Friday, May 25, 2012

Geng Wan Tongek curi motosikal ditumpaskan Polis

 Polis menumpaskan geng curi motosikal dikenali sebagai 'Geng Wan Tongek, yang bergiat aktif di sekitar Ampang, dengan tertangkapnya tiga lelaki Rabu lepas.
   
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Amiruddin Jamaluddin berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 dan 25 tahun itu ditahan di Kampung Indah di sini.
   
Beliau berkata dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Indah 2, Kampung Indah, yang dipercayai dijadikan bengkel haram itu, polis turut merampas lapan motosikal, 11 rangka motosikal serta pelbagai komponen motosikal yang dipercayai barang curi.
   
Tangkapan dibuat oleh pasukan Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Ampang susulan aduan orang awam. Kesemua suspek didapati baru dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat, dua bulan sebelum ini, katanya pada sidang media di sini hari ini. 
   
Amiruddin berkata ekoran rampasan itu, polis berjaya menyelesaikan 10 kes curi motosikal di kawasan Ampang Jaya sejak enam bulan lalu.
  
"Kesemua mereka adalah penganggur. Hasil penahanan mereka, polis menemui semula pelbagai motor dan barangan aksesori motosikal yang dipercayai dicuri bernilai keseluruhan RM60,000," katanya.
   
Beliau berkata mereka ditahan reman sehingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan.
   
Sementara itu, Polis Ampang Jaya menumpaskan satu lagi kumpulan, yang terdiri daripada tiga lelaki tempatan, kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah.
   
Amiruddin berkata polis turut menemui pelbagai barang curi termasuk komputer riba, telefon bimbit, kamera, jam tangan, beberapa kad kredit dan kunci kereta di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras pada kira-kira 1 pagi semalam.
   
Hasil siasatan lanjut, polis menemui dua buah kereta jenis Naza Ria dengan nombor pendaftaran palsu yang dilaporkan hilang sebelum ini di Ampang.
   
Menurutnya, kesemua suspek mempunyai kes jenayah lampau, termasuk kes dadah dan pecah rumah.
   
"Mereka ini juga didapati positif dadah (daripada hasil ujian air kencing)," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

halaman