seorang anak muda untuk menyertai pasukan polis tidak tercapai apabila panel ujian fizikal bagi jawatan konstabel mendakwa telinganya besar dan tangannya bengkok.

Kamarudin Osman, 19, dari Desa Bidara, Kuala Ketil terkilan selepas gagal mengikuti ujian fizikal lain apabila fizikal badannya dikatakan tidak memenuhi syarat diperlukan.

“Saya tidak rasa telinga saya besar. Saya betul-betul berminat untuk menyertai pasukan polis. Bagi saya, minat dan komitmen itu lebih penting daripada segala-galanya,” katanya.

Bekas kadet polis Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Puteri selama tiga tahun itu pernah mengikuti latihan menembak ketika di bangku sekolah.

“Saya terlalu meminati bidang kepolisan. Saya pernah ponteng sekolah untuk menghadiri kursus menembak. Saya tahu, perkara itu salah, tetapi minat saya mengatasi segalanya,” kata anak bongsu daripada enam beradik ini.

Kamarudin, yang memiliki ketinggian 172 sentimeter, mempunyai kesihatan yang baik selain aktif dalam bidang sukan ketika di bangku sekolah.

Menurutnya, panel pemilihan hanya mengambil masa tidak sampai 10 minit menilainya sebelum mengatakan dia gagal untuk meneruskan ujian seterusnya.

“Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam hal ini, tetapi saya agak terkilan kerana tidak dapat meneruskan ujian seterusnya gara-gara dikatakan mempunyai telinga besar.

“Siapa yang inginkan telinganya besar, itu adalah takdir Tuhan. Tinggi, berat badan, ukur lilit dada dan pernafasan saya mengikut syarat yang ditetapkan, tetapi masih gagal meneruskan ujian lanjut," katanya lagi.

Katanya, panel penilai itu turut menasihatinya memohon semula untuk menduduki ujian berkenaan.

“Apa salahnya saya diberikan peluang dan membuktikan yang saya mampu untuk menjadi seorang anggota polis,” katanya kepada kepada Sinar Harian.

Kamarudin berharap sempena Hari Polis ke-205 ini, pihak terbabit dapat mempertimbangkan hasratnya.

“Saya kagum melihat disiplin dan komitmen anggota polis menjalankan setiap tugas mereka. Justeru, saya amat berharap, dapat menjadi salah seorang daripada anggota keselamatan ini.

“Sejak kecil saya meminati bidang kepolisan ini. Saya yakin mampu melakukan yang terbaik sekiranya diberikan peluang ini,” katanya yang nekad untuk terus memohon menyertai bidang berkenaan.

terjun jambatan banyak hutang

Mayat
Akibat terlalu runsing menanggung beban hutang yang banyak, seorang lelaki bertindak nekad terjun ke dalam Sungai Muar.

Bagaimanapun, mayat lelaki berkenaan ditemui terapung oleh orang ramai berhampiran jeti di Jabatan Laut di sini, petang semalam.

Ng Yee Wee, 34, dilaporkan hilang oleh isterinya selepas keluar rumah kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Berikutan bimbang, isteri mangsa yang berusia 27 tahun itu segera membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar selepas suaminya tidak pulang-pulang.

Timbalan Ketua Polis Da­erah, Superintendan Sa­hadan Jaafar, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kehilangan lelaki berkenaan.

Menurutnya, mayat lelaki terbabit yang lengkap berpakaian ditemui orang ramai ketika hanyut berhampiran jeti berkenaan kira-kira satu kilometer dari jambatan kedua kira-kira jam 3 petang semalam.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya.

“Namun, kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematiannya,” katanya.

2 Ajk Umno bahagian Hulu langat maut


 Dua Anggota Jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Hulu Langat meninggal dunia dan tiga cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang lampu di Persiaran Selatan dari arah Dengkil ke Putrajaya dekat sini, Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam lima petang berhampiran Desa Pinggiran Putra itu, mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kajang selepas menghantar Ketua Penerangan Pemuda Umno Bahagian itu, Al Dita Aladin ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menunaikan umrah.
Mangsa, Saifuddin Kandar, 39, dan Khairul Hisham Janarudin, 37, yang duduk di kerusi penumpang kereta jenis Toyota Estima itu cedera parah di bahagian kepala dan badan akibat tercampak dari kenderaan.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz yang ditemui di tempat kejadian berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lagi mangsa Ahmad Zarani Md Zam yang memaklumkan mereka terlibat dalam kemalangan.
Jenazah kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat, manakala mangsa lain yang terselamat adalah Yazid Ghazali dan Razip Rashid masing-masing 30-an.
Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman ketika dihubungi di sini mengesahkan kejadian dan beliau berkata kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Wednesday, March 28, 2012

Saiful Apek positif kanabis

Saiful ApekMahkamah Majistret di sini diberitahu air kencing pelakon komedi popular Mohd Saifulazam Mohamed Yusoff atau lebih dikenali sebagai Saiful Apek, dan tiga rakannya, disahkan positif kanabis.

Juruteknologi makmal perubatan Israfel Ismon berkata beliau memperoleh keputusan itu selepas melakukan ujian pengesanan dadah terhadap air kencing Saiful Apek, 42, serta Shah Zainatull Ehsan Al-Muazam Shah Yahya, 28, Shaiful Baharom, 24, dan Noremy Mohamad, 28.

Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ishrakh Saad pada perbicaraan kes keempat-empat tertuduh yang didakwa memasukkan dadah jenis kanabis ke dalam badan mereka.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, di IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan di sini pada 11 malam, 12 Jun 2010 mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM5,000 jika sabit kesalahan.

Israfel, 54, yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, turut memaklumkan bahawa proses ujian itu mengambil masa tiga hari.
  
Bagaimanapun, saksi kelima pendakwaan itu berkata beliau tidak ingat tarikh sebenar ujian tersebut, namun ia dilakukan antara 26 Jun hingga 17 Ogos 2010.

Kepada soalan lain, Israfel berkata ketika melakukan ujian itu, beliau tidak pernah mengalami kejadian tertukar sampel air kencing. 
Saiful Apek serta tiga rakannya diwakili peguam Zambri Idrus dan Mohd Fadli Hashim.

Perbicaraan di depan Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid disambung 10 Mei depan. -- Bernama

2 lagi wanita mangsa simbah asid di Rawang


 Seorang wanita dan seorang gadis menjadi mangsa simbahan asid oleh dua lelaki ketika menunggu bas di Batu 16, Rawang, dekat sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, S.Rani, 46, dan Nuraqilah Osman, 16, telah disimbah asid oleh seorang daripada suspek yang berjalan kaki.
Beliau berkata, suspek telah meragut rantai leher Rani sebelum melarikan diri ke kawasan berhampiran.
"Semasa melarikan diri, seorang daripada suspek itu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah wanita itu yang turut mengenai mangsa kedua menyebabkan belakang badannya melecur," katanya dalam satu sistem pesanan ringkas malam ini.
Abdul Rahim berkata Nuraqilah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Selayang manakala Rani, yang cedera di muka, leher, tangan serta dada, masih dirawat di hospital sama.
"Mangsa tidak dapat mengecam identiti kedua-dua suspek kerana semasa kejadian, keadaan gelap dan perlakuan suspek terlalu pantas," katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - Bernama 

Sunday, March 25, 2012

Baling topi kledar polis langgar SOP -IGP

Pihak polis mengakui anggotanya yang terlibat dalam insiden membaling topi keledar ke jalan raya sehingga menyebabkannya penunggang motosikal terjatuh dan cedera serius di George Town telah melanggar prosedur operasi standard (SOP).

NONE"Kita mendapat pengaduan bahwa ada kumpulan mat rempit yang mengganggu masyarakat. Jadi polis pun respons, dua orang (anggota) sahaja yang sampai.

"Jadi budak yang bertugas itu saja tidak mengikut SOP," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media di Bukit Aman semalam.

Beliau bagaimanapun berkata ia kes yang jarang berlaku dan polis menyedari perbuatan itu dan sudah membetulkannya.

Malah, katanya pendamaian dengan penduduk setempat sudah dibuat setelah mengadakan rundingan dengan mereka.

Seorang wanita Zaleha Mohd pada 16 Mac lalu memohon polis mempercepatkan siasatan terhadap anggotanya yang didakwamelempar topi keledar ke jalan raya sehingga menyebabkan cucunya jatuh daripada motosikal di Jalan Teluk Bahang pada 4 Mac lepas.

Cucunya Mohd Afiq Rozaimi, 18, antara 15 remaja yang menunggang motosikal secara berkumpulan di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang apabila anggota polis berkenaan melempar topi keledar.

Ekoran kejadian itu, lebih 100 orang penduduk kampung melontar batu ke arah Balai Polis Teluk Bahang kerana berang dengan tindakan itu sehingga perjumpaan dengan penduduk terpaksa diadakan. Seorang anggota polis berpangkat lans koperal juga ditukarkan ke unit lain sementara menunggu siasatan.

Wednesday, March 21, 2012

Hasbie Satar Hasbie Satar, bekas setiausaha politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 28 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke dalam akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.   

Hasbie, 39, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.    

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu di Salak Tinggi, Sepang, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 dan 18 Jun 2009.   

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.   

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis dan Hazril Harun mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 dan memohon kesemua 28 pertuduhan itu dibicarakan bersama.

Pihak pendakwaan turut memohon agar kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang di mana tertuduh mempunyai satu lagi pertuduhan di bawah akta yang sama.   

Permohonan di bawah Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah itu dibuat atas alasan kesemua 28 pertuduhan tersebut melibatkan seksyen yang sama dan kebanyakan saksi adalah saksi yang sama dalam kes di Mahkamah Sesyen Butterworth.  

Pada 10 Feb tahun lepas, Hasbie mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas tuduhan memiliki wang daripada hasil aktiviti haram berjumlah RM2,134,656 dan dia dibebaskan dengan jaminan RM60,000 serta dua orang penjamin.   

Peguam Y. Sheelan Samuagam yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 atas alasan jumlah yang ditawarkan pihak pendakwaan terlalu tinggi memandangkan anak guamnya telah dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth.  

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM90,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes.    

Beliau turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar kesemua 28 pertuduhan dibicarakan bersama tetapi menolak permohonan mereka untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Butterworth. - Bernama

Monday, March 19, 2012

Kanak-kanak cedera parah diserangkan anjing jiran

 Dhiya Qairina, 7, menunjukkan gigitan dan cakaran anjing yang menyerangnya di Taman Perumahan Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, petang Ahad sambil diperhatikan oleh ibunya, Radziah Mohd Adas, 46. Dhiya yang bermain di hadapan rumahnya diserang oleh seekor anjing jirannya yang menyebabkan beliau diberi rawatan di sebuah hospital swasta. Kanak-kanak tersebut diselamatkan oleh bapanya, Muhammad Nur Akmal Abdul Latif yang melihat kejadian tersebut.-fotoBERNAMA

seorang polis ditangkap kerana menculik

Seorang anggota polis yang digantung perkhidmatan ditahan bersama dua lelaki lain bagi membantu siasatan kes culik seorang lelaki di Kuala Muda, Sungai Petani, Jumaat lepas.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 28 dan 50 tahun itu ditahan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi Ahad selepas keluarga mangsa memberikan wang tebusan sebanyak RM40,000.
"Mangsa yang berusia 23 tahun berada dalam keadaan selamat," kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata polis merampas wang tunai RM40,000, empat telefon bimbit, satu gari dan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dilapor hilang di Lembah Klang serta menemui semula kereta Proton Gen2 milik mangsa.
Ahmad berkata mangsa dilapor diculik di hadapan sebuah hotel di Bedong dekat Sungai Petani kira-kira pukul 11 pagi Jumaat lepas ketika dia baru keluar dari hotel dan ingin masuk ke dalam keretanya.
"Mangsa ditarik masuk ke dalam kereta oleh suspek sebelum dibawa ke Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata keluarga mangsa dihubungi suspek yang meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 tetapi selepas perbincangan, suspek bersetuju menerima RM40,000.
Ahmad berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kami akan siasat kes ini secara halus dan terperinci. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjenayah walaupun dia adalah anggota polis," katanya.
Beliau berkata anggota polis yang ditahan itu berumur 50 tahun dan dia ditahan tugas kerana mempunyai rekod terbabit dengan dadah.
Kesemua suspek rakyat tempatan itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau sebatan, katanya. - BERNAMA

Wednesday, March 14, 2012

mydin usj subang terbakar

Mydin Hypermarket di USJ, Subang Jaya terbakar lebih kurang pukul 7:30ptg, Selasa 13 Mac 2012. Sebab kebakaran masih belum dapat dipastikan.Fire at the top of the Mydin Hypermart in USJ, Subang Jaya in Selangor March 13, 2012.




Perniagaan di pasar raya Mydin Hypermarket di sini terpaksa dihentikan selepas papan tandanya tiba-tiba terbakar pada petang Selasa.
Ketua Balai Bomba Subang Jaya, Mohd Khairi Daud berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.12 malam.
“Kami tiba ditempat kejadian 10 minit kemudian, papan tanda tersebut telah hangus terbakar dan api telah marak hingga ke arah bumbung bangunan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Mohd Khairi berkata, dua kereta bomba serta 10 ahli bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk memadamkan api dan mengawal kebakaran sepenuhnya pada pukul 8.20 malam.
A fire-truck parked by Mydin Hypermart at USJ, Subang Jaya in Selangor after  firemen managed to put down a fire on the building roof March 13, 2012. — Picture by Choo Choy MayKami telah menasihatkan pihak pengurusan supaya menutup bangunan ini sehingga kami dapat menentukan struktur bangunan berada dalam keadaan yang baik,” katanya sambil menambah bahawa satu unit forensik telah dirahkan untuk menyiasat punca kebakaran.
Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata semua kakitangan dan pelanggan telah diarahkan untuk segera meninggalkan bangunan tersebut ketika kebarakan itu berlaku.
"Hujan yang turun bukan sahaja membantu memadamkan api malah ia membantu daripada mengelakkan orang awam daripada terkorban kerana papan tanda tersebut betul-betul berada di atas sebuah restoran.
"Kebiasaannya, pada waktu malam, orang ramai akan duduk di luar dan mungkin ada yang akan mengalami kecederaan sekiranya papan tanda itu jatuh,” katanya.
Beliau turut mengesahkan pasar raya tersebut akan ditutup sementara waktu sehingga jabatan bomba selesai menjalankan siasatan.

Tuesday, March 13, 2012

kes bunuh dan bakar Nurul, suspek akan segera didakwa


Nenek Nurul Nadirah Abdullah, Milnah Jul,52, (dua kanan) tidah dapat menahan sebak ketika melawat lokasi penemuan mayat Nurul Nadirah di sebuah flat terbengkalai di Nusai Damai, Masai di sini, Selasa. -FotoBERNAMA

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, polis sedang berusaha menyiapkan kertas siasatan kes bunuh dan bakar kanak-kanak malang Nurul Nadhirah Abdullah, secepat mungkin bagi membolehkan suspek kes itu dihadapkan ke mahkamah.
Beliau berkata, polis sedang menunggu beberapa lagi laporan daripada Jabatan Kimia untuk menyiapkan kertas siasatan itu sebelum dikemukakan kepada pihak Pendakwa Raya untuk tindakan.
"Saya telahpun mengarahkan timbalan saya Datuk Ismail Yatim yang mempengerusikan pasukan khas bagi menyiasat kes ini untuk siapkan kertas siasatan secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika mengunjungi keluarga Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang, 5, di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam Pasir Gudang di sini, Selasa.
Sambil menyifatkan individu yang terlibat dalam kes bunuh dan bakar kanak-kanak itu sebagai penjenayah kejam, berhati binatang dan tidak berperikemanusian menyiksa insan kerdil yang tidak berdosa, beliau menegaskan suspek yang terlibat akan dihadapkan ke muka pengadilan secepat mungkin.
Katanya, tiga daripada empat suspek termasuk seorang wanita berumur 30 hingga 40 tahun itu didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ice manakala dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan dadah dan curi.
Dalam kunjungan yang turut disertai oleh isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam itu, Mohd Mokhtar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian tragis dan menyayat hati itu.
Beliau berkata, kejadian itu harus dijadikan iktibar dan masyarakat digesa supaya mengawasi anak-anak supaya tidak terdedah kepada ancaman keselamatan.
"Saya juga minta masyarakat berwaspada jika terlihat karektor mencurigakan," katanya.
Mengenai panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang diterima oleh ibu mangsa, Roselyn Alan, 25 daripada seorang wanita tidak dikenali dari Kelantan semalam, Mohd Mokhtar berkata pihaknya telah berhubung dengan polis negeri itu bagi membantu menyiasat kes tersebut.
"Kita minta bantuan polis Kelantan untuk cekup individu itu, kesan dia dan bawa dia ke Johor," katanya.
Roselyn sebelum ini dilaporkan menerima panggilan telefon dan SMS daripada seorang yang tidak dikenali mengugut untuk membunuh Dirang jika tidak dibayar wang tebusan sebanyak RM30,000.
Polis semalam mengesahkan mayat rentung yang ditemui di ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Masai dekat sini pada Khamis lalu sebagai Nurul Nadhirah setelah mendapat keputusan hasil ujian asid Deoksiribonukleik (DNA) daripada Jabatan Kimia.
Nurul Nadhirah atau lebih dikenali sebagai Dirang hilang pada 1 Mac lalu ketika keluar membeli mi segera dan telur di kedai runcit di kawasan kediamannya.- BERNAMA

Saturday, March 10, 2012

Lelaki beristeri enam

Bukan 4 tapi 6 isteri
 Kerajaan Negeri Kelantan tidak campur tangan dalam isu membabitkan seorang lelaki yang didakwa menipu empat isterinya untuk bertindak di luar kewarasan dengan menambah dua lagi isteri.

Exco Kerajaan Negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada mahkamah untuk menentukan keputusan sewajarnya.

“Secara umumnya apabila berlaku perkara seperti ini, individu terlibat boleh disifatkan sebagai jahil agama, seolah-olah tidak tahu dia hanya boleh berkahwin sehingga empat sahaja, namun dalam kes yang dilaporkan itu kita tidak pasti mengenai statusnya sama ada dia sudah menceraikan mana-mana dua daripada isterinya sebelum berkahwin,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.


Kelmarin, media melaporkan seorang lelaki berusia lingkungan 50- an dengan bermodalkan air liur dan putar belit begitu licik menipu empat isterinya bagi membolehkan dia menambah dua ‘cawangan’ lagi. Lelaki itu didakwa mengahwini isteri kelima di negara jiran pada Mac tahun lalu dan selang sebulan selepas itu mengahwini pula seorang wanita berstatus janda di tempat sama.

Wednesday, March 7, 2012

Polis minta orang ramai bertenang atas keganasan polis

Polis telah menasihati orang awam supaya tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri berikutan satu insiden yang menyaksikan lebih 100 orang kampung menyerbu ke Balai Polis Teluk Bahang kerana memprotes tindakan seorang pegawai polis yang menyebabkan anak mereka terjatuh dari motosikal selepas dikatakan merempit.
Ketua Polis Pulau Pinang, Timbalan Komisioner Datuk Wira Ayub Yaakob berkata, pihak polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang termasuklah ke atas mereka yang membuat kecoh atau pegawai polis yang tidak mengikut peraturan standard ketika bertugas.
“Kami masih menyiasat kedua-dua insiden itu. Yang pertama dakwaan yang mengatakan pegawai polis yang dihantar bertugas menyiasat kejadian merempit telah membaling helmet ke arah para penunggang motosikal berkenaan sehingga jatuh.
“Yang keduanya kami juga sedang menyiasat kejadian merusuh ke balai polis Teluk Bahang sehingga membawa kepada kerosakan dan huru-hara,” ujarnya.
Kata Ayub lagi, tidak ada siapa pun yang berada di atas undang-undang termasuklah pegawai polis.
Kini, pegawai polis yang didakwa menyebabkan kejatuhan mereka yang merempit itu telah ditukar ke bahagian lain sementara menanti siasatan selesai. Kejadian pegawai polis membaling helmet ke arah mat rempit itu dikatakan berlaku pada jam 8 malam Ahad lalu selepas dia bersama seorang pegawai lagi telah diarahkan ke Jalan Teluk Bahang untuk menyiasat laporan berlakunya aktiviti merempit di situ.
Penunggang dan pembonceng motosikal berkenaan kemudiannya cuba melarikan diri sebaik sahaja melihat kedatangan pegawai polis.
Ketika itulah mereka mendakwa salah seorang pegawai polis berkenaan melemparkan helmet ke arah sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggang dan pemboncengnya terjatuh.
Mereka kemudiannya disaman kerana didapati memandu tanpa lesen.
Kumpulan remaja yang merempit ini kemudiannya telah kembali ke rumah dan menceritakan insiden berkenaan kepada keluarga mereka.
Tidak lama selepas itu, lebih 100 orang kampung yang tidak berpuas hati telah menyerbu ke balai polis berkenaan untuk memprotes dan menuntut penjelasan.
Setelah tidak berpuashati mereka kemudiannya dikatakan merosakkan beberapa buah tingkap di balai polis itu dan juga merosakkan beberapa buah motosikal yang terdapat di dalam kompaun balai berkenaan.
Mereka hanya bersurai selepas Timbalan Ketua Polis Negeri, Penolong Komisioner Kanan Datuk Abdul Rahim Jaafar serta beberapa pemimpin masyarakat campur tangan.- (MStar)
Sebelum itu satu insiden seorang l/kopral polis telah menerajang seorang remaja hingga cedera parah di Johor.NONENONEKejadian pada Sabtu lalu dikatakan berlaku di Taman Tangkak Jaya, Ledang, Johor, dan telah  dilaporkan dalam akhbar-akhbar Cina, dengan beberapa daripada mereka menyiarkan cerita itu di muka depan akhbar mereka.

Menurut akhbar Kwong Wah Jit Poh, penunggang motosikal itu yang dikenali sebagai Lim Hup Hwang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar pada sekitar jam 5:50 petang apabila beliau melalui sekatan jalan itu.


Ketika cuba menghentikan Lim, anggota polis berkenaan menerajang  motosikalnya menyebabkan remaja jatuh itu akibat melanggar pembahagi jalan.


Lim kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tangkak sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Melaka akibat kecederaan teruk pada kepala, telinga kanan, leher, kaki dan bahagian lain di badannya.

"Ini anggota polis itu! Hanya kerana adik saya tidak memakai topi keledar, dia menendang motosikalnya. Kenapa dia berbuat demikian kepada adik saya yang berusia 14 tahun apabila dia hanya boleh mengeluarkan saman?" soal kakak Lim di posting Facebook posting yang turut memaparkan gambar polis yang sedang bertugas itu.

"Adik saya koma. Beliau mengalami pembekuan darah di lehernya yang terseliuh. Pendarahan juga dilaporkan pada bahagian kepala dan di telinga. Beliau juga terpaksa menerima jahitan untuk kecederaan di seluruh badannya!"-mkini
Laporan itu bagaimanpun tidak menyebut sama ada remaja itu cuba merempuh anggota polis berkenaan ketika cuba mengelakkan dirinya daripada sekatan jalan raya.

Thursday, March 1, 2012

Sindiket Culik Guna Suara Kanak-Kanak


Polis pada Khamis mendedahkan taktik sindiket culik dan ugut di sekitar Serdang yang memperdengarkan suara kanak-kanak menangis untuk mengugut mangsa mereka.
Suara kanak-kanak itu akan diperdengarkan semasa menghubungi mangsa sebagai bukti anak mereka diculik namun sebenarnya penculikan itu tidak berlaku.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang ASP Azani Saufi berkata lebih 10 kes seumpama itu dilapor di daerah ini sepanjang tahun lepas.
Empat kes yang dilapor tahun lepas membabitkan kerugian sehingga RM57,000 apabila mangsa mereka membayar wang tebusan yang diminta, katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Azani berkata terdapat juga kes yang tidak membabitkan kanak-kanak, satu daripadanya dilapor Mac tahun lepas apabila seorang lelaki kerugian RM30,000 selepas menyerahkan wang kepada sindiket terbabit yang mendakwa anak lelaki mangsa yang berumur 20-an telah diculik.
Beliau berkata sindiket yang dipercayai didalangi rakyat tempatan itu, akan menghubungi telefon rumah mangsa bagi mengelak nombor telefon mereka dikesan.
"Selain itu untuk mengelak daripada dikesan, sindiket itu juga akan membuat temu janji untuk mengambil duit yang dijanjikan di tempat yang tersorok seperti belakang-belakang pasar," katanya yang percaya besar kemungkinan kebanyakan mangsa dikenali sindiket itu.
Azani menasihatkan orang ramai supaya tidak mempercayai sindiket berkenaan dan terus membuat laporan polis jika berlaku perkara seumpama itu.
Sementara itu, Azani juga menasihatkan orang ramai agar tidak mudah tertipu dengan sindiket penipuan 'African Scam'.
Beliau berkata pada tahun lepas sebanyak 25 kes dilapor di sekitar Serdang membabitkan kerugian hampir RM600,000 dengan jumlah paling banyak ditipu ialah 138,000 Euro (kira-kira RM500,000) melibatkan seorang lelaki Belanda.
"Modus operandi adalah sama seperti sebelum ini iaitu berkenalan dengan seorang wanita dan wanita itu berjanji memberikan hadiah namun tersangkut di lapangan terbang dan mangsa harus membayar sejumlah wang untuk mendapatkan hadiah itu," katanya. -BERNAMA

halaman