Thursday, June 14, 2012

Pekerja Kilang Mati Dibunuh Selepas Disamun Lelaki Vietnam



Seorang pekerja kilang mati dibunuh selepas disamun enam lelaki rakyat Vietnam di rumahnya di Jalan Padi Mahsuri 2, Taman Senai Baru, Senai, dekat sini Selasa malam.
Ketua Polis Daerah Kulaijaya Supt Zulkefly Yahya berkata mangsa, Low Kwang Kean, 41, dan isterinya seorang rakyat Vietnam yang berumur 30 tahun berada di dalam bilik sebelum pintu bilik itu diketuk oleh beberapa lelaki pada pukul 11.30 malam tadi.
"Low membuka pintu bilik itu dan mendapati beberapa lelaki termasuk dua rakan serumahnya. Seorang daripada kumpulan lelaki itu terus menolak Low sehingga jatuh sebelum mengikatnya dan isterinya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Zulkefly berkata seorang daripada lelaki itu kemudian meminta duit daripada Low sehingga berlaku pertengkaran antara mereka.
"Hanya seorang daripada lelaki itu berada di dalam bilik bersama Low manakala lima lelaki yang lain membawa isteri mangsa keluar dari bilik itu," katanya.
Beliau berkata mayat Low yang berlumuran darah ditemui isterinya yang berjaya membuka ikatan selepas kesemua suspek melarikan diri.
"Low mengalami kecederaan parah di leher," katanya.
Zulkefly berkata siasatan mendapati keenam-enam lelaki Vietnam itu melarikan wang tunai RM10,000, seutas rantai dan sepasang subang emas serta enam telefon bimbit milik pasangan suami isteri itu.
Beliau berkata sehubungan itu, polis kini memburu tiga lelaki Vietnam yang dikenali sebagai Nguyen Trong Phuong, Tuan Anh dan Ho Chong Trong dan meminta orang ramai yang mengenali mereka atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman