Pergaduhan yang dipercayai melibatkan warga asing itu dikatakan berpunca daripada salah faham.
Ketiga-tiga mangsa berkenaan pada awalnya sedang minum di sebuah premis karaoke apabila seorang daripada mereka tiba-tiba muntah dan terkena pada kaki salah seorang daripada penyerang yang duduk di meja hadapan.
Perkara itu mencetuskan pergaduhan diantara seorang warga tempatan, Cyril Linus, 20, dan seorang lelaki dari kumpulan lain pada kira-kira jam 5 petang semalam di luar premis berkenaan.
Cyril kemudian memaklumkan kawan-kawannya, Analem Tony Malip, 31, dan Manayoh Raw Palamok, 39, supaya beredar selepas penyerang menuju ke sebuah pasar.
Namun, nasib mereka semakin malang apabila sekumpulan tujuh hingga lapan orang yang bersenjatakan parang dan pisau sedang menunggu mereka.
Ketua Polis Daerah, Timbalan Penguasa Robert Salisip @ Daud, ketika mengesahkan kejadian itu berkata Cyril mengalami luka pada siku kiri dan menerima lima jahitan, manakala Manayoh menerima luka di sebelah kiri kepalanya di bahagian atas telinga.
“Manayoh menerima 11 jahitan dan kini dimasukkan ke hospital daerah untuk pemantauan. Keadaannya dilaporkan stabil. Manakala seorang lagi mangsa, Analem mengalami kecederaan di muka,” kata Robert.
Beliau berkata seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai salah seorang suspek yang terlibat dalam serangan ditahan di Batu 6, Jalan Keningau – Nabawan.
Video pergaduhan itu tersebar dan mencetuskan kemarahan di kalangan penduduk tempatan.-trp