Tuesday, June 14, 2011

Khir Toyo arah Shamsudin beli lot tanah

 Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, bahawa beliau tidak mempunyai pilihan selain mematuhi arahan bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo agar membeli dua lot tanah dan rumah di Seksyen 7, di sini pada tahun 2004.
Menurut beliau yang juga bekas rakan subahat Mohamad Khir yang dibebaskan dari pertuduhan tersebut, suruhan itu diutarakan oleh bekas menteri besar terbabit dalam satu perbincangan yang turut disertai oleh seorang ahli perniagaan, Datuk Sumadi Ismail.
"Saya setuju untuk beli kerana saya seorang ahli perniagaan dan mempunyai projek di Selangor manakala beliau pula seorang MB. Seorang MB minta saya beli rumah, pada saya, saya tiada pilihan. Patut diteruskan," katanya yang menyambung keterangannya yang terhenti pada Rabu lalu.
Saksi pendakwaan kedua itu seterusnya memberitahu, Mohamad Khir pada awalnya meminta agar Sumadi membeli rumah tersebut, tetapi permintaan itu ditolak oleh Sumadi atas alasan beliau mempunyai komitmen lain.
"Mohamad Khir suruh saya pula yang beli. Waktu itu pemahaman saya adalah beliau berminat dengan rumah itu dan mungkin satu hari, beliau mahu membeli rumah tersebut daripada saya," tambahnya.
Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed, Shamsuddin, 55, memberitahu pemilik asal hartanah tersebut, Saiful Aznir Shahabudin, 51, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Kebangsaan Berhad, menawarkan harga RM7 juta sebelum dipersetujui kedua-dua pihak kepada RM6.5 juta.
Tambahnya, pembayaran pendahuluan hartanah itu sebanyak 10 peratus, iaitu RM650,000 dibuat secara tunai, sementara bakinya dibuat secara tunai dan cek, termasuk wang yang dipinjamnya sebanyak RM3,010,000.
Shamsuddin dan Saiful Aznir menandatangani perjanjian jual beli pada 23 Disember 2004.
Pada keterangan lain, Shamsuddin memberitahu, Mohamad Khir telah melantik pereka laman bebas, Nasir Ismail, 55, untuk melakukan pengubahsuaian kepada rumah itu dan saksi ada membuat pembayaran berjumlah RM1.5 juta secara tunai kepada Nasir.
"Setiap kali saya buat pembayaran, saya akan maklumkan kepada Mohamad Khir. Beliau tidak akan cakap apa-apa. Sepatutnya beliau yang bayar," katanya dan menambah, tidak pernah menerima semula wang yang dibayarnya.
Shamsuddin juga memberitahu, hartanah tersebut yang dibelinya di atas nama Ditamas Sdn Bhd telah dijual dan dipindah milik kepada Mohamad Khir dan isteri, Zahrah Kechik pada tahun 2007.
"Perbincangan berlaku antara saya dan Mohamad Khir. Dia mahu penjualan pada harga RM3.5 juta. Saya sebenarnya tidak bersetuju kepada harga itu terlalu rendah dan saya nyatakan sekurang-kurangnya RM5 jutahingga RM5.5 juta.
"Waktu saya beli harga RM5 juta, tambah ubahsuai RM1.5 juta, jadi harganya sudah naik menjadi RM6.5 juta. Saya nak bagi diskaun sedikit, sebab itu saya letak RM5.5," katanya.
Beliau seterusnya menambah, Mohamad Khir memaklumkan bahawa beliau hanya boleh membeli rumah tersebut pada harga RM3.5 juta, yang kemudiannya dipersetujui oleh saksi.
Semasa diminta menjelaskan mengapa beliau bersetuju untuk menjual pada harga yang rendah, Shamsuddin berkata:
"Setelah berbincang dengan orang rumah saya (isteri), saya ada projek di Selangor dan seorang MB mahu rumah saya dengan harga RM3.5 juta. Saya setuju kerana khuatir dengan kedudukan saya sebagai seorang ahli perniagaan di Selangor dan projek saya tergugat."
Katanya lagi, perjanjian jual beli antara beliau dan Mohamad Khir serta Zahrah Kechik ditandatangani pada 29 Mei 2007.
Saksi seterusnya menerima deposit RM500,000 menerusi cek bertarikh 28 Mei 2007 yang ditandatangani oleh Mohamad Khir manakala bakinya RM3 juta dibayar menerusi cek kepada Ditamas bertarikh 16 Ogos 2007.
Perbicaraan hari ketiga pada Isnin ditangguhkan kepada Selasa, ekoran permohonan peguam M. Athimulan yang mengetuai barisan pembelaan Mohamad Khir mengemukakan hasrat mereka untuk mencabar kredibiliti Shamsuddin.
Athimulan memberitahu, pihaknya mahu membuat permohonan agar mahkamah memerintakan pihak pendakwaan untuk mengemukakan rakaman percakapan saksi kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada pembelaan yang akan digunakan untuk tujuan tersebut.
Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki membenarkan perbicaraan ditangguhkan atas alasan 'demi keadilan' dan permohonan tersebut dijadualkan didengar pada Selasa.
Mohamad Khir, 45, dibicarakan atas tuduhan mendapatkan bagi dirinya dan Zahrah, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah daripada Syarikat Ditamas Sdn Bhd, melalui pengarahnya Shamsuddin, pada harga yang murah.

No comments:

Post a Comment

halaman