Tuesday, August 16, 2011

Penculik cinta dibesut terrengganu


"Salam Sayang..." demikianlah bunyi teks sistem khidmat pesanan ringkas (SMS)yang dikirimkan oleh penculik kepada remaja perempuan berumur 15 tahun yang berjaya diselamatkan lima jam selepas dia diculik oleh si penghantar sms itu.
Walaupun remaja tersebut berjaya diselamatkan tetapi hakikat bahawa dia masih menerima teks sms daripada penculiknya itu telah menjadikan seluruh keluarganya di dalam ketakutan.
Kata remaja itu lagi, dia menerima teks sms itu pada jam 5 petang Sabtu.
"Saya tidak membalasnya...," kata remaja tersebut yang turut mengesahkan bahawa dia mengenali suspek menerusi seorang kawan tetapi tidak pernah bertemu sehinggalah hari di mana dia diculik oleh suspek.
Bapa kepada mangsa berkata, hakikat bahawa anak perempuannya masih menerima teks sms daripada suspek menunjukkan suspek seorang yang berani dan berharap pihak berkuasa akan dapat menahannya dengan segera.
Dalam kejadian pada jam 9.15 malam Jumaat lalu, remaja perempuan tersebut sedang membeli sesuatu di sebuah kedai runcit di Kuala Besut apabila dia dipaksa menaiki kereta oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali.
Bapa kepada remaja tersebut yang sedang menunggu anaknya di atas motosikal cuba menyelamatkan anak perempuannya itu setelah mendengar jeritannya.
Bagaimanapun mereka berjaya membawa lari anak perempuannya itu.
Dia yang gagal mengejar kereta berkenaan telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Besut.
Polis kemudiannya telah menggerakkan sebuah unit khas untuk menjejaki penculik berkenaan dan berjaya mengesan mereka di sebuah rumah di Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan tidak lama kemudian.
Mangsa telah berjaya diselamatkan dalam satu operasi pada lebih kurang jam 2.30 pagi Sabtu.
Dua daripada tiga penculik itu - seorang berumur 17 tahun dan seorang lagi 25 tahun berjaya diberkas dalam operasi tersebut. Bagaimanapun suspek ketiga tidak berjaya ditahan.
Ketua Polis Besut, Superintenden Kamaruddin Zakaria berkata, polis percaya suspek ketiga yang berusia 22 tahun itu adalah perancang kepada penculikan itu.
"Kami telah menyerbu rumahnya di Kuala Besut tetapi dia tidak ada di situ namun kami yakin akan dapat menahannya tidak lama lagi," ujar beliau.
Sup Kamaruddin menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau mengenali suspek supaya segera menghubungi polis di talian 09-6354744 atau 09-6354745.

No comments:

Post a Comment

halaman