Friday, October 12, 2012

Porsche Panamera RM 1juta dilarikan dari showroom

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad berkata kereta jenis Porsche Panamera berwarna emas itu dilarikan pada kira-kira 9 pagi oleh seorang lelaki yang sebelum itu berpura-pura untuk berjumpa seorang kakitangan di bilik pameran tersebut.
   
"Setelah itu, lelaki berpakaian kemas dan bertopi itu kemudiannya naik ke tingkat satu dan menggeledah meja sebelum menemui sampul sampul surat yang mengandungi kunci kereta berkenaan.
   
"Suspek kemudiannya turun dan keluar dari ruang pameran sambil menekan kunci bagi mengesan lokasi dan setelah menjumpai kereta itu dia terus memecut menuju ke arah Bukit Bintang," katanya.
   
Beliau berkata kereta yang belum didaftarkan itu diletakkan di luar ruang pameran bersama enam lagi kenderaan lain untuk dihantar ke satu lagi pusat pameran di Glenmarie, Shah Alam, Selangor.
   
Berikutan itu, polis sedang mencari Mohd Azri Mohd Kassim, 31, beralamat terakhir di 1801-C1, Blok C, Armanee Condominium, Damansara Perdana dekat sini bagi membantu siasatan.
   
Pemuda itu mempunyai rekod jenayah lampau antaranya tiga kes curi kereta dan dua kes samun dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu curi kenderaan, katanya. - Bernama

Tuesday, October 9, 2012

Tiada Perbicaraan Berhubung Scorpene Di Perancis - Yves Charpenel


Seorang pendakwa kerajaan Perancis yang terkenal menafikan laporan-laporan media yang tersebar di kalangan beberapa portal berita online Malaysia berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung di Perancis, mengenai dakwaan rasuah oleh sebuah syarikat Perancis berhubung pembelian dua kapal selam Scorpene buatan Perancis oleh Malaysia pada tahun 2002.
Yves Charpenel berkata media di Malaysia harus dapat membezakan antara khabar angin dan fakta dan antara siasatan dan perbicaraan.
"Saya sedar mengenai semua kekecohan yang dibangkitkan media tertentu (organisasi) di Malaysia berhubung perkara ini tapi apa yang saya boleh kata ini adalah tidak lebih daripada satu perbicaraan oleh media," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.
Charpenel, yang juga bekas ketua pendakwaan di Perancis dan kini seorang pendakwa negeri dan anggota eksekutif Persatuan Pihak Berkuasa Anti-Rasuah Antarabangsa (IAACA), berada di sini untuk menghadiri persidangan dan mesyuarat agung tahunan IAACA yang berakhir semalam.
Berikutan satu aduan Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mengenai hak asasi manusia, yang difailkan pada 2009 mengenai sebuah syarikat Perancis yang didakwa memberi rasuah kepada sebuah firma Malaysia untuk urus niaga kapal selam itu, beliau mendedahkan bahawa dua "hakim siasatan" bebas memulakan siasatan mereka awal tahun ini.
Charpenel berkata di Perancis, seperti negara-negara yang mengamalkan kedaulatan undang-undang, semua siasatan dibuat sepenuhnya secara rahsia.
Beliau berkata adalah hak bagi sesiapapun untuk memfailkan aduan dan berikutan sifat rahsia siasatan itu, sesetengahnya beralih untuk mengadu kepada media.
Beliau menjelaskan bahawa untuk kes-kes tertentu di Perancis, Kementerian Keadilan akan meminta seorang hakim bebas, meminta "hakim siasatan" untuk menyiasat.
"Dia hanya seorang penyiasat. Ini adalah sistem lama yang bermula sejak era Napolean. Jika hakim siasatan mahu seseorang pergi ke Malaysia, dia perlu memohon dengan kerajaan anda kerana kami ada apa yang dipanggil Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama. Kerajaan Malaysia boleh kata 'ya' atau 'tidak'. Ia perlu diputuskan oleh pihak berkuasa Malaysia. "Seorang hakim siasatan Perancis tidak boleh membawa bagasinya, menaiki kapal terbang dan pergi ke Malaysia dan meminta seseorang menjawab soalan-soalannya.
"Ini adalah mustahil, ianya bertentangan dengan undang-undang Perancis dan ia juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa," kata Charpenel. Beliau menjelaskan di Perancis, seperti di tempat-tempat lain, perjalanan undang-undang tidak boleh ditentukan oleh media.Seperti yang dikatakannya, "Di Perancis, masa keadilan berbeza daripada masa media.
"Sudah tentu, media perlu data-data, maklumat, berita. Ia adalah semula jadi tetapi siasatan itu agak berbeza. Ia adalah sama, sama ada di Perancis atau di Malaysia. "Dan ia menjadi rahsia. Kami kini dalam langkah pertama, mungkin, kami dapat satu lagi langkah, mungkin tidak, dan ia adalah terlalu awal untuk bercakap lagi.
Ditanya mengenai laporan media bahawa peguam-peguam Perancis yang mewakili Suaram dalam saman itu akan datang ke Malaysia untuk memberi taklimat kepada anak guamnya, Charpenel berkata mana-mana peguam dari mana-mana negara, bebas untuk berbuat demikian kerana dia dibayar oleh anak guamnya.
"Dia bebas bercakap dengan media, itu adalah kebebasan atau hak asasi manusia. Tetapi dia bukan seorang pendakwa. Dia juga bukan seorang hakim siasatan. Dia bukan seorang pegawai."
Pada April tahun ini, ahli-ahli politik pembangkang tempatan di sini malah telah meminta pegawai Malaysia untuk memberi keterangan di Paris atau berdepan pemulauan dalam Kesatuan Eropah.
"Perbicaraan adalah satu perbicaraan dengan semua peraturan. Siasatan adalah adalah satu perkara lain," kata Charpenel mengenai maklumat salah yang dijana oleh portal-portal berita tertentu berhubung dakwaan bahawa satu perbicaraan sudahpun berjalan.
Sabtu lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Ketua Audit Negara menjelaskan urus niaga Scorpene dijalankan mengikut prosedur perundangan.-BERNAMA

14 perompak micro-chip rm 11.5juta ditangkap


Anggota polis membawa keluar sebahagian daripada 14 orang lelaki selepas mendapat tahanan reman selama enam hari dari Mahkamah Majistret di sini, Isnin. Mereka ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) yang bernilai RM11.5 juta di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah. -Foto BERNAMA. 

Monday, October 8, 2012

Pergaduhan besar di kem PLKN Marang

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di Kem PLKN Cenderawasih Cador, Pengkalan Berangan, Marang.
Gara-gara dituduh memecah masuk lokar rakan, dua kumpulan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seramai 36 orang bergaduh sehingga mendatangkan kecederaan, petang semalam.
ACP-K-Manoharankejadian tersebut berpunca apabila satu kumpulan pelatih menuduh ahli kumpulan lain mencuri barang, sehingga menyebabkan rasa tidak puas hati di kalangan kedua-dua kumpulan berkenaan.

“Kumpulan berkenaan seramai 27 orang kemudiannya bertindak menyerang kumpulan satu lagi yang terdiri daripada sembilan orang dan ada daripadanya bersenjatakan kayu, hingga menyebabkan kecederaan.

“Kesembilan mereka cedera dan lebam di badan. Ekoran kejadian itu, satu laporan polis dibuat, sebelum polis bertindak menahan 27 orang pelatih itu untuk siasatan lanjut,

 Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata,  yang ditahan direman selama empat hari bermula semalam dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.-FARAH SHAZWANI ALI (SH)

RM 11.5 juta micro-cip yg dirompak ditemui semula

Polis Pulau Pinang malam ini berjaya menemui semula 90 peratus daripada keseluruhan cip mikro unit pemprosesan komputer (CPU) bernilai RM11.5 juta yang dilaporkan hilang dalam satu rompakan di sebuah kilang di kawasan Perusahaan Perai Bukit Tengah, di sini awal pagi ini. 
   
Jurucakap polis berkata penemuan cip mikro di sebuah rumah di Kampung Pongsu Seribu, Kepala Batas dekat sini hasil daripada penahanan lima lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun di sekitar negeri ini.
   
"Susulan kejadian itu kita melancarkan operasi mengesan mereka yang dipercayai terlibat.  
   
"Berdasarkan keterangan dan maklumat yang diperolehi, polis berjaya menahan lima lelaki terbabit dan menemui semula 90 peratus cip mikro berkenaan," katanya kepada pemberita. 
   
Laporan sebelum ini menyebut lapan lelaki bersenjatakan pedang samurai melarikan sejumlah cip dalam rompakan di kilang tersebut. 
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah berkata lelaki itu dipercayai berusia antara 20 hingga 40 tahun memecah masuk gudang kilang berkenaan melalui pagar belakang kira-kira pukul 2.30 pagi. - Bernama

Saturday, October 6, 2012

Pengawal Keselamatan Dituduh Rompak RM1.23 Juta


Penyelia, Pengawal Keselamatan Dituduh Rompak RM1.23 Juta, Lepaskan Tembakan
TAIPING: Seorang penyelia syarikat swasta dan seorang pekerja syarikat keselamatan pada Jumaat dihadapkan ke Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan merompak RM1.23 juta dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu van pada 18 Sept lepas.
Cheah Cheong Tatt, 23, dan Mohd Hafizuddin Zainal Abidin, 25, didakwa dengan niat bersama merompak RM1,235,715 milik Safeguards G4S Sdn Bhd dan melepaskan tembakan dari senjata api dalam kejadian rompakan itu di hadapan pasaraya Giant,Jalan Tekah, Aulong di sini antara 2.20 petang dan 3.25 petang, 18 Sept lepas.
Mereka dituduh melepaskan tembakan itu dengan niat hendak menyebabkan kematian kepada Hasnul Hafis Saad, 28, yang merupakan pemandu van syarikat keselamatan itu yang membawa wang tunai berkenaan.
Cheah dan Mohd Hafizuddin didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Solehah Noratikah Ismail.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes itu bagi pihak pendakwaan mendapatkan laporan bedah siasat dan dokumen berkaitan.
Cheah dari Kulim, Kedah diwakili peguam C.P. Ang manakala Mohd Hafizuddin dari Sungai Siput, Perak tidak diwakili peguam bela. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim. BERNAMA

halaman