Monday, June 18, 2012

Ling Liong Sik mohon hakim tarik diri untuk perbicaraannya

DiMahkamah Tinggi hari ini. bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik memfailkan permohonan supaya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ahmadi Asnawi menarik diri daripada mendengar perbicaraan terhadapnya berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang  (PKFZ).
Pada mulanya, hari ini telah ditetap untuk mahkamah mendengar keterangan bekas presiden MCA itu.

Pada 9 Mac, dalam penghakiman 83 muka surat, Hakim Ahmadi mengarahkan Ling membela diri selepas beliau mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Berikutan perkembangan baru ini, permohonan Ling itu akan didengar terlebih dahulu dan diputuskan oleh hakim sebelum beliau mula membela diri.

Ahmadi kemudiannya menetapkan 21 Jun untuk mendengar permohonan Ling itu.Dr Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas presiden MCA itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
    
Dr Ling, yang diwakili peguam Wong Khian Keong, didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 September dan 6 November 2002.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya, manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.- MK

No comments:

Post a Comment

halaman