Thursday, February 9, 2012

Anggota Tentera Antara Lima Ditahan Disyaki Curi Kabel TNB Di Tapah

Rabu Februari 8, 2012Seorang anggota tentera adalah antara lima lelaki yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di kawasan Tapah dan Teluk Intan sejak setahun lepas.
Kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun itu ditahan dalam operasi kabel di kawasan ladang kelapa sawit Changkat Rembian, Jalan Bidor di sini, Selasa.
Anggota tentera terbabit adalah ketua kumpulan itu dan hasil siasatan mendapati lelaki terbabit telah lari daripada menjalankan tugasnya sejak empat tahun lepas, kata Pemangku Ketua Polis Daerah Tapah DSP Abdullah Arshad.
"Polis menemui sebuah van dan kereta jenis Proton Satria, dua walkie talkie, dua telefon bimbit, sepasang t-shirt warna biru, 10 gulung kabel TNB, satu alat pemotong dan satu gergaji besi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, Rabu.
Beliau berkata seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah curi motosikal.
Abdullah berkata kumpulan itu disyaki terlibat dalam enam kes mencuri kabel di kawasan Tapah dan empat kes di Teluk Intan.
"Mereka memilih kawasan pedalaman yang jauh daripada kampung dan orang ramai bagi mengelak dikesan," katanya.
Abdullah berkata kesemua mereka ditahan reman sehingga 11 Feb dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 19 tahun ditahan ketika sedang memotong besi pagar Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di KM 241.5 Landasan keretapi kawasan Bidor menghala ke Kuala Lumpur pada pukul 6.30 pagi Isnin lepas.
Abdullah berkata polis merampas lapan batang tiang besi pagar milik KTMB dan satu gergaji.
Seorang lagi rakannya dapat melarikan diri, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian jenayah agar menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah 05-4015222 atau SMS rakan Cops 32728 atau balai polis berhampiran. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman