Wednesday, June 27, 2012

bukit tinggi: pengurus ditembak

Terkena tembakan jarak dekatSeorang pengurus pusat refleksologi cedera parah di bahu kanan selepas terkena tembakan yang dilepaskan salah seorang daripada dua lelaki yang menaiki motosikal ketika mangsa sedang memandu kereta berseorangan di persimpangan lampu isyarat Taman Bayu Perdana, di sini lewat petang semalam.

Berikutan itu, mangsa dikenali Teo Kian Soon, 40, beralamat di Bukit Tinggi dikejarkan ke Zon Merah, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata kejadian berlaku ketika mangsa sedang memandu kereta jenis Toyota Camry dari Jalan Bayu Perdana menuju Klang sekitar jam 5 petang.

“Ketika sedang memandu, mangsa telah ditembak dari jarak dekat oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dan telah mengenai bahu kanan.

“Sebaik tembakan dilepaskan kedua-dua suspek melarikan diri. Mangsa yang mengalami kecederaan di bahu kanan menggagahkan diri dengan memandu keretanya ke sebuah pusat perubatan swasta tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Bagaimanapun isterinya yang tiba tidak lama kemudian membawa mangsa ke HTAR,” katanya.

Jelasnya, siasatan mendapati suspek melepaskan tembakan dari jarak dekat berdasarkan kesan pecah pada cermin tingkap sebelah pemandu.

“Berikutan itu, polis kini sedang menjejaki kedua-dua suspek yang menaiki motosikal dan tidak diketahui nombor pendaftarannya.

“Sesiapa yang menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan bagi membantu siasatan,” katanya.

Tuesday, June 26, 2012

Warga Emas dihukum gantung bunuh teman wanita tak mahu dikahwini

Seorang tukang masak dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita yang enggan berkahwin dengannya tahun lepas.

Othman A. Aziz, 61, dijatuhkan hukuman itu selepas Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes itu.

Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata berdasarkan keterangan pakar patologi, terdapat 26 luka tikaman dan empat luka hirisan pada bahagian dada dan belakang mangsa.
    
"Luka tikaman itu menembusi organ dalaman si mati dan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh si mati. Jadi mahkamah tiada pilihan lain selain menjatuhkan hukuman mati terhadap tertuduh mengikut peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Mengikut pertuduhan, Othman didakwa membunuh Ratna Sufizzahriyanti Omar, 23, di dalam sebuah bilik bernombor G 12 di rumah nombor 1926H, Taman Mahkota, Jalan Stadium di Alor Star antara pukul 8.45 malam 2 Mei 2011 hingga 12.45 pagi 3 Mei 2011.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Othman yang merupakan bapa kepada dua orang anak dalam rayuannya memohon maaf kepada isteri dan anak-anaknya serta keluarga mangsa.
    
"Saya mohon mahkamah pertimbangkan rayuan kes saya dan saya insaf dengan apa yang telah terjadi. Saya juga mohon agar mahkamah mempertimbangkan supaya saya boleh menjalani hukuman penjara di Selangor kerana keluarga saya berada di sana," katanya.
    
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala tertuduh diwakili peguam A. J. Surinarayanan.

- Bernama

Wanita dibakar teman lelaki meninggal dunia

Wanita yang parah dibakar teman lelakinya selepas bertengkar di sebuah rumah di flat Taman Segar, Cheras, Jumaat lepas, meninggal dunia hari ini.
    
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata wanita berusia 23 tahun itu meninggal dunia pukul 12.50 tengah hari di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) selepas melecur teruk 90 peratus.
    
"Sehubungan itu, polis menahan reman teman lelakinya berusia 35 tahun itu sehingga Jumaat (29 Jun) untuk disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam sidang akhbar hari ini.
    
Teman lelaki wanita itu, yang ditahan pada hari kejadian, turut melecur di tangan dan dirawat di PPUKM.
    
Kejadian pada jam 3 pagi itu disedari jiran mangsa setelah mendengar jeritannya sebelum mendapati ruang tamu rumah berkenaan musnah terbakar. 

- Bernama

Tuesday, June 19, 2012

SPRM boleh siasat tapi tiada kuasa mendakwa


Laman web SPRM memaparkan pangkalan data pesalah rasuah.



Lebih 900 individu yang didapati bersalah terhadap tuduhan rasuah termasuk personaliti berprofil tinggi disenaraikan dalam laman web yang lengkap dengan gambar, data peribadi dan sejarah kes.
Pangkalan data pesalah dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris yang dipaparkan dalam portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah.
Profil berkenaan yang diwujudkan pada 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun.
Pesalah rasuah terdiri daripada ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri.
Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela.
Carian boleh dilakukan berdasarkan nama atau nombor kad pengenalan pesalah.
Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa berkata: "Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah."
Dalam satu temu bual, beliau berkata SPRM sejak akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa menawarkan rasuah juga satu kesalahan.
"Tidak akan wujud penerima jika tiada pemberi rasuah," katanya.
Pada tahun lalu, peratusan kejayaan SPRM dalam mendapatkan sabitan adalah sebanyak 75% daripada 388 kes, berbanding hanya 72% daripada 309 kes pada 2010.
Kira-kira 463 individu didapati bersalah tahun lalu termasuk mereka yang mengaku bersalah, berbanding 272 pada 2010.
Pada Januari hingga Mei tahun ini, seramai 211 orang didapati bersalah.
Jumlah mereka yang dipenjarakan tidak diketahui tetapi beliau berkata kira-kira RM10.9 juta bayaran denda diterima pada tahun lalu berbanding hanya RM9.5 juta pada 2010.-MS
------------------------------------------------------------------------



Kerajaan tidak berhasrat untuk menyerahkan kuasa mendakwa kes-kes rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tanpa merujuk kepada Jabatan Peguam Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memberitahu Parlimen, Isnin, ini kerana terdapat keperluan untuk memeriksa dan mengimbangi atau "pemikiran bebas" antara penyiasatan dan pendakwaan.
Beliau berkata Ketua Pesuruhjaya dan pegawai-pegawainya diberi kuasa untuk menyiasat di bawah Seksyen 7 Akta SPRM 2009 manakala Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Peguam Negara untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan apa-apa prosiding kecuali mahkamah syariah dan tentera.
Beliau memberi respons kepada soalan oleh Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Monday, June 18, 2012

Eramin 5 bernilai RM5.4juta dirampas


Polis menumpaskan sindiket mengedar dadah eramin 5 yang aktif di sekitar Lembah Klang sejak enam bulan lepas dengan nilai rampasan berjumlah kira-kira RM5.4 juta serta tertangkapnya enam anggota sindiket itu.
Enam suspek, empat lelaki dan dua wanita berumur antara 20 tahun hingga 40 tahun ditahan dalam dua serbuan di kawasan apartmen di sini dan Damansara serta Petaling Jaya 31 Mei lepas.
Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim dalam sidang media di sini hari ini berkata polis turut merampas 44,930 pil eramin 5 bernilai RM898,600 dalam dua serbuan tersebut.
Susulan itu pasukan polis menyerbu pula sebuah rumah kedai di Taman Pinggiran Senawang, Negeri Sembilan yang dipercayai dijadikan setor penyimpanan dadah berkenaan oleh sindiket pada Khamis lepas.
Pada serbuan itu polis merampas 225,500 biji pil eramin 5 bernilai RM4.5 juta.
Noor Rashid berkata polis tidak menemui sebarang makmal untuk memproses dadah tersebut kerana kesemua dadah itu telah dibungkus.
"Kita masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi," katanya sambil menegaskan kerjasama daripada orang ramai amat dialukan untuk membanteras penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh negara.
Beliau berkata kesemua suspek telah ditahan dan didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Ling Liong Sik mohon hakim tarik diri untuk perbicaraannya

DiMahkamah Tinggi hari ini. bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmadi Asnawi menarik diri daripada mendengar perbicaraan terhadapnya berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang  (PKFZ).
Pada mulanya, hari ini telah ditetap untuk mahkamah mendengar keterangan bekas presiden MCA itu.

Pada 9 Mac, dalam penghakiman 83 muka surat, Hakim Ahmadi mengarahkan Ling membela diri selepas beliau mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Berikutan perkembangan baru ini, permohonan Ling itu akan didengar terlebih dahulu dan diputuskan oleh hakim sebelum beliau mula membela diri.

Ahmadi kemudiannya menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan Ling itu.Dr Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas presiden MCA itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
    
Dr Ling, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.- MK

Saturday, June 16, 2012

samseng gempur sekolah

SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.
SIASAT...pegawai dan anggota polis menjalankan siasatan di sekolah berkenaan.



Sekumpulan lebih 40 remaja bersenjatakan kayu, batang besi, cota dan topi keledar bertindak samseng ketika menyerang 30 pelajar sebuah sekolah menengah di sini, yang keluar melalui pintu pagar selepas selesai waktu persekolahan, semalam.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, lebih 10 pelajar cedera manakala seorang guru kanan sekolah itu luka teruk di kepala akibat dibaling dengan topi keledar ketika cuba meleraikan pergaduhan terbabit selain dua motosikal rosak teruk.

Kejadian dipercayai berlaku akibat salah faham antara kumpulan remaja samseng terdiri daripada bekas pelajar sekolah berkenaan yang dibuang sekolah bersama kumpulan rakan dewasa mereka dengan beberapa pelajar sekolah itu.

Saksi kejadian yang juga pekerja sekolah berkenaan berkata, pergaduhan itu berlaku sebaik sesi pagi persekolahan tamat dan pelajar keluar dari perkarangan sekolah sebelum diserang kumpulan remaja samseng yang menunggu mereka di luar pagar.

“Sebaik beberapa pelajar yang dipercayai menjadi sasaran kumpulan terbabit keluar dari pintu pagar, semua remaja yang berkumpul di luar itu menyerang mereka menggunakan senjata.

“Keadaan semakin kecoh dan ganas apabila puluhan pelajar lain yang berada di kawasan sekolah keluar membantu rakan mereka yang diserang,” katanya yang ditemui di tempat kejadian, semalam.


Katanya, kejadian itu dimaklumkan kepada seorang guru kanan sekolah yang kemudian cuba meleraikan pergaduhan dengan menarik pelajar masuk semula ke kawasan sekolah.

“Guru itu cuba meleraikan pergaduhan dan menarik beberapa pelajar yang membelasah seorang daripada kumpulan terbabit.

“Ketika dia (guru) ingin membantu seorang remaja samseng yang terbaring atas jalan akibat dibelasah teruk, tiba-tiba seorang daripada kumpulan yang bergaduh itu membaling topi keledar dengan kuat ke arah guru berkenaan hingga terkena kepalanya,” katanya.

Menurutnya, kumpulan remaja yang melakukan serangan itu bertempiaran lari selepas beberapa anggota polis bermotosikal menuju tempat kejadian dan guru serta beberapa pelajar yang cedera dihantar ke hospital berhampiran.-HM

Friday, June 15, 2012

Rompakan ditol Seremban 2 cedera ditembak

2 jurutol Plus cedera terkena tembakan








































 Dua jurutol Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) nyaris maut selepas terkena beberapa das tembakan dalam kejadian samun berhampiran Plaza Tol Seremban, susur keluar ke arah utara, di seremban, malam semalam.

 
Dalam kejadian kira-kira jam 9.57 malam itu, mangsa, Nurijah Rosli, 24, yang mengandung dua bulan dan rakan sekerjanya, Mohd Haffiz Zamri, 26, parah selepas ditembak dengan senapang jenis pump gun dari arah dekat.
 
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki motosikal dalam perjalanan dari Plaza Tol Seremban susur masuk ke Seremban dari arah utara, menuju ke pejabat syarikat terbabit di Plaza Tol Seremban, susur keluar ke arah utara.
 
“Ketika kejadian, kedua-dua mangsa mahu menghantar wang kutipan pada hari tersebut berjumlah hampir RM2,000 ke pejabat syarikat, kira-kira 200 meter dari plaza tol.
 
“Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, sebuah kereta jenis Proton Wira tiba-tiba memintas motosikal mereka, sebelum salah seorang suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa," katanya.
 
 Menurutnya, insiden itu menyebabkan mangsa terjatuh dan suspek sempat merampas beg kecil berisi wang dipegang salah seorang mangsa.


2 jurutol Plus cedera terkena tembakan 
(gambar:Nurijah menahan kesakitan akibat ditembak di belakang badannya masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar.) 


"Penjenayah dilihat melarikan diri ke arah Sendayan," katanya.
 
Saiful Azly berkata, ketika kejadian seorang pengawal keselamatan turut ditugaskan mengiringi kedua-dua jurutol berkenaan dari arah belakang.
 
“Tetapi ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit difahamkan berada pada jarak agak jauh daripada mangsa, malah dia juga tidak membawa sebarang senjata.

 
“Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Senjata Api 1960 (Penalti lebih berat),” katanya.
 
Menurutnya, tembakan dari jarak dekat itu menyebabkan Nurijah cedera di bahagian belakang dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar, manakala Mohd Haffiz parah di kaki dan menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
 
Sementara itu suami Nurijah, Faizul Abd Latif, 31, berkata, dia bagaikan hilang nyawa sebaik sahaja menerima panggilan telefon memaklumkan isterinya ditembak.
 
“Ketika sedang menidurkan anak di rumah, tiba-tiba saya terima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali.
 
“Saya angkat sahaja walaupun tidak tahu siapa, tapi saya terkejut kerana saya dengar suara isteri saya menjerit kesakitan dan pemanggil terbabit memaklumkan isteri cedera ditembak,” katanya.
 
Menurutnya, sebelum kejadian isterinya tidak menunjukkan sebarang perubahan, namun anaknya berusia lapan bulan sedikit meragam.
 
Manakala bapa Mohd Haffiz yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri berkata, anaknya itu sudah tiga tahun bekerja sebagai jurutol dan baru sahaja bertunang.
 
"Bagaimanapun saya bersyukur kerana dia selamat dalam kejadian ini walaupun cedera ditembak," katanya.-SH

Pelakon Razak Ahmad bersalah khalwat

Pelakon Razak AhmadPelakon Razak Ahmad akhirnya didenda RM2,900 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini, selepas didapati bersalah berkhalwat dengan seorang pengusaha butik.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah bagi tuduhan khalwat yang dihadapi pelakon itu sejak April 2006.

Semasa membacakan penghakimannya, Wan Mahyuddin berkata, beberapa isu utama diambil kira mahkamah termasuk waktu dan masa tangkapan kes tersebut iaitu pada 2.15 pagi. Mahyuddin berkata, ketika ditangkap, pihak  pendakwaan membuktikan melalui saksi-saksi yang dipanggil, pelakon utama siri Geng Surau itu berada dalam keadaan yang meragukan dan boleh mendatangkan fitnah kerana berada dalam sebuah bilik gelap dengan berpakaian  tidak lengkap.

“Alasan tertuduh yang datang ke apartmen Selamah pada waktu tersebut untuk mengambil baju ditaja wanita itu untuk latihan satu program disertainya tidak disokong dengan kehadiran saksi-saksi lain,” katanya.-SH

Pelakon Razak Ahmad bersalah khalwat didenda RM2000


Thursday, June 14, 2012

Mayat Lelaki Terapung Di Lombong


Mayat seorang lelaki ditemui terapung oleh orang awam di sebuah lombong berdekatan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Selayang di sini pagi Rabu.
Jurucakap polis ketika ditemui di tempat kejadian berkata: "Mayat yang dikenali sebagai Amir Muslim, 44, ditemui lengkap berpakaian dengan identiti masih berada pada mayat dan terdapat kesan luka pada bahagian dahi mangsa.
"Berdasarkan keadaan mayat yang sudah kembung, lelaki itu telah mati lebihkurang dua hari lepas," katanya.
Alamat terakhir lelaki itu ialah di Kampung Nakhoda, Batu Caves.
Menurutnya, berdasarkan maklumat seorang rakan si mati, lelaki itu kerap ke lokasi berkenaan untuk memancing ikan.
Menurut jurucakap polis itu lagi, motif dan punca kematian masih dalam siasatan.
Polis mengklasifikasi kejadian terbabit sebagai mati mengejut.
Katanya, mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat. - BERNAMA

Pekerja Kilang Mati Dibunuh Selepas Disamun Lelaki Vietnam



Seorang pekerja kilang mati dibunuh selepas disamun enam lelaki rakyat Vietnam di rumahnya di Jalan Padi Mahsuri 2, Taman Senai Baru, Senai, dekat sini Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata mangsa, Low Kwang Kean, 41, dan isterinya seorang rakyat Vietnam yang berumur 30 tahun berada di dalam bilik sebelum pintu bilik itu diketuk oleh beberapa lelaki pada pukul 11.30 malam tadi.
"Low membuka pintu bilik itu dan mendapati beberapa lelaki termasuk dua rakan serumahnya. Seorang daripada kumpulan lelaki itu terus menolak Low sehingga jatuh sebelum mengikatnya dan isterinya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zulkefly berkata seorang daripada lelaki itu kemudian meminta duit daripada Low sehingga berlaku pertengkaran antara mereka.
"Hanya seorang daripada lelaki itu berada di dalam bilik bersama Low manakala lima lelaki yang lain membawa isteri mangsa keluar dari bilik itu," katanya.
Beliau berkata mayat Low yang berlumuran darah ditemui isterinya yang berjaya membuka ikatan selepas kesemua suspek melarikan diri.
"Low mengalami kecederaan parah di leher," katanya.
Zulkefly berkata siasatan mendapati keenam-enam lelaki Vietnam itu melarikan wang tunai RM10,000, seutas rantai dan sepasang subang emas serta enam telefon bimbit milik pasangan suami isteri itu.
Beliau berkata sehubungan itu, polis kini memburu tiga lelaki Vietnam yang dikenali sebagai Nguyen Trong Phuong, Tuan Anh dan Ho Chong Trong dan meminta orang ramai yang mengenali mereka atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Pengawal keselamatan mati dikajang kena pukul


Seorang pengawal keselamatan mati akibat dipukul di kepala di Taman Sri Langat, Jalan Reko di sini, Rabu.
Mayat T.Saikeran, 50, ditemui dengan tiga kesan koyakan di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab berkata kejadian pada pukul 2.45 petang itu dipercayai berpunca daripada pergaduhan.
"Mangsa dipercayai dipukul dengan sebatang besi. Kami menemui sebatang besi dengan kesan darah berhampiran kawasan mayat lelaki itu ditemui," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Sehubungan itu polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun di sekitar Kajang beberapa jam selepas kejadian bagi membantu siasatan kes itu.
Mayat Saikeran dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Monday, June 11, 2012

Kedegilan Rahim Noor bawa padah

 Bekas Ketua Polis Negara, Rahim Noor berdepan dengan tuntutan saman sebanyak RM10 juta. Saman tersebut difailkan melalui Tetuan Hisham Fauzi & Associates pada 31 Mei lalu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.  Dan sebutannya akan diadakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Bharu 15 Julai depan.

Ekoran itu Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim bagi menarik balik kenyataannya dan memohon maaf secara terbuka.

Bagaimanapun bekas ketua polis yang kontroversi itu gagal menarik balik kenyataan tersebut. Keengganan Rahim menyebabkan pelbagai pihak tampil membuat laporan polis dan demontrasi membantah kenyataannya.


Rahim dalam kenyataannya melalui akhbar New Straits Times pada 8 Mei lalu menyebut “Nik Aziz is father of kafir”.Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat akan diwakili pasukan peguam diketuai Hanipa Maidin dengan dibantu Hisham Fauzi, Aminudin Zulkepli, Hatman Abdullah, Abdul Rasyid Yah dan Hilmi Abdullah.Dalam afidavitnya Menteri Besar Nik Aziz  berkata, tulisan tersebut bermaksud menuduh dan memfitnahnya sebagai “bapa kafir” menggunakan agama untuk mengelirukan umat Islam.-HD

Saturday, June 9, 2012

Taman Negara Endau-Rompin ditutup sementara - gajah naik minyak

Taman Negara Endau-Rompin kini ditutup sementara kepada pelawat berikutan kejadian apabila seorang gadis Orang Asli cedera dilibas gajah, petang semalam.

Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) Suhairi Hashim berkata, pihaknya menasihati pelawat supaya tidak memasuki kawasan berkenaan atas faktor keselamatan dan laporan polis berhubung kejadian itu dibuat di Balai Polis Kahang dekat Kluang, hari ini.

"Kejadian yang membabitkan kecederaan di kawasan Pantai Burung itu merupakan kejadian pertama.

"Bagaimanapun, kami ada menerima maklumat mengenai sekumpulan kira-kira 30 ekor gajah yang dikatakan naik minyak di kawasan itu sehingga bertindak mengejar pekerja di kompleks Taman Negara beberapa hari lepas," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suhairi berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mengenal pasti punca kejadian yang menyebabkan gajah berkenaan bertindak agresif.

Beliau berkata, sebagai langkah keselamatan, PTNJ membawa keluar 30 pelawat dan penyelidik yang berada di kawasan berkenaan sehingga keadaan kembali pulih.

Katanya, pemantauan terhadap 30 rumah penduduk masyarakat Orang Asli Kampung

Peta turut dilakukan bagi mengelak mereka diancam.

"Gajah-gajah ini merupakan aset Taman Negara Endau-Rompin. Oleh itu, kesemua haiwan itu tidak akan dipindahkan ke kawasan lain. Kita akan kenal pasti punca haiwan ini bertindak agresif dalam masa terdekat," katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, Zubedah Ayong, 19, mengalami patah bahu kiri dan pinggul kanan selepas dilibas belalai haiwan itu ketika sedang mencari pucuk paku di kawasan berkenaan bersama dua kakaknya.

Zubedah yang tinggal di Kampung Peta kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, di sini. - Bernama

Friday, June 8, 2012

5 anggota polis ditahan untuk siasatan: Kematian polis trafik bukan sebab kena pukul mat

 Lima anggota polis ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang anggota polis trafik berpangkat koperal maut selepas dipercayai dirempuh sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di Jalan Bunga Raya, Taman Gembira di sini, Ahad lepas. 
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata mereka yang ditahan itu terdiri tiga anggota berpangkat koperal, seorang sarjan dan seorang sarjan mejar ditahan awal pagi tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Beliau berkata kelima-lima mereka berumur antara 45 hingga 51 tahun itu berada dalam operasi mencegah lumba haram yang disertai Koperal Mustaghni Tabri, 48, yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah di sini hari ini akibat kecederaan parah dalam kejadian tersebut.
“Siasatan mendapati Koperal Mustaghni dicederakan bukan akibat langsung terkena pukulan helmet tetapi terkena lontaran satu objek yang dipercayai dilakukan seorang koperal lain dalam pasukan polis yang menjalankan operasi pada malam tersebut.
“Kita telah menjumpai beberapa objek dan sedang menunggu keputusan laporan  forensik untuk menentukan mana satu objek yang menjadi suspek,” kata Tun Hisan dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di sini, hari ini.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai objek-objek yang dijumpai itu.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu,  Mustaghni yang sedang menjalankan operasi mencegah lumba haram dipercayai dirempuh serta dilibas dengan topi keledar oleh pembonceng sebuah motosikal menyebabkan beliau cedera di belakang kepala akibat hentakan kuat.
Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata polis turut menahan enam mat rempit Rabu lepas (6 Jun) berumur dalam lingkungan 16 hingga 22 tahun berhubung kejadian itu, lima daripada mereka terdiri pelajar sekolah sekitar Klang dan seorang penganggur.
“Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat yang boleh dipercayai dan suspek munasabah yang kita lihat,” katanya dan menambah bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tun Hisan berkata kertas siasatan berhubung kejadian ini akan dapat diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Isnin depan untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata tahun ini sahaja terdapat dua kejadian anggota polis dicederakan oleh mat rempit termasuk kes Mustaghni. — Bernama

Polis meninggal dunia dipukul mat rempit


Anggota Trafik, Koperal Mustaghni Tabri, 48, yang dilaporkan cedera parah akibat dirempuh dan dilibas dengan topi keledar oleh mat rempit ketika operasi membanteras lumba haram meninggal dunia jam 11.50 pagi tadi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Allahyarham meninggalkan seorang balu,  Norizan Shahidin, 53, dan dua anak.
Mustaghni cedera parah di kepala selepas dirempuh sebuah motosikal dinaiki dua lelaki di Jalan Bunga Raya, Taman Gembira di sini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, yang mengesahkan perkara itu pada satu sidang akhbar berkata, Mustaghni meninggal dunia pukul 11.45 pagi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi Ahad lepas, Mustaghni yang sedang bertugas dalam operasi mencegah lumba haram, dirempuh serta dilibas dengan topi keledar oleh pembonceng motosikal terbabit menyebabkan beliau cedera di bahagian belakang kepala akibat hentakan kuat.SH

4 suspek kes culik guru wanita diburu polis

Polis sedang memburu empat lelaki yang dipercayai terlibat dalam satu kes penculikan seorang guru wanita pada pagi Rabu.
    
Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abdul Razak Elias berkata Teoh Soo Kim, 51, diculik ketika dalam perjalanan untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di Puncak Bukit Jalil.
    
"Mangsa keluar dari rumahnya di Taman Kinrara, Puchong kira-kira pukul 7.30 pagi untuk mengambil anak rakannya di sebuah sekolah di lokasi terbabit sebelum gagal dihubungi suaminya beberapa jam kemudian. 

"Mangsa kemudian ditemui oleh polis di sebuah ladang kelapa sawit di Kuala Selangor pukul 11.30 pagi semalam," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Beliau berkata mangsa ditemui dengan kecederaan pada bahagian kepala dipercayai dipukul dengan objek keras.
    
Mangsa kini berada dalam keadaan koma di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilapor kritikal.
    
Katanya siasatan mendapati empat suspek terbabit telah mengeluarkan wang daripada akaun mangsa berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di sebuah bank di Taman Kinrara pada hari yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

- Bernama

Wednesday, June 6, 2012

Pembantu Exco P.Pinang positif dadah

Seorang pembantu khas kepada Exco Kepada Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir Kerajaan Negeri P.Pinang Aidi Rafizul Idrus, 36, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, semalam atas tuduhan mengambil dadah.
Pada tarikh 29 November 2011 , dia bersama tiga yang lain ditahan polis dalam satu serbuan di rumah berkenaan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) kira-kira jam 11.05 pagi untuk menjalani ujian saringan air kencing.
Hasil ujian yang dilakukan Bahagian Narkotik kemudiannya mendapati dia positif dadah dan didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Aidi Rafizul Idrus mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan mohon dibicarakan.

Tuesday, June 5, 2012

anggota polis trafik nazakb

Anggota trafik dipukul dua mat rempit bergantung harap pada mesin untuk hidupKoperal Mustaghni Tabri, 48, anggota polis trafik  terlantar di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.


Mustaghni parah dirempuh dan dihentak dengan topi keledar oleh dua mat rempit di Jalan Bunga Raya, Taman Gembira, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, Mustaghni sedang bertugas dalam operasi cegah lumba haram.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi berkata, gerakan memburu dua lelaki tersebut sedang dijalankan.


(gambar:Mustaghni tidak sedarkan diri dan mengharapkan bantuan mesin untuk bernafas
akibat dipukul dua mat rempit ketika melakukan operasi cegah lumba haram,
kelmarin.)

Monday, June 4, 2012

Keputusan Kes Batu Burok: Azman dan Suwandi tak bersalah

Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini membebas dan melepaskan mangsa tragedi tembakan polis di Batu Burok yang berlaku pada 8 September 2007, lima tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Muhammad Azman Aziz, 26, dan Suwandi Ab. Ghani, 43, dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah setelah pihak peguam belanya berjaya mewujudkan keraguan dalam perbicaraan tersebut.

Selain Azman dan Suwandi, dua lagi tertuduh di bawah Sesyen 27(5)(a) Akta Polis iaitu Hisham Aziz@Abdul, 43, dan A.Rahman Abdullah, 67, turut dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Mereka diwakili Tetuan Aziz & Co.

Hakim Mahkamah Sesyen, Tuan Mohammad Khalid Haji Ab. Karim membaca keputusan perbicaraan tersebut pada jam 10.15 pagi serta disambut dengan laungan takbir para hadirin.
 
"Hari ini mahkamah memutuskan kamu, Muhammad Azman Aziz dan Suwandi Ab.Ghani yang didakwa di bawah Seksyen 149 Kanun Keseksaan dibebas dan dilepaskan setelah pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan.

"Mahkamah juga membebaskan Hisham Aziz@Abdul dan A.Rahman Abdullah yang dituduh di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis," ujarnya ketika mengumumkan keputusan tersebut.

Sebelum ini, Suwandi dan Azman dituduh bersama 18 orang yang lain pada 8 September 2007, jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Polis yang bertugas ketika menyurai perhimpunan tersebut iaitu Wan Aziz Wan Omar (RF143706) telah melepaskan tembakan peluru hidup hingga hampir meragut nyawa Suwandi dan Azman.

Mereka berdua dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan pembedahan bagi mengeluarkan peluru hidup dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu.

Dua pelajar maut di air terjun sekayu Terrengganu

Dua pelajar dari Sekolah Menengah Teknik Kuala Terengganu mati lemas di Air Terjun Sekayu di Hulu Terengganu hari ini.

Mereka ialah Mohd Azrul Azmir Maidin dan Mohd Hanif Izuddin kedua-duanya bermur 17 tahun dan berasal dari Seberang Takir dan Gong Badak, Kuala Terengganu.

Mangsa pergi ke air terjun itu bersama enam lagi pelajar sebelum kejadian berlaku kira-kira 11 pagi.

Seorang rakan mangsa, Mohd Arif Harun berkata pada mulanya Mohd Azrul Azmir yang turun mandi dan tiba-tiba dihanyutkan arus.

Mohd Hanif cuba membantunya tetapi dia juga lemas di dalam air sedalam tujuh meter itu.

Mohd Arif berkata kejadian itu kemudiannya dimaklumkan kepada pihak bomba dan penyelamat yang menemui mayat kedua-duanya kira-kira 12.50 tengah hari tadi di celah batu di dasar air terjun itu.

Ketua Operasi Bomba Hulu Terengganu, Khairul Anwar Bidin berkata kawasan tersebut tidak dibenarkan untuk mandi-manda.

Bernama

halaman