Monday, March 19, 2012

seorang polis ditangkap kerana menculik

Seorang anggota polis yang digantung perkhidmatan ditahan bersama dua lelaki lain bagi membantu siasatan kes culik seorang lelaki di Kuala Muda, Sungai Petani, Jumaat lepas.
Ketiga-tiga lelaki berusia antara 28 dan 50 tahun itu ditahan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi Ahad selepas keluarga mangsa memberikan wang tebusan sebanyak RM40,000.
"Mangsa yang berusia 23 tahun berada dalam keadaan selamat," kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim kepada pemberita di sini, Ahad.
Beliau berkata polis merampas wang tunai RM40,000, empat telefon bimbit, satu gari dan sebuah kereta jenis Honda Civic yang dilapor hilang di Lembah Klang serta menemui semula kereta Proton Gen2 milik mangsa.
Ahmad berkata mangsa dilapor diculik di hadapan sebuah hotel di Bedong dekat Sungai Petani kira-kira pukul 11 pagi Jumaat lepas ketika dia baru keluar dari hotel dan ingin masuk ke dalam keretanya.
"Mangsa ditarik masuk ke dalam kereta oleh suspek sebelum dibawa ke Kuala Lumpur," katanya.
Beliau berkata keluarga mangsa dihubungi suspek yang meminta wang tebusan sebanyak RM60,000 tetapi selepas perbincangan, suspek bersetuju menerima RM40,000.
Ahmad berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki yang ditahan itu positif dadah dan dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kami akan siasat kes ini secara halus dan terperinci. Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana penjenayah walaupun dia adalah anggota polis," katanya.
Beliau berkata anggota polis yang ditahan itu berumur 50 tahun dan dia ditahan tugas kerana mempunyai rekod terbabit dengan dadah.
Kesemua suspek rakyat tempatan itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau sebatan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman