Friday, July 30, 2010

Amy Search tak nak bayar hutang

“Kalau mereka hendak ambil tindakan undang-undang, saya tidak boleh buat apa-apa,” kata penyanyi rock ternama tanah air, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy Search berhubung sebuah syarikat logistik yang bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana didakwa gagal membayar kos perkhidmatan pengangkutan bagi menjayakan Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru, tahun lalu.


Amy, 51, berkata dia melakukan kesilapan kerana memberi kepercayaan kepada seorang rakan menguruskan konsert itu sehingga menimbulkan pelbagai masalah lain.


“Saya tidak tahu perlu membayar kos pengangkutan itu kerana saya difahamkan ia ditaja ketika perbincangan dijalankan.


“Saya tidak tahu hendak buat apa sekarang, kalau mereka mahu ambil tindakan undang-undang, saya terima,” katanya yang dihubungi semalam.

Pengarah Urusan Wanaf Logistics (M) Sdn Bhd (Wanaf), Wan Ahmad Fazlisyah Wan Mohamad memberitahu pihaknya bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap penyanyi rock itu kerana pembayaran masih belum dibuat selepas hampir setahun konsert itu berakhir.


Wanaf dilantik membawa semua peralatan pentas termasuk sistem bunyi ke lokasi konsert yang dianjurkan sebagai penghargaan kepada peminat bermula awal Mei dan berakhir Ogos tahun lalu.

Wan Ahmad Fazlisyah berkata, mengikut perjanjian antara syarikatnya dengan Amy pada awal Februari, Wanaf menyediakan lima treler membawa peralatan ke lokasi konsert.


“Bagaimanapun kami hanya membawa peralatan ke tiga lokasi, Seberang Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Jengka, Pahang manakala di Terengganu, perkhidmatan kami dibatalkan dan terpaksa berpatah balik atas alasan mereka mempunyai masalah kewangan.


“Baki perkhidmatan kami belum dibayar sehingga kini kira-kira RM200,000. Pada mulanya Amy berjanji membayar semua hutang dan memberikan tiga cek, tetapi malangnya cek tendang.


“Selepas berulang kali hubungi lama-kelamaan dia mengelak, malah panggilan dan surat tuntutan tidak dilayan,” katanya.


Menurutnya, walaupun kecewa dengan sikap penyanyi itu, pihaknya masih bersabar dan menggunakan cara rasmi untuk menuntut pembayaran seperti menghantar surat selain berusaha menghubunginya.

“Ini kali pertama Wanaf terbabit menyediakan perkhidmatan untuk konsert dan pada mulanya kami cukup gembira kerana berpeluang bekerjasama dengan penyanyi terkenal, malah dapat menyumbang sesuatu untuk konsert itu.


“Tetapi sekarang saya cukup terkilan pembayaran tidak dibuat selepas setahun manakala penyanyi itu masih mengadakan persembahan baru-baru ini. Kami membuka ruang membincangkan perkara ini seluas-luasnya dan tiada niat selain menuntut hak kami,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields kelmarin. Beliau berkata, pihaknya berharap maklum balas Amy untuk menyelesaikan pembayaran tertunggak selama setahun itu.

“Seboleh-bolehnya kami tidak mahu sehingga peringkat tindakan undang-undang kerana masih mengharapkan perbincangan, tetapi jika masih tidak diendahkan, kami terpaksa lakukannya,” katanya.

Subsidi untuk rakyat dipotong, Subsidi untung IPP dikekalkan

Subsidi untuk rakyat dipotong,
Subsidi untung IPP dikekalkan

Neo Chee Hua | Jul 28, 2010 07:54:11 pm

Baru-baru ini, Petronas merungut kerana terpaksa menanggung beban subsidi gas sejumlah RM116 bilion, malah menyatakan harapannya agar kerajaan menunaikan janji untuk memansuhkan subsidi secara beransur-ansur. Di samping itu, sementara Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan potongan subsidi minyak, gas dan gula, subsidi kepada korporat dikekalkan sebaliknya, memberi manfaat yang terbesar kepada penjana kuasa bebas (IPP).

Sesetengah orang menuding jari terhadap IPP, lantaran daripadadouble standard yang diamalkan oleh PM Najib dalam isu subsidi. Dalam satu kenyataan oleh Persatuan IPP pada 21 Julai 2010, mereka menafikan bahawa IPP menerima manfaat daripada subsidi gas, sebaliknya mendakwa bahawa manfaat ini disalurkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism.

Menurut Persatuan IPP, dalam model operasi IPP yang sedia ada, harga gas ditetapkan oleh kerajaan, dan gas ini dibekalkan kepada IPP. Dalam hal ini, IPP yang menandatangani kontrak dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad), hanya berperanan sebagai pembekal eletrik, dan tidak terlibat dalam hal ehwal pengguna.

PPA yang berat sebelah

Bagaimanapun, kenyataan Persatuan IPP ini hanya benar secara luarannya. Sememangnya IPP tidak memperolehi manfaat kewangan secara langsung daripada subsidi gas ini, tetapi IPP telah mengaut keuntungan yang besar secara tidak langsung daripada subsidi gas ini. Pada hakikatnya, Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA) antara kerajaan, TNB dengan IPP menjadi punca kepada mekanisme subsidi ini.

Seandainya dilihat dari struktur sektor bekalan elektrik secara menyeluruh, TNB adalah pembekal elektrik yang utama, dengan kira-kira 60% aset kilang penjana elektrik di Semenanjung Malaysia, dan 55% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia. Sementara itu, IPP menguasai 40% aset kilang penjana elektrik di seluruh Malaysia, di samping 5% yang selebihnya dimiliki SESB di Sabah dan SESCo di Sarawak.

Sektor elektrik merupakan pengguna terbesar dalam pasaran gas semulajadi. Menurut laporan kewangan Petronas pada tahun 2009, 59.7% gas semulajadi disalurkan kepada sektor elektrik, dan kira-kira dua pertiga daripadanya pula dibekalkan kepada IPP. Jikalau dilihat mengikut nisbah, IPP merupakan unit penerima subsidi gas yang terbesar dalam sektor elektrik.

Menurut maklumat daripada laporan kewangan Petronas pada tahun 2007, Petronas telah menanggung beban subsidi gas sebanyak RM58.2 bilion untuk sektor elektrik mulai tahun 1997. RM27.6 bilion (47%) daripadanya dibekalkan kepada IPP, sementara TNB memperolehi subsidi gas sebanyak RM21.2 bilion (37%). Malah, RM9.4 bilion (16%) yang selebihnya, dikongsi oleh perusahaan kecil dan sederhana, bidang komersial dan rumah tangga. Jelas, IPP memperolehi subsidi gas yang tertinggi.

Petronas kini membekalkan gas semula jadi kepada sektor elektrik pada harga RM6.40 per mmBtu (Million Metric British Thermal Units), selepas subsidi. Menurut harga antarabangsa pada pertengahan Julai, harga pasaran gas semulajadi adalah USD 4.39 atau RM14/mmBtu. Dengan kata lain, IPP membeli gas semula jadi dengan harga RM7.60 (55%) lebih rendah daripada harga pasaran, selepas subsidi yang sudah tentu tidak kecil angkanya.

Subsidi menguntungkan IPP

Seandainya mengikut kenyataan Persatuan IPP, manfaat daripada subsidi akan dialihkan kepada pengguna melalui Pass-through mechanism. Pada hakikatnya, keadaan tidak berlaku sebagaimana yang diperkatakan. Setelah membeli gas semulajadi dengan harga yang lebih rendah dari pasaran, IPP tidak membekalkan elektrik kepada TNB dengan harga rendah, sebagaimana yang dijangkakan. Sebaliknya, IPP menjual elektrik dengan harga yang lebih tinggi kepada TNB, lantas mengaut keuntungan berganda daripadanya.

TNB terpaksa membeli kuasa elektrik daripada IPP dengan harga yang lebih tinggi, kerana terikat dengan PPA, wahal kos TNB untuk menjana elektrik sendiri jauh lebih rendah daripada kosnya membeli dengan IPP. Akhirnya, beban peningkatan kos TNB dipindah kepada pengguna, apabila TNB meminta agar kerajaan meluluskan kenaikan harga elektrik. Dengan kata lain, pengguna bukan sahaja tidak dimanfaatkan daripada subsidi, sebaliknya menanggung kos untuk membeli elektrik daripada IPP.

Lebih-lebih lagi, syarat-syarat yang berat sebelah dalam PPA telah mencungkil pertikaian. Jeff Rector, seorang pengkaji dari Universiti Stanford di bawah The Program on Energy and Sustainable Development, pernah mengemukakan satu laporan berjudulThe IPP Investment Experience in Malaysia pada tahun 2005. Menurut laporan tersebut, syarat take or pay yang digariskan dalam PPA menyatakan bahawa TNB bertanggungjawab untuk membiayai kuasa elektrik IPP, sama ada bekalan tersebut diperlukan atau tidak.

Menurut laporan ini, kesemua IPP fasa pertama menjana kuasa elektrik dengan gas semulajadi, yang dibekalkan Petronas secara khususnya. Syarat PPA menyatakan bahawa risiko kenaikan kos gas semulajadi ditanggung sepenuhnya oleh Petronas. Malah, dalam PPA untuk IPP fasa pertama, bekalan elektrik ditetapkan pada harga antara 13.7 sen dengan 15.5 sen per kilowatt-hour, jelas lebih tinggi daripada kos yang dihasilkan TNB sendiri.

Harga ini ditetapkan dengan mengambil purata anggaran inflasi untuk tempoh 21 tahun. Maka dengan ini, untuk beberapa tahun pada peringkat awal secara khususnya, IPP akan mengaut keuntungan yang besar, dan keuntungan akan berkurang apabila sampai ke peringkat akhir tempoh 21 tahun ini. Malah, IPP berpeluang untuk menjelaskan kos permulaannya (modal) pada peringkat awal tempoh 21 tahun ini, dan terus menikmati keuntungan setahun demi setahun kemudiannya.

Selain itu, Jeff Rector mendedahkan bahawa lima buah IPP fasa pertama dijamin dengan pulangan 20%, dalam perjanjian konsesi ini. Tetapi, IPP ini memperolehi pulangan yang lebih tinggi pada akhirnya.

IPP menjadi beban TNB

Manfaat sebagaimana yang disebut di atas tidak dikecapi oleh IPP fasa kedua, apabila PPA menyatakan bahawa risiko kos kenaikan harga bahan bakar ditanggung bersama oleh TNB dan IPP. Namun demikian, syarat take or pay tetap dikekalkan, iaitu TNB wajib membeli kuasa elektrik daripada IPP, sama ada perlu atau tidak. Syarat inilah yang menjurus kepada masalah 40% lebihan kapasiti elektrik (unutilized capacity), yang dihadapi oleh TNB.

Jelas, IPP menjadi beban TNB. Dalam satu wawancara bersamaBusiness Time, yang disiarkan pada 2 Mac 2009, bekas Ketua Pegawai Kewangan TNB, Izzaddin Idris (gambar kanan) berkata, setinggi 80% kos operasi TNB dalam laporan kewangan tahun 2008 digunakan untuk membiayai IPP, perlombongan arang dan gas semulajadi yang dibekalkan Petronas. Antaranya, RM8.7 bilion digunakan untuk membiayai IPP, dengan RM4.8 bilion daripadanya untuk bekalan elektrik.

Izzaddin Idris berkata, TNB akan memperuntukkan RM5 bilion untuk hasilan kuasa elektrik pada tahun kewangan 2009, dan kos ini dijangka akan bertambah pada masa depan.

Ringkasnya, dalam isu subisidi gas dan bekan elektrik, IPP menjadi penerima manfaat terbesar, sementara Petronas, TNB, kerajaan, malah rakyat perlu menanggung kerugian akibat daripadanya. Subsidi tidak menguntungkan rakyat, yang sebaliknya perlu menanggung kosnya kerana penyelewengan dalam hasilan elektrik.

Thursday, July 29, 2010

32 Anggota Polis KL Terjejak Dengan Dadah

Seramai 32 anggota polis dari kontinjen Kuala Lumpur ditahan kerana terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah sejak Januari tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman berkata enam dari mereka telah ditamatkan perkhidmatan manakala yang lain telah digantung kerja sementara menunggu tarikh perbicaraan.

"Kami tidak berkompromi dengan mana-mana anggota mahupun pegawai yang terlibat dalam najis dadah dan tidak teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan mereka meskipun telah berkhidmat lama," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Kuala Lumpur di sini, pada Rabu.

Muhammad Sabtu berkata kebanyakan anggota yang ditahan baru berkhidmat dengan pasukan polis tetapi ada juga yang telah berkhidmat selama 30 tahun.

Beliau berkata ujian saringan air kencing kini dijalankan di setiap balai pada setiap hari terutamanya apabila ada anggota yang dilihat dalam keadaan mencurigakan dan disyaki mengambil dadah.

"Diingatkan juga, adalah menjadi kesalahan bagi warga polis jika mengunjungi pusat hiburan untuk berhibur selain dari atas sebab tugasan seperti serbuan atau tujuan risikan dengan mendapat arahan dari pihak atasan," katanya.

Beliau berkata anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah boleh menyerah diri pada Agensi Anti Dadah Kebangsaan untuk mendapatkan rawatan.

Katanya beliau juga tidak berpuas hati akan tahap kesihatan kebanyakan anggotanya yang mengambil ringan dan tidak peka dengan keadaan kesihatan mereka.

Dari Januari hingga kini seramai 14 warga polis yang baru berusia 40-an meninggal dunia akibat sakit kronik termasuk darah tinggi, diabetis dan sakit jantung termasuk empat orang meninggal pada bulan ini atas sebab penyakit yang sama.

Katanya kekuatan kontinjen Kuala Lumpur sekarang seramai 7,430 anggota termasuk kakitangan awam.

Mengenai kes rampasan minyak syabu bernilai RM40 juta dalam serbuan pada 22 dan 23 Julai lalu, beliau berkata polis kini sedang giat memburu seorang lagi suspek warga Iran yang dikesan bersembunyi di sebuah negara jiran.

"Kita sudah kenalpasti identiti suspek, pasport dia ada dengan kita...kita tahu dia di mana dan kita akan hubungi pihak berkuasa negara jiran itu bagi mengesan suspek," katanya.

Dalam serbuan itu, polis melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya sepasang suami isteri rakyat Iran dan merampas minyak syabu tersebut dalam beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang. -BERNAMA

Wednesday, July 28, 2010

kes anwar: Tim pendawaraya digugurkan hubungan istimewa dengan saiful


Farah Azlina Digugur Daripada Pasukan Pendakwaan Kes Anwar

PUTRAJAYA: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada Selasa mengesahkan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif telah digugurkan daripada pasukan pendakwaan yang mengendalikan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, langkah itu adalah susulan terhadap dakwaan bahawa Farah Azlina mempunyai "hubungan romantis" dengan saksi utama kes tersebut, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa dia diliwat oleh Anwar pada Jun 2008.

Farah Azlina turut digugurkan daripada Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara atas faktor yang sama, katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, Selasa.

Sidang akhbar berkenaan diadakan bagi menjelaskan perkembangan terkini sekaligus menjawab persoalan mengenai hubungan Farah Azlina dan Mohd Saiful seperti yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today baru-baru ini.

Abdul Gani berkata, Farah Azlina terpaksa digugurkan bukan kerana beliau didapati bersalah tetapi bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif daripada orang ramai terhadap pasukan pendakwa.

"Jabatan Peguam Negara tidak boleh berkompromi dengan sebarang isu yang boleh menjejaskan nama baik atau kredibiliti jabatan dan kami sangat memandang serius perkara seumpama ini.

"Ini boleh menjadi sangat sukar bagi kita, tetapi sebarang perkara peribadi sekiranya boleh memberikan kesan dalam apa juga bentuk terhadap jabatan ini akan ditangani dengan amat serius," katanya.

Tindakan itu diambil untuk memastikan kelancaran kes tidak terganggu, katanya.

Beliau menjelaskan penglibatan Farah Azlina dalam kes itu sangat terhad iaitu sekadar membantu mencatatkan segala nota mengenai perbicaraan tersebut.

"Beliau tidak mempunyai akses langsung kepada kertas siasatan kes atau mempunyai apa-apa sebab untuk mengakses kertas siasatan atau apa-apa maklumat sulit yang ada pada pihak pendakwaan.

"Beliau sama sekali tidak terlibat dalam sebarang perbincangan atau persediaan kes termasuk penyusunan strategi pasukan pendakwa," katanya.

Mengulas lanjut Abdul Gani berkata, pasukan pendakwa untuk semua kes berprofil tinggi telah menetapkan peraturan bahawa kertas siasatan dan dokumen kes hanya boleh disimpan oleh Ketua Pendakwa atau Pendakwa Kanan.

"Pendakwa baru hanya membantu kami dalam menjalankan beberapa tugas yang sama sekali tidak melibatkan perbincangan, penyusunan strategi dan pembentangan hujah di dalam mahkamah," katanya.

Pasukan pendakwa untuk kes berkenaan diketuai oleh Peguam Cara Negara 2, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Datuk Nordin Hassan, Noorin Badaruddin, Mohamed Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat, Mira Mirna Musa, Naidatul Athirah Azman dan Farah Azlina.

"Tugas menyoal saksi dilakukan oleh Mohd Yusof, Mohamed Hanafiah, Datuk Nordin dan Noorin manakala Chiang Kiat bertugas membantu aspek perundangan berhubung rayuan dan semakan kes.

"Farah Azlina, Naidatul Athirah dan Mira Mirna hanya dipertanggungjawabkan untuk mengambil dan mencatatkan segala nota perbicaraan," katanya.

Anwar didakwa meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur antara 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun, 2008. - BERNAMA

Tuesday, July 27, 2010

Amelia(AF) bercinta dengan Aziz Desa?

Amylea Beri Amaran Kepada Aziz Desa

Penyanyi Amylea Azizan (gambar) meminta pengacara Nasi Lemak Kopi O di TV9, Aziz Desa supaya menutup mulut serta tidak menyebarkan berita yang bukan-bukan termasuklah menuduhnya sebagai anak Langkawi yang lupa daratan.

Amylea yang dihubungi Mstar Online Isnin, berkata, dia kecewa dengan sikap pengacara itu yang masih membawa isu lama untuk memanaskan dunia hiburan dan bukan berusaha untuk memulihkan keadaan.

"Saya minta dia supaya tutup mulut dan jangan kaitkan apa-apa tentang diri saya. Cukuplah selama ini dia menyebarkan berita yang bukan-bukan terhadap saya," katanya.

Menurut Amylea, krisis diantara dia dengan Aziz Desa itu bermula kira-kira lima tahun lalu ketika pengacara itu menawarkannya menjadi duta Anti Fitnah di Langkawi.

Bagaimanapun Amylea terpaksa menolak tawaran itu kerana memikirkan masih terlalu muda untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Lagipun kata Amylea, dia bukan anak jati Langkawi dan hanya tinggal selama dua tahun sahaja di pulau itu kerana mengikut bapanya yang bekerja di sebuah hotel di sana.

Katanya disebabkan dia menolak tawaran tersebut, Aziz menuduhnya sebagai anak Langkawi yang lupa daratan sehingga timbul dakwaan mengatakan dia tidak mempedulikan ibu dan bapanya lagi.

"Walaupun peristiwa itu sudah lama tapi ia sering dibangkitkan, ramai yang menyindir mengatakan saya tinggalkan orang tua di kampung, padahal mereka tidak tahu hakikatnya kami sekeluarga sudah pun menetap di Kuala Lumpur.

"Percayalah walaupun saya bukan anak jati pulau itu tapi saya sangat berbangga tinggal di sana, Langkawi sebuah tempat yang sangat indah dan cantik bagi saya," ujarnya.

Amylea yang kecewa dengan tindakan itu memohon agar pengacara berkenaan memohon maaf diatas perbuatannya itu dengan segera.

Pasukan Pendakwa Kes Anwar Bercempera

Dari Harakah

Pasukan pendakwa kes Liwat II terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim bercempera ekoran dakwaan blogger Raja Petra Kamarudin, salah seorang anggota perempuannya mempunyai hubungan intim dengan saksi utama dan pihak yang mendakwa, Mohd Saiful Bukhari.

Ketua pasukan pendakwa itu, Solicitor-General 2 Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden bagaimanapun belum dapat mengesahkan samada ada timbalan pendakwaraya wanita itu akan digugurkan atau tidak dari pasukan itu.

“Saya tidak boleh beritahu apa-apa sekarang, saya akan bincang dengan pasukan saya dan lihatlah nanti pada 2 Ogos sama ada dia masih dalam pasukan ini atau tidak,” kata Mohd Yusof sebagaimana yang dilaporkan oleh sebuah laman web.

Sementara itu, peguam Anwar, Sankaran Nair berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan Raja Petra itu.

“Kita akan hantar surat kepada pejabat AG hari ini, petang nanti mereka akan dapatlah surat itu,” kata Sankaran.

Pihaknya akan menunggu jawapan rasmi dari pejabat Peguam Negara sebelum membuat apa-apa tindakan yang sesuai.

Bagi beliau, jika benar dakwaan Raja Petra ini, ia merupakan satu yang sangat buruk dan ia akan menjadi lagi buruk kalau ia dibiarkan tanpa penjelasan yang wajar.

“Ini akan memberikan implikasi yang serius terhadap perbicaraan ini. Kami mahu Peguam Negara mengesahkan atau menafikan dakwaan ini. Kamar Peguam Negara perlu tidak berpihak dalam hal ini kerana Saiful adalah pihak yang membuat aduan dan saksi utama pendakwa,” kata Sankara.

Raja Petra dalam blognya mendakwa Saiful mempunyai hubungan sulit dengan salah seorang anggota wanita pasukan pendakwaan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin kanan PKR, Peguam Sivarasa Rasiah mendakwa, beliau ada maklumat mengenai tuduhan ini.

Saiful sebelum ini membuat laporan polis diliwat oleh Anwar dan ekoran itu Anwar didakwa oleh pasukan pendakwa yang diketuai Yusof di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Mohd Yusof mendakwa peranan timbalan pendakwaraya wanita itu hanya minima sahaja kerana dia tidak termasuk secara rasmi dalam pasukan pendakwaan beliau.

Wanita itu hanya dibawa masuk untuk membantu mengumpulkan data dan mengambil nota semasa perbicaraan kerana salah seorang anggota pendakwaan telah meninggalkan pasukan itu.

“Jadi, saya tidak boleh kata dia digugurkan dari pasukan ini, kerana dia bukan anggota pasukan ini sebenarnya, bukan macam (DPP) Noorin (Badaruddin), atau Wong (Chiang Kiat), atau saya. Dia dibawa untuk membantu tetapi sekarang kita sekurang-kurangnya ada tiga peguam yang boleh menyusun, dan kadang-kadang Noorin juga mengambil nota.

“Selin itu, dia (wanita yang dikaitkan) juga adalah pendakwaraya, peguam. Dia juga ada kes yang kena kendali. Jika kita putuskan tidak masukkan dia dalam pasukan kita bulan depan, ini kerana kita boleh kendalikan kes ini tanpa dia…juga kerana dia ada kes lain yang perlu diuruskan,” kata Mohd Yusof.

DR.MAHATHIR; SUNAT DAN WAJIB


1. Sejak kecil lagi saya diajar tentang perbezaan antara sunat dan wajib dalam Islam.

2. Yang sunat saya diberitahu jika dibuat berpahala tetapi tidak dibuat tidak berdosa. Sebaliknya yang wajib perlu dibuat jika tidak akan berdosa.

3. Sudah tentu awal-awal lagi saya diberitahu sembahyang lima waktu itu wajib. Tetapi kelonggaran diberi jika tidak sihat, jika dalam perjalanan, dalam kecemasan.

















4. Jika tidak dapat berdiri boleh duduk semasa sembahyang, dalam perjalanan boleh jamak. Demikian juga dengan ibadat puasa, mengeluar zakat dan mengerja haji.

5. Islam tidak membebankan penganutnya. Oleh itu banyaklah amalan yang sunat, yang jika dilakukan mendapat pahala tetapi tidak berdosa jika tidak dilakukan.

6. Ramai orang Islam yang tidak puas hati dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberi oleh Allah Subhanahuwata'ala Mereka lebih suka jika yang wajib ditambah dan yang sunat diwajibkan.

7. Ada yang sampai memaksa yang sunat dilakukan dan jika tidak, tidak Islam atau kurang Islam. Tidak ada kelonggaran yang dibenarkan.

8. Walaupun ini mungkin tidak jadi masalah kepada yang sudah Islam, tetapi ada orang bukan Islam yang takut memeluk agama Islam kerana "wajib" disunatkan.

9. Tetapi ada yang begitu keras mewajibkan "sunat" sehingga sanggup tidak menerima yang tidak mahu disunat memeluk agama Islam. Ketakutan ini lebih terdapat dikalangan wanita bukan Islam. Dipercayai wanita yang Islam pun ramai yang tidak disunatkan kerana ini adalah perkara yang tidak diwajibkan. Tetapi pihak tertentu berkeras berkenaan "sunat" bagi wanita yang memeluk agama Islam.

10. Kenapakah kita begitu tidak puas hati dengan kelonggaran yang diberi oleh Allah s.w.t. sehingga menolak hukum yang telah ditentukan oleh-Nya. Sesungguhnya banyaklah hukum Allah yang dialihkan terutama berkenaan fardhu kifayah supaya yang wajib menjadi sunat dan yang sunat diwajibkan.


mansur putih kempunan

Mansur menunjukkan skrip Malaysian Snow ketika sidang media di Gallery Cafe Balai Seni Lukis Negara semalam.

PENERBIT filem kontroversi Mansur Puteh berkata, beliau telahpun membuat tuntutan balas terhadap saman yang dikemukakan oleh Bank SME ke atasnya bagi projek filem Malaysian Snow - sekaligus menuntut ganti rugi lebih RM40 juta daripada bank tersebut.

Bank SME telah memohon di Mahkamah Tinggi Jalan Duta agar perjanjian pinjaman antara bank itu dan syarikat Unity Filem milik Mansur diisytiharkan batal.

Ekoran daripada itu, Mansur telah melantik peguamnya, Azhar Arman Ali untuk menguruskan kes tersebut pada 6 Jun dan 16 Julai lalu. Kes itu akan disambung semula pada 2 Ogos ini.

Mansur pernah membuat permohonan pinjaman daripada SME Bank melalui Skim Bantuan Pembiayaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk menerbitkan filemnya, Malaysian Snow.

Bagaimanapun sehingga ke hari ini penerbitan filem itu tidak berjaya disiapkan.

“Saya berharap masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin agar saya dapat memulakan penggambaran filem Malaysian Snow di United Kingdom, London, Melaka dan Kuala Lumpur selepas Hari Raya Puasa tahun ini,” ujarnya dalam satu sidang media di Gallery Café Balai Seni Lukis Negara, semalam.

Mansur juga nekad untuk mempercepatkan penerbitan filem yang menjadi tesis pengajian sarjananya ketika belajar di Universiti Columbia, New York dalam jurusan Fine Arts in Film Directing pada tahun 1978 itu kerana pihak universiti berkenaan telah mengugut untuk menyamannya jika tidak menyiapkan filem tersebut.

Filem Malaysian Snow adalah penghargaan Mansur kepada mereka yang telah belajar di Universiti Nottingham khususnya Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tuanku Jaafar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata Mansur, filem tersebut adalah filem Melayu pertama yang akan melakukan penggambaran hampir 80 peratus di Nottingham, England.

Mansur memerlukan kos RM1.2 juta untuk menyiapkan filem yang mengisahkan tentang dua pelajar Melayu yang melanjutkan pelajaran di Universiti Nottingham, England. Mereka pada mulanya hendak melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat, namun segala-galanya bertukar setelah berlaku peristiwa 11 September.

Setakat ini, dia belum boleh menyenaraikan nama-nama pelakon memandangkan sebelum ini dia telah memilih Que Haidar dan Hasnul Rahmat. Namun, kesudahannya tidak menjadi.

Mansor juga menyatakan kekecewaannya kerana rakan sekelasnya ketika di Columbia University seperti Ron Nyswaner telahpun menghasilkan skrip yang memenangi anugerah oskar melalui filem ‘Philadelphia’ yang dibintangi oleh Tom Hanks dan Denzel Washington sedangkan dia masih bergelut dengan soal-soal birokratik yang menghalang kemajuan garapan karya seninya.

Malah katanya, Barack Obama yang merupakan juniornya di Columbia University 28 tahun lalu sudahpun menjadi presiden Amerika Syarikat tetapi dia masih bergelut untuk menerbitkan filem Malaysian Snow yang merupakan hasil tesis untuk program sarjananya di universiti berkenaan.(MSO)

Monday, July 26, 2010

Yassin (Senario) ditahan positif dadah

Bekas anggota kumpulan pelawak Senario, Yassin Yahya (gambar), ditahan polis kerana dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah, awal pagi Ahad.

Yassin,32, ditahan di sebuah pusat hiburan di Sunway Piramid sekitar pukul 1 pagi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Jabatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya juga menjalankan ujian air kencing kepada 30 orang awam lain yang berada di pusat hiburan itu.

"Tiga lelaki termasuk Yassin didapati positif dadah selepas ujian tersebut dilakukan.

"Ujian tersebut juga mendapati Yassin mengambil dadah jenis ganja, manakala dua orang lagi iaitu pengurusnya dan seorang ahli perniagaan dikesan mengambil dadah jenis ketamin," kata Khalid

Saturday, July 24, 2010

sekolah mengandung

Kerajaan negeri Melaka semalam mengemukakan cadangan menubuhkan sekolah khas untuk pelajar mengandung, sama ada mengandung hasil perkahwinan sah atau menerusi perhubungan luar nikah, bagi mengatasi gejala pembuangan bayi sekaligus menyelesaikan isu keciciran dalam pelajaran.

Jika menjadi kenyataan, sekolah itu akan menerima pelajar dari seluruh negara.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, cadangan penubuhan sekolah itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran untuk pertimbangan.

"Kami serius mengenai cadangan ini, jika kementerian tak setuju, kami sendiri akan mengusahakan penubuhannya,'' ujar beliau selepas merasmikan Sekolah Rendah Arab (SRA) Jabatan Agama Islam (JAIM) Batang Tiga Timur di sini semalam.

Mohd. Ali berpendapat adalah lebih baik remaja yang mengandung mempunyai saluran meneruskan persekolahan daripada berhenti dan seterusnya tercicir dalam pelajaran.

Beliau bagaimanapun tidak mahu cadangan itu disalah tafsir sebagai galakan untuk remaja berkahwin atau hamil anak luar nikah.

"Apa yang penting kita nak selesaikan masalah remaja berzina dan selepas itu mereka buang bayi,'' katanya.

Bagi membantu remaja yang masih bersekolah untuk berkahwin, beliau turut mengumumkan pemberian insentif RM500 kepada mereka untuk membantu urusan perkahwinan.

"Perkara ini telah dibincangkan bersama MAIM (Majlis Agama Islam Melaka) dan diluluskan pada mesyuarat Exco dua bulan lalu," katanya.

Friday, July 23, 2010

Ustaz setan

SIMUNJAN: Lima murid lelaki tahun tiga di sebuah sekolah di sini terpaksa menahan kesakitan di dubur masing-masing selepas mendakwa dicucuk lidi penyapu oleh ustaz mereka disebabkan gagal menghafaz surah al-Quran seperti diarahkan.

Selain itu, seorang lagi murid lelaki mendakwa dikasari apabila lehernya dijerut dengan wayar, manakala seorang murid perempuan yang turut dihukum, mengaku kemaluannya diraba ustaz terbabit selepas diarahkan berbogel.

Menurut sumber, enam murid lelaki terbabit juga diarahkan berbogel dalam kelas dengan disaksikan rakan, manakala murid perempuan itu dibogelkan dalam bilik berasingan sebelum dia mendakwa dicabul ustaz berusia 30-an itu.

“Lima murid lelaki dihukum dengan duburnya dimasukkan lidi penyapu selepas diarahkan berbogel, manakala seorang lagi dikasari dengan lehernya dijerut menggunakan wayar. Seorang murid perempuan pula dibogelkan dalam bilik berasingan sebelum kemaluannya diraba ustaz itu,” katanya.

Menurutnya, kejadian menjijikkan itu berlaku pada minggu lalu dan laporan sudah dibuat kepada guru besar sekolah berkenaan, namun tiada tindakan diambil. Bagaimanapun, kes kemudian dibawa ke Pejabat Pelajaran Daerah.

“Susulan kejadian itu, semua murid berkenaan diiringi ibu bapa masing-masing membuat laporan di Balai Polis Simunjan,” katanya.

Wednesday, July 21, 2010

Melayu paling ramai tonton filem lucah

Melayu paling ramai tengok porno


Satu kajian terbaru membuktikan remaja Melayu paling ramai melayari laman web lucah sekali gus mendorong mereka terjebak dengan gejala seks bebas berbanding kaum Cina dan India.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia itu mendapati 22 peratus remaja Melayu gemar melayari laman web lucah sama ada di rumah mahupun di kafe siber.

Dapatan kajian turut menunjukkan bahawa 15 peratus remaja Melayu suka melepak, menghisap rokok (13.7 peratus) manakala ponteng sekolah dan memaki hamun orang masing-masing 11.5 peratus.

Pengarah IPSAS, Profesor Dr. Md. Salleh Hassan (gambar) yang mengetuai kajian itu berkata, bahan pornografi yang terlalu mudah dibeli dan diakses menerusi Internet menjadi punca utama remaja Melayu terjebak dengan gejala tersebut.

Beliau berkata, lebih mendukacitakan, ibu bapa yang ditemu bual tidak mengaku kesilapan anak masing-masing sedangkan si anak mengakui kesalahan salah laku yang dilakukan mereka ketika disoal selidik.

"Dulu, ponteng sekolah yang mendominasi salah laku pelajar tapi kini, mereka yang ditemu bual oleh kumpulan penyelidik kami mengaku lebih suka tengok pornografi dengan ke kafe siber,'' kata Md. Salleh ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.-(Sumber KO)


Tuesday, July 20, 2010

Paris Hilton dan ahli perniagaan malaysia ditangkap bawa dadah

SHAH ALAM 20 Julai - Ahli perniagaan muda kelahiran Malaysia, Taek Jho Low menimbulkan kejutan sekali lagi apabila beliau yang dikatakan rapat dengan artis Hollywood, Paris Hilton ditahan pihak berkuasa kerana memiliki dadah jenis marijuana.

Akhbar Perancis,Corse Matin melaporkan Paris Hilton ditahan di lapangan terbang Corsica selepas marijuana yang di bawa dalam begnya dihidu oleh anjing pengesan.

Dalam laporan tersebut, akhbar itu berkata, Hilton sedang melancong bersama dengan seorang personaliti yang rapat dengan pihak berkuasa di Malaysia ketika beliau ditahan oleh pihak berkuasa.

Menurut akhbar itu lagi, Hilton dikatakan menggunakan jet peribadi dengan "seseorang yang rapat dengan pihak berkuasa di Malaysia" dan di dalam perjalanan ke resort mewah Porto Cervo di Sardinia, Itali.

Jho Low yang dikatakan pemuda misteri daripada Malaysia itu dilihat telah membelanjakan sejumlah wang yang besar di kelab-kelab seluruh dunia dan beliau didakwa menjadi penasihat kepada syarikat antarabangsa dan telah dilantik sebagai lembaga pengarah dalam sebuah bank di Malaysia, UBG Bank, tahun lepas.

Bagaimanapun beliau dilepaskan pihak berkuasa setengah jam setelah disoalsiasat.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya menyiasat latar belakang seorang rakyat Malaysia bernama Jho Low lulusan Wharton School of Business dan bagaimana beliau mampu memperolehi kekayaan sebegitu banyak dalam usia 28 tahun.

Shamsul mendakwa Jho juga terlibat sebagai penasihat kepada Terengganu Investment Authority, badan yang ditubuhkan untuk mengurus pelaburan hasil daripada royalti minyak negeri itu.

Pada perasmian Kongres Nasional Tahunan AMK 2009 yang diadakan pada bulan Mei lalu, Shamsul mendakwa beliau mendapat maklumat pemuda ahli perniagaan itu juga memainkan peranan untuk merampas tanah kem TUDM di Sungai Besi bersama anak Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor.

"Kita desak SPRM menyiasat siapa Jho Low ini, bagaimana dia memdapat kekayaan sehingga The New York Times melaporkan bagaimana anak muda ini berbelanja beratus ribu dolar berseronok di kelab-kelab eksklusif di bandaraya itu dalam beberapa bulan dan terus berbelanja besar.

"Semua maklumat berkenaan individu ini adalah daripada media luar negara dan kemudiannya dilaporkan oleh media tempatan. Ini menimbulkan keraguan siapa gerangan Jho Low ini dan bagaimana dia boleh menjadi begitu kaya dalam usua muda dan mempunyai kaitan dengan tokoh politik," ujar beliau. -(sumber Suara Keadilan.com)



LPPKN : SEKS PUNCA PENCERAIAN MENINGKAT

Isu seks punca cerai meningkat, kata peguam syarie

July 20, 2010

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Perkara-perkara yang berkaitan dengan seks menurut Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menjadi antara punca utama menyebabkan perceraian di kalangan pasangan beragama Islam.

Timbalan Presidennya Musa Awang mengakui pemerhatian mereka terhadap kes-kes yang dibawa ke mahkamah menunjukkan masalah berkaitan dengan seks menjadi antara punca mengapa pasangan mengemukakan permohonan mahu mengakhiri rumah tangga mereka.

Musa menjelaskan perkara itu berlaku kerana kurang keinginan seks sama ada daripada pihak suami atau isteri.

Selain itu jelas beliau, ketiadaan zuriat juga menjadi masalah besar dalam rumah tangga.

“Ia menjadi punca berlaku perbalahan kerana ada pihak yang memendam perasaan dan sakit hati akibat perkara yang dianggap kecil oleh sebelah pihak lagi,” katanya.

Sebenarnya punca masalah adalah kecil tapi bila masing-masing tidak duduk berbincang, ia sukar untuk dipulihkan, kata Musa ketika ditemui The Malaysian Insider baru-baru ini.

Katanya, antara punca besar keretakan rumah tangga ialah hubungan seksual yang hambar.

Bagaimanapun beliau tidak dapat memberikan perangkaan pecahan punca yang membawa kepada masalah bercerai.

Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2004 menunjukkan faktor utama perceraian mendapat peratusan tertinggi ialah tiada persefahaman, curang dan enggan dimadukan.

Faktor lain kerana tidak bertanggungjawab, campur tangan mentua atau ipar duai, disebabkan ketagihan dadah atau alkohol, masalah kewangan, terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan serta didera.

Menurut statistik perceraian dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), punca krisis rumah tangga kerana tidak serasi, kecurangan, poligami, campur tangan keluarga, masalah kesihatan pasangan termasuk kesuburan dan suami isteri bermain kayu tiga.

Kajian dibuat syarikat Pfizer pada 2008 menunjukkan 57 peratus lelaki dan 64 peratus wanita tidak berasa puas dengan kehidupan seksual mereka.

Kajian dilakukan di 13 negara dari kawasan Asia Pasifik, termasuk Malaysia dengan taburan responden sebanyak 328 lelaki dan 250 wanita. Di negara ini, kajian mendapati 73 peratus wanita Malaysia tidak puas dalam hubungan seks mereka, 62 peratus lelaki turut dikatakan tidak puas.

Laporan pada tahun sama memetik Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Terengganu, Muhammad Ramli Nuh, berkata bau badan, adegan seks dan baju tidur membosankan dikenal pasti sebagai punca kenaikan kadar perceraian di negeri itu.

Kerajaan Negeri Terengganu terpaksa merangka satu cara inovasi untuk memperbaiki hubungan kelamin antara suami isteri khususnya di kalangan mereka yang baru berkahwin, termasuk menjemput syarikat kosmetik memperkenalkan bau-bauan eksotik yang mampu menimbulkan rasa ghairah, mencadangkan suami isteri lebih kerap mandi bersama sebagai salah satu jalan untuk mengukuhkan jalinan mesra.

Mengulas lanjut isu ini, Musa berkata apabila masalah tersebut tidak diselesaikan ia boleh menyebabkan pasangan terjerumus dalam fenomena berlakunya curang.

“Bila pasangan gagal mencari jalan penyelesaian ia boleh menjurus kepada berlakunya curang yang mana mempunyai kekasih gelap.

“Jadi apabila pasangan berlaku curang sudah tidak ada kepercayaan dan ia menjurus kepada penceraian.

“Selain itu, hubungan seks hambar itu juga disebabkan berlakunya berikutan kebanyakan lelaki dan wanita di negara ini lebih mengutamakan kerjaya daripada kehidupan berkeluarga,” katanya.

Justeru, Musa berharap pelantikan dua hakim wanita syarie oleh Mahkamah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya baru-baru ini dapat membantu dalam menyelesaikan kes-kes yang melibatkan kekeluargaan dan cerai.

“Saya melihat pelantikan kedua-dua hakim wanita itu bagus untuk membawa kes-kes yang melibatkan kekeluargaan dan juga cerai.

“Ini kerana mereka mempunyai banyak pengalaman memandangkan mereka sebenarnya sudah lama bertugas sebagai pegawai penyelidik di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

“Jadi sudah pasti mereka mempunyai pengalaman yang luas,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM Suraya Ramli, 31, dan Penolong Pengarah Bahagian Latihan JKSM Rafidah Abdul Razak, 39, masing-masing dilantik Hakim Syarie di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur.

halaman