Saturday, August 6, 2011

Bunuh Tim. Pengarah Veterinar: Empat Suspek Ditahan Bersama Barangan Milik Mangsa

Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah Veterinar Perak, Dr Rohani Kassim, 38, yang dijumpai mati di rumahnya di Ulu Kinta di sini Khamis ekoran penangkapan empat lelaki.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Zakaria Yusof berkata dua suspek ditangkap kira-kira sejam selepas penemuan mayat Dr Rohani pada kira-kira 3.30 pagi Khamis tidak jauh dari rumahnya manakala suspek ketiga ditahan pada 4.30 petang di Tanjung Malim dan suspek keempat ditahan pada 10.30 malam tadi di Slim River.
"Mereka yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 26 tahun dan polis turut menemui barang-barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Jumaat.
Zakaria berkata dua daripada suspek adalah penganggur, seorang lagi pekerja Pos Malaysia manakala seorang lagi adalah askar yang melarikan diri daripada tugas.
"Seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah bersabit kes rogol di Slim River tahun lalu," katanya.
Beliau berkata dua daripada mereka direman empat hari manakala dua lagi direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat Dr Rohani ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di Pangsapuri Permai Lake View yang terserempak dengan seorang lelaki yang sedang membawa bungkusan menuruni tangga pangsapuri itu pada kira-kira jam 3.30 pagi.
Selepas disiasat, pengawal itu mendapati bungkusan yang ditinggalkan itu adalah cadar tebal yang membalut mayat mangsa yang terikat kedua-dua tangan dan kakinya.
Pengawal keselamatan berkenaan terus menghubungi polis.
Semalam, ibu mangsa Sharifah Razali, 72, berkata anaknya baru sebulan bertugas di Ipoh dan kali terakhir beliau menemui anaknya ialah pada hari pertama berpuasa Isnin lepas di kampung mereka di Bagan Serai.
Zakaria sementara itu berkata pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mengetahui punca kematian. -BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman