Tuesday, February 28, 2012

Pemimpin PKR dipaksa berkalwat?


Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Badrulamin Bahron tiba di pejabat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) di sini Isnin untuk memberi keterangan berhubung kes khalwat yang membabitkan isteri orang. Badrulamin ditemani isterinya, Zumrah Husni (kiri). Foto BERNAMA

Wednesday, February 22, 2012

Polis Selangor Tumpaskan Sindiket Curi Kenderaan Terbesar


 Polis telah berjaya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan yang disifatkan sebagai antara yang terbesar di negara ini dalam satu operasi bersepadu minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Timbalan Komisioner, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam operasi tersebut, polis turut menahan 12 suspek, termasuk empat warga Bangladesh dan merampas beribu buah bahagian kenderaan termasuk enjin dan juga badan kenderaan yang telah dileraikan.
Kenderaan-kenderaan curi tersebut ditemui disimpan di Kampung Air Putih, Simpang berhampiran Taiping.
Kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri operasi yang dijalankan di Rawang, Sabak Bernam dan Simpang dalam tempoh tiga hari sejak Khamis lalu (16 Feb).
Antara yang berjaya dirampas ialah 1,101 enjin lori, 102 enjin kereta, 1,040 pintu lori, 34 buah kepala lori, 128 buah kereta, dan tiga buah papan pemuka kereta dan 13 anak kunci lori.
Tun Hisan berkata, ini adalah rampasan kenderaan curi yang terbesar oleh Polis Selangor.
“Kami masih lagi meneruskan siasatan untuk mengenalpasti sama ada sindiket ini masih mempunyai tempat persembunyi kenderaan curi yang lain.
“Dan pihak kami juga sedang mengenalpasti dengan lain-lain agensi siapakah pemilik kenderaan ini semua,” katanya kepada para pemberita di ibu pejabat polis negeri di sini.
Kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket ini bermula apabila mereka berjaya menahan beberapa orang suspek tahun lalu.

Tuesday, February 14, 2012

sejadah berdiri

sejadah tegak “Sejadah ini seakan sujud dan dengan tidak semena-mena, saya seram menyaksikan apabila ada dua atau tiga sejadah lain turut tegak menghadap kiblat”.

Demikian kata seorang pelajar Maahad Tarbiah Darul Hijrah Al Islamiah, kampong paya pasir, maran,Pahang, Filza Nur Iffah Rosli, 11, yang menemui sehelai sejadah daripada 43 sejadah didakwa berdiri menghadap kiblat dalam sebuah surau lama di pusat pengajian Islam itu kira-kira jam 7.30 malam semalam.

Filza berkata, pada jam 6.45 petang sebelum kejadian, pengetua maahad itu meminta dia bersama tiga rakan lain, Badlishah Sadino, 11, Aiza Zamri, 10, dan Norsyamira Ismail, 13, mengangkat 45 sejadah yang dijemur di penyidai kerana hujan.

“Umi meminta kami mengangkat sejadah terbabit untuk dihamparkan di surau lama ini memandangkan semua sejadah masih lembap.

“Selesai solat Maghrib, saya bersama seorang rakan, Najwa Baderi, 14, naik ke tingkat itu untuk mengambil wuduk yang terbatal. Selepas mengambil wuduk dan melintasi bilik mengaji ini, saya terkejut apabila melihat sejadah di hadapan pintu berbentuk seakan sedang sujud menghadap kiblat.

Filza berkata, mereka segera ke tingkat bawah dan memaklumkan kepada pengetua maahad mengenai kejadian pelik itu.

Pengetua maahad itu, Azizah Khatib Mat berkata, kejadian yang berlaku di dalam surau berusia 69 tahun itu disifatkan sebagai bukti kekuasaan ALLAH SWT dan pasti mempunyai hikmah di sebaliknya.

Menurutnya, kejadian sebegitu pernah dilaporkan berlaku sebelum ini di tempat lain dan beliau yakin ia bukan perbuatan pelajar nakal.

“Pelajar perempuan yang saya minta menghamparkan sejadah ini bukan pelajar nakal, malah masa diberikan pada mereka untuk menyelesaikan tugas itu terhad kerana mereka perlu berada di dalam surau untuk berzikir sebelum masuk waktu Maghrib.
“Jumlah sejadah juga banyak. Maka saya yakin ini bukti kebesaran ALLAH SWT dan mungkin sebagai satu daripada bentuk hidayah kepada pelajar serta umat Islam,” katanya.

Monday, February 13, 2012

Ketua Pendakwa Syarie Perak Dipenjara, Denda Terima Rasuah Kes Khalwat

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Perak dijatuhi hukuman penjara berjumlah lapan tahun dan didenda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin selepas didapati bersalah terhadap empat pertuduhan rasuah berkaitan kes khalwat melibatkan seorang anggota polis lima tahun lepas.
Hakim Tan Hooi Leng membuat keputusan itu terhadap Shahrunnazri Abdul Samad, 43, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000, dan bagi pertuduhan kedua hingga keempat, hukuman penjara dua tahun dan denda RM10,000, atau dua bulan penjara jika gagal membayar.
Mahkamah memerintahkan hukuman bagi keempat-empat pertuduhan itu berjalan secara serentak mulai hari ini.
Peguam Yusri Kamaruddin, yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman itu untuk pihaknya mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi.
Tan kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan jaminan terhadap tertuduh ditambah kepada RM20,000 dengan seorang penjamin.
Bagi tuduhan pertama, Shahrunnazri didakwa meminta suapan berjumlah RM5,000 sebagai dorongan tidak mendakwa anggota polis Mohamad Asri Bakar pada 11 pagi di Restoran Capati Medan Gopeng di sini.
Bagi tuduhan kedua, Shahrunnazri didakwa menerima suapan daripada anggota polis itu berjumlah RM1,000 di Malayan Banking Berhad, Jalan Sultan Idris Shah, di sini pada 3.25 petang 1 Ogos 2007.
Bagi tuduhan ketiga, Shahrunnazri didakwa menerima suapan daripada anggota polis sama berjumlah RM2,000 di Malayan Banking Berhad, Taman Ipoh Jaya, pada 11.30 13 Ogos 2007 manakala bagi tuduhan keempat, dia didakwa menerima suapan berjumlah RM2,000 juga daripada Mohamad Asri di Malayan Banking Berhad, Jalan Sultan Idris Shah, pada 4.25 petang 25 September 2007.
Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Unit pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Abdul Razak Musa. - BERNAMA

Thursday, February 9, 2012

Polis rampas blackberry Ahli Parlimen Khalid Samad

 Anggota Parlimen Shah Alam umpama patah tangan apabila terpaksa melepaskan telefon bimbit Blackberry beliau untuk tujuan siasatan.

Petang ini, seorang pegawai polis menemui beliau dan 'merampas' telefon itu untuk tujuan siasatan.

"Ia berkaitan dengan kes Teoh Beng Hock yang saya tweet setahun lalu melalui telefon itu," kata Khalid kepada Harakahdaily.
"Saya x boleh tweet lagi hingga BB dpulangkn. Istilah rampas adalah istilah yang diguna polis. Jam 2.30 Chief Inspector akan datang. WasSalaam.
"Sekadar nak maklum nombor baru. Akan dpulang bila selesai siasat," tulis Khalid dalam twitternya hari ini.

Khalid ketika dihubungi Harakahdaily berkata, beliau sendiri tidak ingat bilakah beliau membuat tweet berkaitan kes Teoh Beng Hock itu.

"Sudah beberapa kali polis datang nak ambil telefon tu tetapi saya berjaya tangguhkan. Hari ini tidak boleh lagi, kena serah," katanya.

Anggota Tentera Antara Lima Ditahan Disyaki Curi Kabel TNB Di Tapah

Rabu Februari 8, 2012Seorang anggota tentera adalah antara lima lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Tapah dan Teluk Intan sejak setahun lepas.
Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi kabel di kawasan ladang kelapa sawit Changkat Rembian, Jalan Bidor di sini, Selasa.
Anggota tentera terbabit adalah ketua kumpulan itu dan hasil siasatan mendapati lelaki terbabit telah lari daripada menjalankan tugasnya sejak empat tahun lepas, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah DSP Abdullah Arshad.
"Polis menemui sebuah van dan kereta jenis Proton Satria, dua walkie talkie, dua telefon bimbit, sepasang t-shirt warna biru, 10 gulung kabel TNB, satu alat pemotong dan satu gergaji besi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.
Beliau berkata seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah curi motosikal.
Abdullah berkata kumpulan itu disyaki terlibat dalam enam kes mencuri kabel di kawasan Tapah dan empat kes di Teluk Intan.
"Mereka memilih kawasan pedalaman yang jauh daripada kampung dan orang ramai bagi mengelak dikesan," katanya.
Abdullah berkata kesemua mereka ditahan reman sehingga 11 Feb dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan ketika sedang memotong besi pagar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KM 241.5 Landasan keretapi kawasan Bidor menghala ke Kuala Lumpur pada pukul 6.30 pagi Isnin lepas.
Abdullah berkata polis merampas lapan batang tiang besi pagar milik KTMB dan satu gergaji.
Seorang lagi rakannya dapat melarikan diri, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian jenayah agar menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA

Polis Cari Saksi, Suspek Utama Bantu Siasatan


Polis ingin mencari dua remaja yang juga saksi utama bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini berkata mereka ialah Nasiha Al Sakinah Kamaruzzaman, 20, dan Wafa Nabila Kamaruzzaman, 16, masing-masing beralamat terakhir di Blok H-9-12, PPR Desa Rejang Setapak, Kuala Lumpur.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali mereka diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Nurul Akma Kamadudin di talian 019-3545054 atau ASP S. Chandra Segaran di talian 012-9777900 atau Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460693.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di talian 03-21460584/585.
Sementara itu, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lelaki berbangsa India yang juga suspek utama bagi menjalankan siasatan berhubung kes di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971/395/397 Kanun Keseksaan.
Menurut kenyataan itu, suspek berbadan gempal, tinggi, berambut lurus paras bahu serta bermisai dan berjanggut tebal manakala terdapat kesan parut sepanjang satu inci di bahagian kening sebelah kiri serta terdapat banyak kesan lubang kecil pada wajahnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur di talian 03-26002222 sambungan 2403 atau hubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Sufian Amin.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur di talian 03-26977099 atau Hotline Rakan Cop Kuala Lumpur 03-21159999 atau SMS ke 32728 atau tampil di balai polis berdekatan. - BERNAMA

Friday, February 3, 2012

cubaan bunuh Tim. Ketua PAS Johor.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.40pagi sewaktu timbalan pesuruhjaya PAS Johor, Dzulkefly Ahmad dengan enam anggota keluarganya sedang nyenyak tidur di tingkat atas.  
Dua kereta "BMW keseluruhannya hangus, sebuah lagi kereta Camry yang diletak di sebelahnya, separuh terbakar tapi saya rasa masih boleh dibaiki "Bagaimanapun saya bersyukur sebab tiada kemalangan jiwa berlaku," kata Dzulkefly .
“Dahsyat! Kereta dalam garaj dipercayai disimbah minyak meletup. Api marak ke ruang tamu. Beliau dan  ahli keluarga sempat keluar ikut pintu belakang.“Kejadian jam 3.40 pagi ini di Tmn Universiti, Gelang Patah. Botol minyak tanah lima liter ditemui,” tulis ketua penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman dalam SMS kepada Malaysiakini.

Thursday, February 2, 2012

Pengarah Lembaga Nanas Zon Selatan Ditemui Mati

Pengarah Lembaga Nanas Malaysia Zon Selatan, Abdul Rahman Husin ditemui mati di rumahnya di Taman Sri Pinang, dekat Pontian, Khamis.
Ketua Polis Daerah Pontian Supt Zahaliman Jamin berkata Abdul Rahman, 52, ditemui mati tertiarap di dalam bilik air oleh pemandunya, kira-kira pukul 7 pagi.
"Pemandu Abdul Rahman telah datang rumah itu untuk membawanya ke Taman Negara Pulau Kukup bagi menghadiri sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia.
"Pemandunya bertindak membuka pintu jeriji yang tidak berkunci dan mengumpil pintu kayu selepas tidak mendapat maklum balas dari Abdul Rahman apabila mengetuk pintu berkali-kali," katanya ketika dihubungi Bernama.
Zahaliman berkata Abdul Rahman tinggal berseorangan di rumah berkenaan manakala keluarganya berada di Batu Pahat.
Beliau berkata siasatan polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku ke atas Abdul Rahman dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pengawal Keselamatan Mati Diserang Sekumpulan Lelaki

Khamis Februari 2, 2012



Seorang pengawal keselamatan di sebuah tapak projek sub stesen Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Seksyen 18 di sini mati selepas dipercayai diserang dan ditetak sekumpulan lelaki dalam kejadian malam Rabu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superitendan Mazlan Othman berkata, mangsadikenali sebagai I. Krishnanmurthy, 31, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, dahi dan badan serta tangan kanan mangsa juga putus.
Beliau berkata, kumpulan lelaki berkenaan yang dipercayai seramai 20 orang menaiki kereta dan kenderaan pacuan empat roda menyerang mangsa dengan merempuh pintu utama sub stesen berkenaan dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu.
"Kita turut menjumpai sebilah parang yang dipercayai digunakan sebagai senjata untuk menetak mangsa dalam kejadian itu.
"Siasatan awal tidak menolak motif kejadian ada kaitan dengan dendam membabitkan dua kumpulan kongsi gelap," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Mazlan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk dibedah siasat dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis terdekat atau menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, 03-55202222 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Bekas Pegawai Bank Dipenjara, Sebat

Khamis Februari 2, 2012

Seorang bekas pengurus operasi Bank Islam Berhad cawangan Banting dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dikenakan dua sebatan dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini Khamis selepas mengaku bersalah terhadap 95 pertuduhan pecah amanah dalam enam akaun pelanggan bank membabitkan RM83,500.
Hakim Mohd Fadhir Harun menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan terhadap Ramdan Mat Razak, 38, dan memerintahkan agar kesemua hukuman penjara berjalan secara serentak bermula Khamis.
Mohd Fadhir turut memerintahkan tertuduh dipenjara setahun sekiranya dia gagal membayar denda.
Ramdan didakwa melakukan pecah amanah berhubung enam akaun pelanggan Bank Islam Berhad cawangan Banting melibatkan jumlah RM83,500 dan 95 transaksi di premis bank itu di Jalan Cempaka, Banting, antara 28 Jan 2006 dan 20 Mac 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Mengikut fakta kes, pada 25 Mac 2008, seorang pelanggan bank, Mohd Mahmud Tusiman, telah membuat laporan kehilangan wang sebanyak RM8,000 dan ekoran laporan itu pihak bank telah membuat siasatan dalaman.
Laporan dibuat kepada polis oleh pengurus bank berkenaan pada 24 April 2008 selepas siasatan dalaman lengkap dan pihak bank telah mengenal pasti akaun serta jumlah yang terlibat.
Pemeriksaan ke atas penyata akaun bank kesemua mangsa mendapati bahawa pengeluaran secara 'automated fund transfer' telah dibuat oleh Ramdan dan ini disahkan oleh sistem yang mencatatkan nama serta kata laluan yang diberikan khas oleh pihak bank kepada tertuduh.
Dia didapati telah melakukan 95 transaksi pemindahan wang daripada akaun kesemua mangsa ke dalam tiga akaun lain termasuk akaun milik isterinya.
Kesemua transaksi pemindahan wang itu dibuat tanpa arahan daripada pemilik akaun malah tidak diketahui oleh kesemua pemilik akaun berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Iswa Tonie, manakala Ramdan diwakili peguam Pritam Singh. BERNAMA

Wednesday, February 1, 2012

Polis Buru 'Geng Mie Tiger'


DIKEHENDAKI POLIS... Dari kiri, Abdul Latip Mat Bidin, 29, Mohd Zakaria Abd Ghani, 23, dan Mohd Zulhelmi Rosli, 24, dikehendaki oleh pihak polis berkaitan dengan kegiatan jenayah pecah rumah, ragut dan curi motorsikal di sekitar Bukit Payong dan Marang. - fotoBERNAMA



 Polis Marang giat memburu tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah pecah rumah, ragut dan curi motosikal di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Marang, DSP Ahmad Mazlan Yahya berkata ketiga-tiga suspek 'Geng Mie Tiger' ini aktif menjalankan kegiatan berkenaan di sekitar Bukit Payong dan Marang.
Katanya suspek-suspek ialah Mohd Zulhelmi Rosli atau dikenali sebagai 'Mie Tiger', 24 dari Kampung Alor Limbat, Bukit Payong dan Mohd Zakaria Abd Ghani atau 'Mamat Itik', 23, dari Kampung Rhu Muda di sini.
"Seorang lagi suspek yang dikehendaki polis ialah Abdul Latip Mat Bidin atau 'Latip', 29 tahun dan berasal dari Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payong," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat membantu pihak polis sehingga tertangkapnya ketiga-tiga suspek dikehendaki itu.
Ahmad Mazlan berkata seorang daripada suspek iaitu Mie Tiger pernah didakwa namun suspek itu gagal hadir ke mahkamah.
"Polis percaya suspek ini bersama dua lagi rakannya dapat dijejaki bagi menyelesaikan kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar daerah ini," katanya.
Ahmad Mazlan, orang ramai yang memiliki sebarang maklumat mengenai ketiga-tiga suspek boleh menghubungi ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di talian 09-6182222 atau Balai Polis Bukit Payong di talian 09-6191222.
"Mereka juga boleh menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) terus kepada Rakan Cop atau datang ke mana-mana balai polis berdekatan," katanya. BERNAMA

halaman