Tuesday, January 31, 2012

Misteri langit berdengkur terbongkar

Misteri  bunyi aneh seperti dengkuran dari langit  sebenarnya datang daripada sebuah kilang kelapa sawit di Kampung Endap. Kota Semarahan Sewrawak.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Fadillah Yusof berkata, kilang berkenaan telah membuat pengujian terhadap tekanan dandang secara automatik pada 11 dan 12 Januari 2012 sehingga menyebabkan kewujudan bunyi seolah-olah orang sedang menjerit dan mengejutkan penduduk kampung di sekitarnya.
“Ekoran itu, Mosti telah menubuhkan satu jawatankuasa Siasatan Ngauman Langit (Sky Roar) dikendalikan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM). Siasatan mendapati aduan beberapa penduduk berkaitan bunyi yang tidak diketahui bukan seperti yang disangka.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menafikan dengkuran kuat diselang seli bunyi nyaring frekuensi radio di Kota Semarahan pada 11 an 12 Januari lalu berpunca daripada High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan di Amerika Syarikat.
“Ia juga tiada kaitan dengan gempa bumi di Sumatra dan High Frequancy Active Auroral Research Programme(HAARP) yang dijalankan di Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Fadillah berkata, pihaknya telah melakukan beberapa siasatan dengan menemu bual saksi-saksi kejadian, orang kampung dan membuat siasatan mengenainya serta mendapatkan khidmat pakar untuk menganalisis bunyi itu.
Bagi membuktikan kebenaran ini, katanya, Penolong Pengurus kilang, Yusmizan Desa mengakui kilangnya ada melakukan penentu kuran secara berkala yang melibatkan perlepasan wap secara besar-besaran dan menghasilkan tekanan sehingga muncul ‘Nyauman Langit’.
“Yusmizan memberitahu pihak kami tujuan perlepasan tekanan dandang dilakukan semasa aktiviti pemprosesan kelapa sawit. Kami diberi penjelasan melalui corong lepasan wap ke arah kampung itu dan mereka juga melakukan demonstrasi untuk membuktikan perkara ini.
“Pihak kami dan juga saksi-saksi, terutama penduduk kampung telah berpuas hati dengan demonstrasi itu. Begitu pun, kami masih menjalankan analisis secara saintifik untuk mengkaji frekuensi itu,” katanya.

Kepala babi di masjid Rawang

Satu kepala babi ditemui di pintu masuk Masjid Nurul Iman di Batu 18 Rawang, Selangor, awal pagi ini.

NONEMenurut ADUN Rawang Gan Pei Nei (dua dari kiri) kepala kepala itu ditemui pada jam lima pagi oleh ahli jawatankuasa masjid apabila mereka membuka pintu pagar utama.

Pihak polis kemudiannya dihubungi dan tiba di lokasi pada jam 7.30 pagi. Setelah mengambil bahan bukti dan menyiasat di kawasan sekitar kira-kira dua jam, mereka kemudiannya meninggalkan masjid itu.

Gan berkata anggota polis berkenaan adalah dari balai polis Rawang dan kes itu akan disiasat oleh jabatan siasatan jenayah.

NONEBeliau mengutuk tindakan itu sebagai perbuatan provokatif yang cuba menyinggung sensitiviti agama, sambil menambah bahawa ia mungkin bermotifkan politik memandangkan pilihan raya umum  semakin hampir.

Menurut Gan lagi, kejadian seumpama itu bukannya berlaku secara spontan kerana Masjid Nurul Iman telah bertapak di situ selama 48 tahun.

"Pilihan raya umum semakin hampir dan ada orang cuba untuk timbulkan masalah," katanya.

Gan menggesa pihak polis mempercepatkan siasatan dan membawa penjenayah ke muka pengadilan.
Tindakan provokatif

Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu yang juga meninjau masjid berkenaan berkata bahawa Gan akan mewakili kerajaan negeri pada mesyuarat jawatankuasa masjid malam ini dan melaporkan kepada Menteri Besar untuk tindakan susulan.

NONELiu juga mengecam tindakan itu yang dianggap sebagai provokatif tetapi bersyukur kerana semua pihak, khususnya jawatankuasa masjid berkenaan tidak bertindak sebarangan tetapi kekal tenang.

Beliau juga enggan membuat sebarang spekulasi dan berkata adalah lebih baik bagi membiarkan pihak polis melakukan siasatan mereka.

Pengurus stesen minyak disamun RM200,000 di Lebuh Raya PLUS

Seorang pengurus stesen minyak kerugian wang tunai kira-kira RM200,000 selepas disamun sekumpulan empat lelaki di Km 287, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah ke utara berhampiran kawasan Rawat dan Rehat Nilai hari ini.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Yusoff Awang berkata kejadian berlaku kira-kira 10.20 pagi ketika mangsa yang berusia 40-an memandu kereta jenis BMW untuk ke sebuah bank di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Beliau berkata mangsa yang berkerja di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) membawa wang tunai tersebut di dalam sebuah beg yang merupakan hasil jualan stesen minyak berkenaan.

Wang itu diletakkan di dalam but keretanya.

Mohd Yusoff berkata mangsa melaporkan bahawa ketika sampai di lokasi kejadian, keretanya tiba-tiba dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Lexus.
    
"Mangsa yang merasa curiga dengan tindakan pemandu kereta di belakangnya, tidak memberhentikan kenderaannya. Suspek terus mengejar kenderaan mangsa dan sekali lagi melanggar kenderaan mangsa menyebabkan kenderaan mangsa terhenti di tepi lebuh raya.

"Selepas kenderaan mangsa berhenti, dua lelaki bertopeng yang masing-masing bersenjatakan parang keluar dari kereta jenis Toyota Lexus tersebut dan menghampiri mangsa.

"Pada masa yang sama, sebuah lagi kereta Honda Accord berwarna hitam yang dinaiki dua lagi lelaki menghampiri dan turut berhenti berdekatan kenderaan mangsa.

"Kumpulan berkenaan kemudiannya mengambil wang tunai di dalam but kenderaan mangsa dan melarikan diri dengan kereta Honda Accord itu dan meninggalkan kereta Toyota Lexus di tepi lebuh raya," kata Mohd Yusoff.

Beliau berkata polis percaya kereta Toyota Lexus terbabit adalah kenderaan curi yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Katanya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395/394 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan dan bersenjata.- Bernama

Monday, January 30, 2012

Polis Johor cari peguam pecah amanah


Ketua Siasatan Jenayah Komersial Johor, Asisten Komisioner (ACP) Rosman Omar pada Isnin meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan peguam Kamal Hisham Jaafar, kad pengenalan 700301-01-5856 ( gambar) bagi membantu siasatan pecah amanah jenayah melibatkan kerugian sebanyak RM660 ribu. Alamat terakhir di No 6, Lorong Mutiara, Kampung Melayu Majidee, Johor Baharu. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu ASP Azlan Ahmad di talian 073354177 atau 0194101222. 

Bekas Dekan UiTM Dihukum Penjara


Bekas dekan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Md Saberi Md Salleh dihantar ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman penjara setahun selepas rayuan terakhirnya untuk mengetepikan sabitan kerana kesalahan mengesahkan invois palsu, ditolak.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Sulaiman Daud memutuskan tertuduh mempunyai niat untuk mengelirukan sedang dia tahu peralatan sukan itu tidak dibekalkan kepada universiti berkenaan.
Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dan Datuk Mohtaruddin Baki, menolak rayuan Md Saberi bagi mengetepikan sabitan terhadapnya.
Bagaimanapun, panel itu membenarkan rayuan tertuduh berhubung hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mengurangkannya kepada setahun.
Dalam penghakimannya, Hakim Sulaiman berkata hukuman penjara tiga tahun terlalu berat memandangkan ini adalah kesalahan pertama Md Saberi.
Mahkamah Rayuan turut mengekalkan hukuman denda RM10,000 atau penjara tiga bulan yang dijatuhkan terhadap tertuduh, yang membayar denda itu.
Sementara itu, panel tersebut melepas serta membebaskan seorang ahli perniagaan wanita Zaleha Abd Rahman, 52, setelah membenarkan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM10,000 kerana bersubahat dengan Md Saberi.
Hakim Sulaiman memutuskan pendakwaan gagal membuktikan Zaleha, pemilik syarikat pembekal barangan sukan, mempunyai niat dan pengetahuan bahawa Md Saberi hendak mengelirukan universiti itu.
Md Saberi didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen pada 15 Okt 2008 atas pertuduhan mengesahkan invois palsu bertarikh 4 Mac 1999 yang menyebut seunit 'Multi-joint 2 AP' berharga RM138,000 telah diterima fakultinya, sedangkan peralatan sukan itu tidak dibekalkan.
Md Saberi dan Zaleha dituduh melakukan kesalahan itu di fakulti berkenaan di kampus UiTM Shah Alam antara 24 Mac dan 2 April 1999 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta Pencegahan Rasuah 1997.
Pada 17 Februari 2010, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman penjara. Bagaimanapun, mereka dibenar menangguhkan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulkarnain Hassan. BERNAMA

Wanita Parah Ditembak Dalam Samun Di Pasir Mas


 Seorang wanita parah akibat ditembak dalam kejadian samun di Kampung Slow Machang, Pasir Mas, pada Isnin.
Ketua Polis Kelatan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata Che Asmah Che Awang, 50, cedera parah di bahagian bawah dada sebelah kanan dalam kejadian 5 pagi itu.
Mangsa kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan keadaannya dilaporkan stabil, katanya kepada Bernama.
Beliau berkata berdasarkan kelonsong peluru yang ditemui, polis percaya kumpulan perompak terbabit menggunakan pistol jenis Revolver .38.
Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata selain Che Asmah, terdapat empat lagi individu di dalam rumah tersebut ketika kejadian iaitu suami Che Asmah, Mohamad Lawi Dollah, 54, anak mereka Mohd Khairul Azani, 26, serta isteri dan anak Mohd Khairul Azani.
Rompakan dipercayai dilakukan oleh lima orang suspek termasuk seorang yang menunggu di dalam kereta jenis Proton Iswara berwarna hitam, katanya.
Selain wang tunai RM5,000, perompak turut melarikan kereta jenis Honda Jazz milik Mohd Khairul Azani, tiga telefon bimbit serta barangan kemas.
Sementara itu, menceritakan kejadian tersebut kepada Bernama di kediamannya, Mohamad Lawi berkata beliau dikejutkan dengan bunyi orang memberi salam.
"Apabila membuka pintu terdapat empat lelaki yang memakai pakaian ala ninja bertanyakan anak saya dan kemudiannya mengacukan pistol lalu meluru masuk ke dalam rumah," katanya.
Mohamad Lawi berkata, seorang daripada mereka masuk ke dalam bilik menantunya dan meminta barangan kemas, manakala yang lain pula menuju ke bilik beliau di mana isterinya masih tidur.
"Tiba-tiba terdengar bunyi tembakan dan kemudianya semua penyamun bergegas melarikan diri dan pada masa yang sama masih sempat mengambil beberapa barangan lain," katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam hospital, Zaid Ahmad ketika dihubungi, berkata mangsa kini sudah sedar dan dijadual menjalani pembedahan berikutan pendarahan yang tidak berhenti akibat kesan tembakan tersebut.

Pelacur Timur Tengaj suka Malaysia untuk jual diri

Pelacur Dari Timur Tengah Sasar M'sia Destinasi Baru?

Operasi dan pemantauan polis menunjukkan wujud trend baru kedatangan pelacur dari Timur Tengah ke Malaysia sebagai destinasi baru mereka.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata pelacur dari negara seperti Yemen, Iran dan Iraq menjadikan lelaki di negara ini sebagai sasaran pelanggan mereka.
"Mereka datang ke Malaysia menggunakan taktik samaran kononnya untuk belajar bahasa Inggeris menggunakan pas pelajar dengan mendaftarkan diri di institusi pendidikan tinggi swasta.
"Ada juga pelacur ini menggunakan pas lawatan sosial yang membenarkan mereka berada di negara ini selama tiga bulan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Beliau berkata, pendedahan itu dibuat berikutan penangkapan 15 pelacur dari negara terbabit dalam satu operasi di ibu negara dan Selangor awal bulan ini.
Mohd Bakri menambah, polis kini memantau aktiviti itu dan mereka yang ditangkap akan diambil tindakan sejajar dengan langkah kerajaan ingin membanteras pemerdagangan manusia.
Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dalam membanteras aktiviti pemerdagangan manusia dan perjudian di seluruh negara dengan mengadakan serbuan dan tangkapan.
Katanya lagi, pada tahun lepas, polis menerima 116 kes pemerdagangan manusia dan jumlah itu menurun berbanding 132 kes pada 2010.
"Tahun lalu, kita merekodkan 52 kes melibatkan ekploitasi seks, 45 kes perkhidmatan paksa, 10 kes penyeludupan dan eksploitasi untuk visa dan sembilan kes penjualan bayi," katanya lagi.
Beliau juga berkata, warga China merupakan jumlah paling ramai ditangkap kerana terbabit dalam pelacuran iaitu 5,922 orang, diikuti Vietnam (2,169), Thailand (1,492), Indonesia (1,208), Filipina (750), Myanmar (112), India (67), Kemboja (36), Bangladesh (34), Laos (14), Uzbekistan (12), Nigeria (8), Uganda (4), dan masing-masing seorang bagi Austria dan Taiwan.
Polis turut menangkap 1,801 wanita tempatan kerana aktiviti pelacuran tahun lepas, kata Mohd Bakri.

Sunday, January 29, 2012

Polis Siasat Pelajar Jual Baucar Buku

Polis sedang menyiasat pelajar universiti yang mengiklankan penjualan baucar buku bernilai RM200 secara online.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beberapa pelajar diarahkan untuk mengeluarkan iklan tersebut.
Namun, beliau menegaskan hanya sebilangan kecil daripada 1.3 juta penerima baucar itu cuba menjual baucar mereka.
Pemberian baucar buku yang dibentangkan pada Belanjawan 2012 tahun lalu bertujuan untuk meringankan beban pelajar di institusi pengajian tinggi dan pelajar Tingkatan 6 dalam mendapatkan buku dan bahan rujukan berkualiti.
Baucar tersebut tidak boleh ditukar dengan wang tunai.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan cek sebanyak RM6,000 kepada Hospital Wakaf An-Nur Pasir Gudang untuk membeli peralatan perubatan dan mesin dialisis bernilai RM42,000.

Bot Karam: Seorang Nelayan Mati Lemas, 19 Selamat

Seorang nelayan mati lemas manakala 19 lagi nelayan termasuk tekong ditemui selamat apabila bot pukat tunda mereka karam dipukul ombak berhampiran perairan Pulau Songsong, Yan pada Ahad.
Sepuluh nelayan yang selamat itu terpaksa mengharungi saat getir terapung di laut selama setengah jam bersama mayat rakan mereka, Ahmad Radzi Ghazali, 58, sebelum diselamatkan bot nelayan lain yang membawa mereka pulang ke Jeti Kuala Kedah, dekat sini.
Tekong bot berkenaan Mohd Ismail Hashim berkata ketika kejadian kira-kira pukul 2 pagi, mereka berada 20 batu nautika dari Jeti Kuala Kedah dan keadaan laut bergelora serta angin kencang menyebabkan bot yang penuh dengan ikan seberat tujuh tan itu karam.
"Tiba-tiba bot yang saya kemudi dipukul ombak sebanyak tiga kali menyebabkan sukar untuk mengawalnya. Saya mengarahkan semua awak-awak memakai jaket keselamatan dan berada di hadapan kapal," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Kedah, Ahad.
Beliau berkata Ahmad Radzi ketika itu dikatakan ke bahagian bawah bot untuk mengambil barang-barangnya dan gagal menyelamatkan diri sebelum bot itu karam.
"Selepas bot karam, kami berpaut pada dua pelampung dan berada dalam kumpulan serta memastikan mayat Ahmad Radzi juga bersama kami bagi mengelak dihayutkan ombak sementara menunggu bantuan daripada bot nelayan yang lalu di kawasan itu," katanya.
Ismail bersama awak-awaknya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kedah sejurus tiba di Jeti Kuala Kedah pagi ini.
Mayat Ahmad Radzi dihantar ke bilik mayat Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat sebelum dituntut anggota keluarga dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kuala Sematang, Kuala Kedah.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharum yang melawat mangsa bot karam itu berkata setiap bot nelayan perlu memastikan ia dilengkapi jaket keselamatan dan pelampung mencukupi dan dalam keadaan baik.
Beliau berkata peralatan itu penting kerana dapat menyelamatkan nelayan daripada lemas jika berlaku kes kecemasan pada masa akan datang.
Johari sebelum itu menyampaikan bantuan awal oleh Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) bagi meringankan beban yang dialami 20 mangsa bot karam itu termasuk keluarga mangsa mati lemas. - BERNAMA Januari 29, 2012

Nik Sapeia Bebas Tuduhan Cederakan Tun Mahathir

 Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof daripada pertuduhan menyembur bahan pemedih mata ke arah Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2006.
Hakim Datuk Mariana Yahya membuat keputusan itu selepas mendapati majistret yang mendengar kes itu telah terkhilaf daripada segi fakta dan undang-undang dengan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Nik Sapeia pada 14 Januari 2010.BERNAMA Januari 29, 2012

Polis Tahan Lelaki Dalam Kes Bakar Motosikal, Teksi

Polis malam tadi menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian membakar 26 motosikal dan sebuah teksi dalam pergaduhan antara dua kumpulan di tempat letak kereta pangsapuri Desa Mentari Sunway di sini, Sabtu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata penganggur berusia 20-an dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau itu ditahan di rumahnya di sekitar lokasi kejadian.
"Polis juga sudah mengenal pasti tiga hingga empat lagi suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian ini," katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Arjunaidi berkata kes tersebut lebih menjurus kepada masalah peribadi apabila kedua-dua kumpulan tersebut dipercayai tidak berpuas hati sesama sendiri sebelum bertindak membakar kenderaan di kawasan itu menggunakan petrol atau minyak tanah.
Kejadian 4.00 pagi Sabtu itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan menggunakan api, katanya. - BERNAMAJanuari 29, 2012

Produk Tradisional Tidak Berdaftar Undang Risiko

Produk tradisional yang dijual di kedai runcit atau pasar malam tidak perlu dipandang remeh.
Kebanyakan ubat-ubatan tersebut seperti ubat peransang seks, makanan tambahan mahupun barangan kosmetik merupakan produk tidak berdaftar.
Menurut Pengarah Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan, Mohd Hatta Ahmad, Bahagian Penguatkuasa Farmasi merampas 33,274 produk (ubat-ubatan) tidak berdaftar bernilai RM22.5 juta dalam serbuan tahun lalu.
Berlaku peningkatan ketara pada 2010 apabila pegawai penguatkuasa merampas 24,852 produk bernilai RM21.5 juta berbanding 19,764 produk mencecah RM10.4 juta pada 2009.
"Pembeli mungkin tidak menyedari risiko produk tersebut kerana ia mudah didapati dan murah. Malah produk itu dijual dengan bungkusan menarik," katanya.
Hatta berkata, kebanyakan ubat-ubatan tidak berdaftar dijual di pasar malam, kedai runcit dan di sepanjang kaki lima.
Dengan erti kata lain, produk tersebut dijual secara terbuka dan sejumlah besar ubat-ubatan tidak berdaftar itu dirampas dalam rumah seorang pengedar.
Katanya, produk tersebut yang dikenali sebagai ubat-ubatan tradisional sering digunakan untuk merawat dan melegakan batuk, demam dan sakit kepala.
"Beberapa produk didakwa mujarab untuk sakit sendi. Apabila kami mengkaji produk tersebut di dalam makmal, kami dapati ia mengandungi steroid," katanya.
Segelintir produk tersebut mengandungi logam yang boleh merosakkan buah pinggang.
Hatta berkata, barangan kosmetik mungkin mengandungi bahan kimia terlarang seperti hidrokuinon, merkuri yang memberi kesan sampingan kepada kulit.
Ubat peransang seks palsu merupakan produk makanan tambahan yang diperkaya dengan bahan-bahan aktif seperti tadanafil, sildenafil dan verdenafil yang boleh menyebabkan mati pucuk.
Beliau berkata, produk tersebut boleh menjejaskan kesihatan pengguna jika diambil tanpa nasihat pakar.
"Produk tersebut masih berada di pasaran kerana permintaan yang tinggi daripada pengguna. Jika tiada pembeli, penjualan produk tersebut pastinya terhenti," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, Datuk Eisah A. Rahman berkata, produk yang tidak berdaftar tidak selamat untuk diambil kerana kualiti, keselamatan dan keberkesanannya diragui.
"Apabila kami melakukan ujian pra-kelulusan, kira-kira 10 peratus produk tersebut mengandungi bahan tercemar," katanya.

Saturday, January 28, 2012

Lelaki hampir putus kepala dilanggar tren LRT

Seorang lelaki warga Myanmar maut dengan kepalanya hampir putus akibat dilanggar sebuah tren LRT Laluan Ampang di Stesen Chan Sow Lin di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh Tara Singh berkata, dalam kejadian 6.45 pagi itu, lelaki berusia 26 tahun itu telah menceroboh kawasan stesen itu melalui tempat yang tidak berpagar sebelum dilanggar tren berkenaan dan diseret sejauh 10 meter.
"Mangsa mengalami patah tulang pada keseluruhan anggota badan dan lehernya hampir putus. Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Divisyen Rail RapidKL, Khairani Mohamed berkata, berikutan insiden itu, perkhidmatan tren laluan Ampang diberhentikan selama 31 minit mulai 8.15 pagi bagi membantu siasatan polis.
Perkhidmatan itu disambung semula pada 8.46 pagi, katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA28/01/2012

Mayat Wanita Separuh Bogel Ditemui Dengan Kesan Tikaman

 Polis menemui mayat seorang wanita warga Indonesia, dipercayai dibunuh, di sebuah rumah dua tingkat di Halaman Ariffin, Jalan Burmah pada Jumaat. Mangsa, Rosni Kholijah, 39, dijumpai polis dalam keadaan separuh bogel dengan enam kesan tikaman pada leher dan badannya.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Superitendan Mohd Nasir Salleh berkata, polis menemui mangsa dalam keadaan terperosok di sebelah katil di bilik yang terletak di tingkat bawah rumah terbabit selepas mendapat maklumat daripadaorang awam lewat petang Jumaat.
"Mangsa dipercayai dirompak sebelum dibunuh kerana rantai dan gelang yang dipakainya gagal ditemui," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar, Sabtu.
Sebilah pisau dapur turut ditemui berhampiran mangsa, dipercayai digunakansebagai senjata.
Mohd Nasir berkata, polis kini mencari teman lelaki dan rakan mangsa bagi membantu siasatan.
"Kami juga akan memanggil tuan rumah itu untuk membantu dalam siasatan. Kita mahu tahu berapa ramai orang yang tinggal di rumah ini," katanya.
Beliau berkata, bedah siasat menunjukkan mangsa meninggal dunia lebih dari 12 jam semasa ditemui dan polis masih menyiasat motif pembunuhan.
Katanya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, polis meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat dalam kes ini menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMASabtu Januari 28, 2012

Friday, January 27, 2012

Kilang Penapis Udara Kerugian Lebih RM1 Juta Akibat Kebakaran

 Sebuah kilang penapis udara terbakar di Jalan Pengapit Seksyen 15 di sini, Jumaat. Kilang tersebut musnah hampir 80 peratus dan dianggarkan mengalami kerugian lebih RM1 juta akibat kebakaran kira-kira pukul 1.20 tengah tadi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.Foto: BERNAMA 

datuk shamsulbahrin tipu pemandu teksi RM90ribu


Seorang ahli perniagaan hari ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang pemandu teksi sebanyak RM90,000, dua tahun lepas.
Datuk Shamsubahrin Ismail, 46, didakwa menipu Limat Jonit, 57, di MaybankPelabuhan Klang pada 24 Mac 2010.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 420 KanunKeseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dantidak lebih dari sepuluh tahun, dan boleh dikenakan sebatan dan denda.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hurman Hussin dari MahkamahMajistret Klang, di Wad 8A, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini.
Difahamkan Shamsubahrin menerima rawatan di hospital itu sejak tiga hari lepas kerana penyakit kencing manis kronik.
Shamsubahrin didakwa mempelawa Limat membuat pelaburan dalam syarikatperniagaan awam yang tidak wujud dan meminta pemandu teksi itu memasukkanRM90,000 ke dalam akaun peribadinya.
Perbuatannya itu didakwa telah mendatangkan kerugian terhadap Limat.
Timbalan Pendakwa Raya Elya Ezrin Mohd Roslan menawarkan jaminan RM15,000tetapi peguambela Shamsubahrin, N.Surendran, meminta nilai jaminan itudikurangkan.
Surendran berkata anak guamnya baru sahaja membayar jaminan RM300,000 bagikes beliau di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini dan pasport antarabangsanya telahpun diserahkan kepada mahkamah.
Pada 30 Dis tahun lepas, Shamsubahrin mengaku tidak bersalah di MahkamahSesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan menipu Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail,Pengerusi National Feedlot Corporation, melibatkan RM1.775 juta.
Hurman kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dan menetapkan sebutansemula kes itu di Mahkamah Majistret Klang pada 27 Feb ini.-BERNAMA

Thursday, January 26, 2012

Ahli Perniagaan Dirompak Lebih RM200,000 Di George Town

Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian lebih RM200,000 apabila dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan parang dan pisau yang memecah masuk kediamannya di Jalan Kebun Bunga di sini awal pagi Khamis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Zahruddin Abdullah berkata pada kejadian pukul 3.30 pagi itu, kumpulan perompak yang dipercayai warganegara asing terbabit mengumpil tingkap belakang dan menyelinap masuk ke dalam bilik anak mangsa sebelum mengikatnya.
Mereka kemudian memasuki bilik tidur utama dan mengejutkan ahli perniagaan itu bersama isterinya yang sedang tidur sebelum mengikat tangan dan kaki kedua-duanya.
"Kumpulan perompak terbabit yang dikatakan menutup separuh muka mereka dengan kain turut mengikat pembantu rumah dan rakan anak mangsa yang sedang tidur di bilik berasingan sebelum mereka menggeledah rumah itu dan melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam pelbagai jenama berjumlah RM200,000 dalam masa kira-kira 15 minit sahaja," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Ahli perniagaan berkenaan kemudiannya berjaya melepaskan ikatan selepas 30 minit perompak itu melarikan diri, dan menghubungi polis.
Zahruddin berkata polis yakin dapat menyelesaikan kes ini dalam waktu terdekat ekoran terdapat imej kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kesemua perompak yang berumur lingkungan 20-an dan 30-an itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan. - BERNAMA

Inspektor Polis Dihadap Ke Mahkamah Atas Dakwaan Rasuah

Seorang pegawai polis pada Khamis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM3,000 daripada seorang pemandu teksi kira-kira tiga tahun lepas.
Inspektor Mohd Firdaus Mohd Japar, 26, dari Cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes adik pemandu teksi itu dan rakannya yang ditahan bagi siasatan kes samun dan rompak.
Mohd Firdaus didakwa menerima RM3,000 daripada Norman Sapingai, 31, di Balai Polis Sungai Buloh pada 23 Feb, 2009.
Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Mat Ghani Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh perbicaraan dari 2 hingga 6 April.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Mahamad Sukri Abu Seman manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahrullah Nawab Zadah Khan. - BERNAMA

Wednesday, January 25, 2012

Polis cekup 2 lelaki cuba larikan wang tunai setengah juta ringgit


Polis menahan dua lelaki yang cuba melarikan wang tunai RM552,000 daripada pengawal keselamatan yang sedang membawa masuk karung wang tersebut ke dalam sebuah van di Bandar Baru Bangi dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata kejadian itu berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Baru Bangi kira-kira pukul 10.40 pagi tadi.
Kejadian itu berlaku ketika dua pengawal keselamatan yang sedang menjinjing karung wang tersebut dari pusat membeli belah itu untuk dibawa ke sebuah van, telah didatangi dua lelaki yang menaiki motosikal dan bersenjata pistol mainan, katanya.
Beliau berkata seorang daripada pengawal keselamatan itu yang menyedari pistol itu pistol mainan telah bertindak menarik suspek yang membonceng motosikal itu dan menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya.
Lelaki berumur 20 tahun ini terus diberkas oleh orang ramai yang melihat kejadian itu, sementara penunggang motosikal yang berumur 30 tahun berjaya melarikan diri, katanya.
Beliau berkata bagaimanapun hasil siasatan polis, lelaki 30 tahun itu berjaya diberkas di sekitar Kajang dengan bantuan polis bantuan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).
Kedua-dua mereka disiasat bagi kesalahan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan mengikut Seksyen 394/511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan, katanya. - Bernama

Polis Tahan Dua Lelaki Berhubung Kes Bunuh Di Ipoh


Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes seorang lelaki yang meninggal dunia akibat cedera dipukul penduduk sebuah taman perumahan di sini setelah disyaki cuba menceroboh sebuah rumah penduduk, tiga hari lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahlan berkata kedua-dua lelaki berkenaan masing-masing berumur 29 dan 30 tahun direman selama empat hari bermula Isnin lepas dan polis sedang mengesan beberapa lagi suspek.
Suspek berusia 29 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah manakala seorang lagi suspek mempunyai satu rekod jenayah, katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.
Katanya mangsa, Mohd Fairus Razali, 31, dari Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi di sini meninggal dunia pada kira-kira 1.50 pagi, iaitu lima jam selepas dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk rawatan.
"Hasil bedah siasat mendapati ada kesan kecederaan di bahagian kepala mangsa dan dada dipercayai dipukul dengan objek keras," katanya.
Dalam kejadian pada pukul 8 malam, Isnin lepas, penghuni sebuah rumah di Taman Mas di sini yang melihat lelaki itu yang memegang sebilah pisau sedang membuka pagar rumahnya telah mendapatkan pertolongan daripada beberapa penduduk yang telah mengejar lelaki tersebut dan memukulnya hingga cedera.
Seorang daripada penduduk berkenaan kemudian menghubungi polis dan polis kemudian menghantar lelaki itu ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan, bagaimanpun dia dilaporkan meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Shukri berkata polis turut merampas sebilah pisau dan motosikal milik mangsa dan menurutnya kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Pemandu Lori Ditemui Mati


Seorang pemandu lori ditemui mati dalam keadaan tersandar di kerusi di luar sebuah kuil di Jalan Langat pagi ini, dipercayai dibunuh suspek yang melarikan kereta miliknya.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata mayat Pajan Singh, 55, ditemui penjaga Kuil Periyachikali Aman pada kira-kira 7.30 pagi.
"Penjaga kuil itu pada mulanya menyangkakan mangsa tertidur di tempat pembakaran mayat di luar kuil itu. Dia kemudian menghubungi ambulans selepas mendapati mangsa telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, Selasa.
Beliau berkata bedah siasat mendapati rusuk kiri mangsa patah dan doktor mengesyaki dia mati dibunuh.
Mohamad berkata sebelum mayat mangsa ditemui, polis menahan sebuah kereta jenis Proton Waja di Taman Berkeley di sini pada kira-kira 2 pagi, yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.
"Pemeriksaan ke atas kenderaan itu mendapati ia milik mangsa yang ditemui mati di kuil berkenaan," katanya.
Beliau berkata siasatan awal ke atas suspek yang melarikan kereta mangsa mendapati dia positif dadah.
Mohamad berkata ketika disoal siasat, suspek mengaku menemui Pajan Singh di Teluk Pulai di sini dan bertindak menendang mangsa serta meninggalkannya di kuil berkenaan sebelum melarikan kereta tersebut.
"Ketika polis mengesan keluarga mangsa berdasarkan nombor pendaftaran kereta itu, anak mangsa memaklumkan mangsa keluar dari rumah semalam dan tidak pulang lagi sehingga polis datang ke rumah mereka," katanya.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. BERNAMA

KDN Sasar 100,000 Penguasa Sertai Rondaan Cegah Jenayah


Kementerian Dalam Negeri (KDN) mensasarkan untuk mendapat penyertaan 100,000 anggota penguatkuasa daripada agensi-agensi di bawahnya dan sukarelawan untuk terlibat dalam rondaan bersama di seluruh negara bagi mengurangkan kadar peratusan jenayah, menjelang Mac depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Tan Sri Mahmood Adam berkata sehingga kini seramai 20,000 sukarelawan terdiri daripada anggota Jabatan Pertahanan Awam dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) terlibat dalam rondaan bersama itu.
"KDN yakin dapat mencapai sasaran 100,000 anggota dalam tempoh tiga bulan untuk bertugas di dalam rondaan bersama seperti yang telah disarankan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan," katanya kepada pemberita.
Mahmood berkata rondaan bersama itu adalah strategi kali keempat bagi "pendekatan strategi lautan biru" yang mana melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi-agensi di dalam KDN dan pasukan sukarelawan.
Beliau berkata seramai 40,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam rondaan bersama untuk strategi keempat " pendekatan strategi lautan biru" ini.
Mahmood berkata KDN juga sedang menimbangkan permohonan Kastam Diraja Malaysia, yang dibuat dua minggu lepas, bagi menyertai rondaan bersama itu. BERNAMA

Tuesday, January 24, 2012

budak perempuan mangsa culik lelaki gila semakin stabil dan sihat

Keadaan Fifi Ramadani Syafrudin, 10, kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa tebusan seorang lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Baru pada Isnin dilaporkan berada dalam keadaan stabil tanpa sebarang kecederan serius.
Ibu mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Santi, 29, berkata hanya terdapat kesan calar pada leher anak sulungnya yang masih dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dia berkata anaknya juga beransur pulih daripada perasaan ketakutan, dan sudah mula bercakap berikutan rawatan kaunseling dan nasihat yang diberikan oleh doktor kepada anaknya bagi meredakan trauma dialaminya.
Nenek kepada kanak-kanak perempuan Fifi Ramadani Syafrudin dicekik terlebih dahulu oleh suspek yang menjadikan cucunya sebagai tebusan selama enam jam, pada Isnin.
Asmah Abdul Hakim, 70, berkata pada masa kejadian pukul 9.45 pagi semalam, beliau sedang menyapu sampah di laman rumahnya di Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, apabila tiba-tiba dicekik dari belakang oleh seorang lelaki.
"Masa itu nenek tengah menyapu laman rumah dan menunduk untuk membuang sampah dan tiba-tiba ada seseorang dari belakang mencekik leher nenek dengan kuat.
"Nenek minta dilepaskan tetapi suspek mengugut untuk membunuh dan mencederakan nenek jadi nenek menjerit minta tolong," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.
Asmah berkata beliau terus menjerit dan lelaki itu menjadi panik lalu menolaknya hingga beliau jatuh tersungkur.
"Nenek tengok lelaki tersebut masuk ke dalam rumah tanpa berpakaian dan terus ke dapur serta membaling makanan dan minuman yang ada di atas meja makan dan membuang air kecil di dalam rumah," katanya.
Asmah berkata jiran kemudian membantunya bangun dan membawanya ke rumah jirannya setelah melihat keadaan yang tegang di rumahnya.
Beliau berkata selepas kejadian itu, mereka mendapati lelaki itu juga didapati turut membuang air kecil di beberapa tempat dalam rumahnya, termasuk di atas tilam.
"Alhamdulillah semuanya selamat...Nenek rasa trauma sedikit disebabkan kejadian semalam dan malam tadi nenek tidak dapat tidur," katanya.
Sementara itu, dua orang kanak-kanak yang berada bersama Fifi Ramadani di dalam bilik sebelum lelaki itu menjadikan Fifi Ramadani sebagai tebusan, Nurul Nabilah Norizal, 11, dan Nazreena Hakim Hermansyah, 11, juga tidak dapat tidur kerana terbayang-bayang kejadian yang dialami mereka.
"Suspek mengacukan pisau pada leher Fifi dan Fifi terus mengundur ke belakang kerana ketakutan dan saya cuba hendak menarik tangan Fifi tetapi Fifi mengundurkan diri" kata Nazreena Hakim, yang merupakan sepupu kepada mangsa.
"Saya masih terbayangkan kejadian itu, rasa seolah-olah suspek masuk ke bilik melalui tingkap rumah dan sentiasa berada di belakang saya," katanya.
Jiran mangsa seorang suri rumah Rosnah Ahmad Awang, 50 berkata beliau ternampak suspek melalui hadapan rumahnya tanpa berpakaian dan membawa satu beg plastik di tangannya sebelum kejadian itu.
"Saya nampak lelaki itu berjalan di depan rumah dan orang ramai mengejar dia kemudiannya dia berpatah balik masuk ke lorong di kawasan rumah mangsa dan saya terdengar orang menjerit meminta tolong," katanya.
Drama tebusan tersebut bagaimanapun berakhir pada pukul 4.10 petang semalam apabila sepasukan polis dipercayai dari unit khas dipanggil lalu menyerbu masuk ke dalam bilik itu dan melepaskan empat das tembakan yang mengenai suspek.
Suspek mati ketika dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan.

halaman