Lebih 200,000 saman dikeluarkan polis trafik Kuala Lumpur terhadap pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dalam tempoh lima bulan sejak Januari lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Low Hong Soon, berkata daripada jumlah itu saman yang paling banyak dikeluarkan adalah kesalahan meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan atau menghalang lalulintas.
“Kita bukannya mahu menghukum warga kota dengan saman sebaliknya mahu mendidik mereka menjadi rakyat yang berdisplin.
“Jika kita tidak lakukan semua ini, rakyat juga yang akan bising kerana penguatkuasaan yang lemah,” katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.
Low berkata tindakan polis mengeluarkan saman adalah untuk menyedarkan warga kota supaya menjadi pemandu beretika selain mahu memastikan aliran trafik berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, Low memberitahu, penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang terbesar kadar kemalangan maut apabila seramai 91 orang terbunuh sejak Januari lalu.
Meskipun terdapat penurunan angka kematian berbanding tahun lepas iaitu 227 orang, namun jumlah tersebut masih lagi tinggi dan harus dikurangkan lagi.
“Sejak awal tahun ini lebih 25,000 laporan kemalangan telah kita terima dengan melibatkan kecederaan parah itu sebanyak 71 kes manakala kecederaan ringan direkodkan 566 kes,” ujarnya