Friday, June 6, 2014

Polis trafik KL keluar lebih 200,000 saman

polis_M
Datuk Law (tengah) menjadi saksi pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur antara Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor (kiri) dengan Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain (kanan) di Balai Polis Tun H.S Lee. - Foto TRP/Mohd Zaini Samsu Hadi
Lebih 200,000 saman dikeluarkan polis trafik Kuala Lumpur terhadap pesalah trafik atas pelbagai kesalahan dalam tempoh lima bulan sejak Januari lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Low Hong Soon, berkata daripada jumlah itu saman yang paling banyak dikeluarkan adalah kesalahan meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dibenarkan atau menghalang lalulintas.
“Kita bukannya mahu menghukum warga kota dengan saman sebaliknya mahu mendidik mereka menjadi rakyat yang berdisplin.
“Jika kita tidak lakukan semua ini, rakyat juga yang akan bising kerana penguatkuasaan yang lemah,” katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.
Low berkata tindakan polis mengeluarkan saman adalah untuk menyedarkan warga kota supaya menjadi pemandu beretika selain mahu memastikan aliran trafik berjalan lancar.
Dalam perkembangan lain, Low memberitahu, penunggang motosikal masih lagi menjadi penyumbang terbesar kadar kemalangan maut apabila seramai 91 orang terbunuh sejak Januari lalu.
Meskipun terdapat penurunan angka kematian berbanding tahun lepas iaitu 227 orang, namun jumlah tersebut masih lagi tinggi dan harus dikurangkan lagi.
“Sejak awal tahun ini lebih 25,000 laporan kemalangan telah kita terima dengan melibatkan kecederaan parah itu sebanyak 71 kes manakala kecederaan ringan direkodkan 566 kes,” ujarnya

Thursday, June 5, 2014

Sindiket Hamba Seks


Suspek yang membuang bayi ke dalam gaung menyerah diri pada malam Selasa.

 Penahanan ejen pembantu rumah warga asing kerana dipercayai membuang mayat seorang bayi membawa kepada penemuan sindiket yang memaksa pembantu rumah warga asing bekerja tanpa dibayar gaji dan didera secara seksual.

Suspek dalam lingkungan 40-an didakwa melakukan penderaan seksual terhadap kira-kira 29 pembantu rumah yang bekerja untuknya.
Lebih teruk lagi, gaji mereka turut tidak dibayar.
Kesemua pembantu rumah itu tidak mempunyai permit kerja.
Lelaki tersebut didakwa mengambil wanita tersebut bekerja sebagai pembantu rumah secara sambilan dan tukang cuci.
Malah, lelaki tersebut turut dikatakan melakukan penderaan seksual terhadap semua pekerja wanita itu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis pada mulanya dimaklumkan mengenai kes itu pada 31 Mei selepas seorang wanita warga Indonesia yang mendakwa bekerja untuk ejen tersebut selama dua tahun membuat laporan polis mengenai kematian dan kehilangan bayinya.
"Dia mendakwa mengandungkan bayi tersebut selepas dirogol oleh seorang majikannya tahun lalu," katanya.
Bayi itu dilahirkan pada 21 November tahun lalu.

"Apabila majikan mendapati wanita tersebut mengandung, dia menghantar wanita itu kepada ejennya. Kemudiannya wanita itu dipaksa bekerja untuk beberapa majikan lain sepanjang tempoh dia mengandung," katanya pada Rabu.

Polis menyerbu tiga rumah di Kota Kemuning pada Isnin dan menahan 12 wanita warga Indonesia.
Beliau berkata, seramai 12 wanita dan pengadu dalam lingkungan 20-an dan 30-an, tinggal lebih masa di negara ini dan bekerja tanpa permit.
Wanita tersebut mendakwa mereka tidak dibayar gaji dan didera secara seksual oleh ejen dan majikan tempat mereka bekerja.

Abdul Samah berkata polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kota Kemuning pada Selasa dan menahan isteri ejen terbabit bagi membantu siasatan.
"Suspek kemudiannya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Shah Alam pada malam Selasa," katanya.
Abdul Samah berkata, pengadu melahirkan bayi lelaki itu pada 21 November tahun lalu dan rakannya menjaga bayi tersebut ketika dia keluar bekerja.
"Pada 31 Mei, apabila dia kembali ke rumah di mana dia mendakwa dipaksa tinggal dengan wanita warga asing yang lain, dia diberitahu bahawa bayinya telah meninggal dunia dan dibawa oleh ejen tersebut," katanya.
"Dia cuba menghubungi ejen tersebut tetapi gagal. Dia kemudiannya membuat laporan polis.
"Pada pagi Rabu, suspek membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands," kata Abdul Samah.

Beliau berkata suspek mendakwa dia panik apabila mendapat tahu mengenai kematian bayi tersebut dan membuangnya ke dalam gaung.

"Dia direman selama seminggu bagi membantu siasatan," katanya.

Buang mayat bayi dalam gaung

buang_baby_MPolis menahan seorang ejen membekalkan pekerja asing dan isterinya untuk membantu siasatan berhubung aduan seorang pembantu rumah yang kehilangan bayinya akhir bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Ruslan Abdullah berkata kedua-dua suspek ditahan di Shah Alam semalam setelah ibu mangsa yang merupakan seorang pembantu rumah warga Indonesia berumur 33 tahun membuat laporan polis berhubung kehilangan bayinya itu.
Penahanan suspek terbabit dan isterinya telah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki berusia enam bulan dalam keadaan kembung dan berulat di sebuah gaung berdekatan Genting Highlands 11 pagi, pada Isnin katanya.
Katanya, ibu bayi berkenaan yang tidak mempunyai permit kerja mendakwa ejen terbabit yang juga majikannya telah membawa bayinya kononnya untuk diberikan kepada seorang rakannya.
Ruslan berkata, suspek turut mengaku bertindak membungkus mayat bayi itu dengan beg plastik dan memasukkannya ke dalam sebuah beg pakaian sebelum membuangnya ke dalam gaung di lokasi ia ditemui.
Katanya, siasatan awal mendapati bayi itu dilahirkan November tahun lepas hasil hubungan pembantu rumah itu dengan seorang lelaki tempatan ketika dihantar untuk bekerja ke rumah lelaki itu akhir tahun lepas.
Katanya, setelah mengetahui wanita itu mengandung, lelaki terbabit meminta ejen berkenaan membawa balik wanita itu sebelum dihantar bekerja di tempat lain sepanjang tempoh mengandung.
Mayat bayi dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk bedah siasat.
Terdahulu, Mahkamah Majistret Shah Alam mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap ejen terbabit sehingga 10 Jun ini bagi membantu siasatan kes ini.
Ruslan berkata, polis juga menyelamatkan enam pekerja wanita warga Indonesia yang bekerja tanpa permit sebagai pembantu rumah jangka pendek dengan ejen yang sama kerana dipercayai dieksploitasikan secara seksual oleh ejen itu dan juga pelanggannya.-trp

Wednesday, June 4, 2014

Mayat Seorang Lelaki Ditemui Mati Di Klang

Anggota Polis Forensik memeriksa mayat seorang lelaki tempatan yang ditemui mati dengan kesan tetakan di belakang kepala berdekatan pintu pagar belakang sebuah sekolah perempuan pada Rabu.
Seorang lelaki berusia 30-an ditemui mati dipercayai dibunuh di tepi Jalan Kota, berhampiran sebuah sekolah dan pejabat tanah diKlang, awal pagi Rabu. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superitendan Goh Lee Fook berkata, mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui orang ramai kira-kira pukul 7.20 pagi.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa yang berumur lewat 20-an mati akibat dibunuh kerana kesan kecederaannya yang dialami seperti bekas ditetak.

"Namun punca sebenar kematiannya masih disiasat," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau meminta orang ramai atau saksi kejadian agar tampil memberi maklumat bagi memudahkan siasatan kes itu.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk dibedah siasat.-ms

Mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemui di Pulau Tioman

Mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemui di Pulau Tioman
Pasukan mencari dan menyelamat warga Britain Gareth David Huntley, 34, yang hilang sejak seminggu lalu, menemui mayat seorang lelaki yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di belakang Chalet Lagoon, Kampung Juara, kira-kira jam 1.30 tengah hari ini.
Mayat lelaki tanpa sebarang dokumen pengenalan diri itu ditemui dalam keadaan hanya berseluar pendek tanpa baju kira-kira 50 kilometer dari pantai.
Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang Morni Mamat berkata idenditi mayat tersebut sukar dikenal pasti kerana selain tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, sebahagian muka mangsa juga sudah dalam keadaan reput.
“Setakat ini kita belum dapat pastikan sama ada mayat yang ditemui itu adalah warga Britain yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Kita masih menunggu unit forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang yang dijangka tiba jam 4 petang ini untuk membuat siasatan lanjut,” katanya.trp

Tiga lelaki cedera dipukul akibat salah faham

icu-m4-Jun (1)Satu sesi minum pada hujung minggu bertukar malang apabila tiga lelaki tempatan telah dipukul sekumpulan lelaki.
Pergaduhan yang dipercayai melibatkan warga asing itu dikatakan berpunca daripada salah faham.
Ketiga-tiga mangsa berkenaan pada awalnya sedang minum di sebuah premis karaoke apabila seorang daripada mereka tiba-tiba muntah dan terkena pada kaki salah seorang daripada penyerang yang duduk di meja hadapan.
Perkara itu mencetuskan pergaduhan diantara seorang warga tempatan, Cyril Linus, 20, dan seorang lelaki dari kumpulan lain pada kira-kira jam 5 petang semalam di luar premis berkenaan.
Cyril kemudian memaklumkan kawan-kawannya, Analem Tony Malip, 31, dan Manayoh Raw Palamok, 39, supaya beredar selepas penyerang menuju ke sebuah pasar.
Namun, nasib mereka semakin malang apabila sekumpulan tujuh hingga lapan orang yang bersenjatakan parang dan pisau sedang menunggu mereka.
Ketua Polis Daerah, Timbalan Penguasa Robert Salisip @ Daud, ketika mengesahkan kejadian itu berkata Cyril mengalami luka pada siku kiri dan menerima lima jahitan, manakala Manayoh menerima luka di sebelah kiri kepalanya di bahagian atas telinga.
“Manayoh menerima 11 jahitan dan kini dimasukkan ke hospital daerah untuk pemantauan. Keadaannya dilaporkan stabil. Manakala seorang lagi mangsa, Analem mengalami kecederaan di muka,” kata Robert.
Beliau berkata seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai salah seorang suspek yang terlibat dalam serangan ditahan di Batu 6, Jalan Keningau – Nabawan.
Video pergaduhan itu tersebar dan mencetuskan kemarahan di kalangan penduduk tempatan.-trp

Polis Pulau Pinang hilang 32 aset dalam 4 tahun

abdulrahimhanafi_M_140318
Sejumlah 32 kes kehilangan aset meliputi peralatan persenjataan seperti kelopak peluru, senjata api, motosikal dan gari dari tahun 2010 hingga 2013 dilaporkan.Polis Pulau Pinang merekodkan 32 kes kehilangan aset meliputi peralatan persenjataan seperti kelopak peluru, senjata api, motosikal dan gari dari tahun 2010 hingga 2013.
Ketua Polis Negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sejumlah 16 kes telah selesai dan tujuh daripadanya dikenakan penalti berjumlah RM15,555.80 kepada individu bertanggungjawab manakala selebihnya dalam proses tindakan.
“Bagi sembilan daripada kes yang telah selesai, satu kes dihapus kira, satu kes diberi surat teguran, satu kes melibatkan anggota bersara, satu kes dikenakan tindakan tatatertib dan lima kes ditutup,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Perhimpunan Ikrar Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri hari ini.
Katanya, Jabatan Logistik dan Pengurusan diarah mengkaji peraturan sedia ada berkaitan pengurusan aset sebagai langkah penambahbaikan dan mengawal kes seumpama itu daripada berulang.
Beliau mengingatkan tindakan tatatertib akan dikenakan ke atas pegawai dan anggota yang menyebabkan kehilangan aset sama ada berpunca daripada kecuaian, penipuan atau kecurian.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata polis telah merekodkan keterangan empat individu berhubung insiden Pusat Khidmat Masyarakat Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh dibaling ‘molotov cocktail’, yang dilapor Jumaat lepas.
Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan.
“Tiada saksi melihat kejadian itu. Kawasan terlibat pula tiada kamera litar tertutup dan polis percaya ia dilakukan pada waktu tengah malam atau awal pagi ketika hari gelap,” katanya-trp

halaman