Thursday, March 31, 2011

malek noor pengsan masuk icu


Datuk Malek Noor, dimasukkan ke sebuah hospital di Ipoh malam Khamis selepas sesak nafas semasa menyertai perlawanan bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak di Stadium Perak.


Malek, 54, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai di sini dan keadaannya dilaporkan stabil.

Malek, yang menjadi penjaga gol, rebah secara tiba-tiba selepas lima minit perlawanan bermula, kata Pengerusi Jawatankuasa Piala Amal Menteri Besar Datuk Azhar Ahmad.
Perlawanan berkenaan menemukan pasukan pilihan Menteri Besar Perak dengan pasukan Lagenda Negara yang dibarisi beberapa bekas pemain kebangsaan seperti K. Gunalan, Hassan Sani, Karim Pin, Khalid Ali, Shahrin Majid, Ahmad Yusof, Shukor Salleh dan Bakri Ibni.
Malek, yang mewakili pasukan Lagenda Negara, pada mulanya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun sebelum dipindahkan ke Hospital Pantai.

Wednesday, March 30, 2011

Pegawai Kanan Kastam Suami Isteri Antara Yang Ditahan SPRM Dalam Serbuan Besar-Besaran

Pasangan suami isteri yang merupakan pegawai kanan Kastam Diraja Malaysia adalah di antara yang ditahan dalam satu gerakan besar-besaran oleh Pasukan Tindakan Khas yang diketuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serentak di seluruh negara semalam (Isnin).
Pasukan itu telah membuat serbuan ke atas lebih 100 buah syarikat dan orang perseorangan secara serentak. Serbuan itu dilakukan ke atas 84 agen penghantaran, sebuah syarikat induk serta 24 anak syarikat berkaitan dan 25 premis Kastam Di Raja Malaysia di seluruh negara.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, dalam serbuan itu, dua orang pegawai kanan Kastam telah ditangkap bagi membantu siasatan.
"Ratusan ribu ringgit telah dijumpai di rumah dua orang pegawai kanan Kastam ini yang merupakan pasangan suami isteri," katanya kepada media di sini hari ini.
Menurut beliau lagi, pasukan itu juga telah menyita lebih daripada 150 akaun bank milik syarikat dan orang perseorangan dalam operasi berkenaan.
Pasukan Tindakan Khas ini melibatkan kerjasama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa lagi agensi penguatkuasaan berkaitan.
Mustafar menjelaskan, kesemua entiti yang diserbu dipercayai terlibat dalam pengisytiharan di bawah nilai sebenar cukai kastam, pengelakan cukai pendapatan dan aktiviti-aktiviti pengubahan wang haram.
"Ia juga termasuk penghantaran wang secara tidak sah ke luar negara yang melibatkan nilai mencakupi berbilion ringgit dan perlakuan jenayah rasuah," katanya.
"Kami melakukan tinjauan selama sebulan. Ia boleh dikatakan satu sindiket berikutan jaringan yang ada antara satu sama lain," katanya.
Kesemua aktiviti tersebut melibatkan kesalahan di bawah Akta Kastam 1967, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Pengganasan 2001, dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Ditanya mengenai jumlah sebenar yang diperolehi dari serbuan itu, Mustafar berkata, "Ia hanya merupakan satu kes yang dilaporkan berbanding 10 yang tidak dilaporkan. Saya yakin ia tetap melibatkan jumlah yang sangat tinggi."
Tentang sama ada serbuan semalam melibatkan seorang anggota salah sebuah parti politik, beliau menjawab, "Ia hanya satu kebetulan".
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini berkata Malaysia mencatatkan Kesalahan dan Ketinggalan (E&O) aliran keluar kewangan RM135.3 bilion bagi tempoh 2000 hingga 2009.
E&O itu antara lain mungkin mencerminkan aliran kewangan tidak direkodkan yang dijalankan melalui saluran tidak formal, yang mungkin termasuk dana yang berpunca daripada aktiviti haram, katanya.

Friday, March 25, 2011

eskay, rahim ke Bukit Aman

Ahli perniagaan, Datuk Syazril Eskay Abdullah dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik akhirnya menyerahkan pita video seks dan jam tangan Omega kepada polis pada Khamis walaupun sebelum ini berkeras enggan berbuat demikian.
Mereka sebelum itu dilihat memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira pukul 5 petang sebelum memberi keterangan selama lima jam berkaitan video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mereka berdua adalah trio 'Datuk T' yang mengaku termasuk Datuk Shuib Lazim sebagai yang bertanggungjawab memperlihatkan kepada wakil media klip video seks terbabit pada Isnin.

Thursday, March 24, 2011

datuk eskay silap skrip

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berjumpa dengan ketiga-tiga individu  yang mendalangi video seks fitnah sebelum mereka tampil mengakui bertanggungjawab atas rakaman itu semalam, kata Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat Nik Nadzmi Nik Ahmad. 
Pertemuan antara Najib, Pengerusi Risda Rahim Thamby Chik,  ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa, Shuaib Lazim  dikatakan berlangsung  di Bangunan Parlimen petang semalam.  
Ia  menguatkan hujah bahawa penyiaran video fitnah untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membabitkan konspirasi politik tertinggi Umno, kata Nik Nadzmi.
“PKR  dimaklumkan bahawa Perdana Menteri mempengerusikan mesyuarat Biro Politik UMNO di pejabatnya di Parlimen petang semalam, maka Perdana Menteri memang berada di Parlimen ketika ketiga-tiga dalang ini dilihat di Parlimen semalam,” kata beliau.
“Perkara ini menimbulkan tanda tanya yang serius mengenai setakat manakah pembabitan pimpinan kerajaan dalam pembikinan dan penayangan video seks ini, yang melanggar beberapa peruntukan undang-undang secara jelas,” tambah beliau.
Seperkara lagi yang menguatkan wujudnya konspirasi berkenaan adalah ketangkasan pertubuhan bukan kerajaan upahan Umno seperti Pekida mengadakan tunjuk perasaan menuntut penubuhan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat rakaman itu. 
Tuntutan itu dibuat walaupun  Rahim dan juak-juaknya belum pun menuntut penubuhan badan itu. Mereka hanya berbuat demikian selang beberapa jam setelah PKR membongkar identiti mereka sebagai dalang di sebalik rakaman lucah fitnah itu.       
Nik Nadzmi  menegaskan keengganan kerajaan bertindakan tegas dan segera ke atas semua dalang yang terbabit,  hanya menguatkan lagi persepsi rakyat bahawa sekali lagi ada penglibatan pimpinan kerajaan yang serius  di dalam konspirasi ini, seperti mana yang berlaku pada  tahun 1998. 
“Demi membersihkan namanya dan UMNO, Perdana Menteri perlu membuat kenyataan segera mengenai hasil perbincangannya dengan ketiga-tiga dalang video seks yang memalukan Malaysia ini,’ kata Nik Nadzmi.
Dalam pada itu pengakuan Datuk Eskay  bahawa dia turut dirakam dalam video seks fitnah  hanya menguatkan hujah bahawa ahli perniagaan itu sendiri terbabit dalam rakaman berkenaan dan bukannya “menjumpai” video itu di sebuah hotel, kata  NIk Nazmi. 
“Ini mengesahkan teori bahawa lelaki yang pada awalnya dilihat sedang mengaturkan sesuatu di dalam bilik dan disyaki bertanggungjawab memasang alat perakam adalah Dato’ Eskay sendiri,” kata beliau .
“Ia juga selari dengan persoalan yang ditimbulkan oleh Datuk  Johari Abdul (Ahli Parlimen Sungei Petani) semalam bahawa si pelaku tahu perbuatan seks akan dirakamkan kerana pada awalnya dia dirakam bersama-sama seorang lelaki lain yang disyaki sedang menyiapkan peralatan rakaman,” kata Nik Nadzmi.
Datuk Johari yang menyaksikan video itu Isnin lalu memberitahu wartawan, beliau yakin 100 peratus orang yang dirakam mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina bukan Datuk Seri Anwar. 
Selain faktor paras bentuk badan (termasuk perut) yang tidak menyerupai Anwar, Johari juga merujuk kepada “pelakon” video yang mirip muka Anwar memasuki bilik berkenaan ketika ketika peralatan rakaman video itu di pasang oleh seorang lelaki lain. 
Semalam, Eskay mengakui beliau sendiri muncul dalam rakaman itu untuk menguatkan dakwaannya bahawa video itu tidak diolah dalam apa bentuk jua. 
Namun pengakuan Datuk Eskay itu menimbulkan keraguan besar kepada jalan cerita asalnya  iaitu beliau kononnya disuruh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambil jamnya yang tertinggal, lalu terjumpa peralatan rakaman semasa mencari jam tersebut, tambah beliau .
“Jelas bahawa itu pembohongan kerana dia sendiri mengaku bahawa dia adalah lelaki terbabit yang disyaki bertanggungjawab memasang alat rakaman di permulaan rakaman video tersebut. Dakwaannya kononnya dia terjumpa video itu adalah penipuan semata-mata dan tidak masuk akal,” kata Nik Nadzmi.

pecah tembelang kerja jahat Rahim Tamby Chik pada DSAI

Berikut adalah kenyataan penuh ahli parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul :-                                                                 
                                                                     
Saya dihubungi oleh seorang kenalan yang sangat rapat bermula sejak 15 Mac 2011 untuk berjumpa dengannya mengenai sesuatu yang penting. Pada hari Isnin 21 Mac 2011 lebih kurang jam 12.20 tengahari, saya mengesahkan bahawa saya ada ruang untuk bertemu beliau.
 
Saya berjumpa dengannya di Hotel De Palma Ampang jam 4 petang hari itu, sebelum dibawa di dalam sebuah kereta yang lain. Kereta itu dipandu oleh dua orang yang saya tidak kenali.
 
Saya dibawa ke Hotel Flamingo Ampang, seterusnya dibawa ke sebuah bilik junior suite. Saya bertemu Tan Sri Rahim Thamby Chik dan Dato’ Eskay Shazril Abdullah yang telah menunggu di dalam bilik tersebut. Saya turut disertai oleh kenalan saya tadi.
 
Saya duduk di depan Tan Sri Rahim Thamby Chik sementara Dato’ Eskay Shazril Abdullah duduk di sebelah saya. Kenalan saya tadi duduk di atas katil di belakang di dalam bilik tersebut.
 
Dato’ Eskay Shazril Abdullah mula bercakap dan mengatakan bahawa saya (“Johari Abdul”) adalah ahli Parlimen yang pertama akan menyaksikan tayangan video yang sedang mula dimainkan itu. Dia juga meminta pandangan saya mengenai Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
 
Sepanjang tayangan video tersebut, Dato’ Eskay Shazril Abdullahmenjadi suara latar menerangkan beberapa perkara. Contohnya, dia menyentuh bagaimana cara individu terbabit menanggalkan kondom selepas perlakuan berakhir mempunyai risiko air mani akan terpercik ke kawasan yang besar. Menurutnya, tabiat itulah yang menyebabkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sering meninggalkan bahan bukti seperti yang berlaku dalam kes liwat pertama tahun 1998 dulu. 
 
Dia juga mendakwa bahawa dia selalu membawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke club house di mana berlakunya kejadian itu dan tempat-tempat lain di Thailand seolah-olah ini perkara yang kerapkali dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Menurutnya, setiap kali dia membawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke tempat itu, bilik itulah (yang dirakamkan) yang digunakan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sementara dia (Dato’ Eskay) menggunakan bilik bersebelahan. Dalam percakapan seterusnya, dia menyatakan kebimbangan kononnya rakaman-rakaman video seperti itu telah dipunyai oleh pihak perisikan Thai.
 
Sepanjang penayangan video tersebut, Tan Sri Rahim Thamby Chik kerap mencelah dan membuat komen pendek yang memburukkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saya percaya beliau cuba meyakinkan saya bahawa Dato’ Seri Anwar Ibrahim adalah seorang yang tidak bermoral dan tidak layak menjadi seorang pemimpin.
 
Selepas penayangan video tersebut, Tan Sri Rahim Thamby Chik mula bercakap. Dia memujuk supaya saya meninggalkan KEADILAN dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dia berjanji untuk bbawa saya berjumpa dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Tan Sri Rahim Thamby Chik juga menyebut bahawa dia akan uruskan segala keperluan kewangan dan keselamatan saya.
 
Tan Sri Rahim Thamby Chik juga cuba meyakinkan saya untuk membawa dan memujuk lebih ramai Ahli Parlimen KEADILAN berjumpanya, supaya dapat dipujuk keluar parti. Dia meminta saya mengepalai kumpulan Ahli-ahli Parlimen KEADILAN ini. Saya tidak memberikan komitmen, selain mendengar komen-komen yang dibuat.
 
Selepas itu, saya keluar dan diiringi oleh kenalan rapat saya itu. Di dalam lif, saya memeluknya dan memberitahu beliau, bahawa setelah menonton keseluruhan video tersebut, saya yakin bahawa orang di dalam video itu bukanlah Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
 
Saya berkeyakinan bahawa pelakon itu bukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berlandaskan faktor berikut:
 
1. Pada awal rakaman, terdapat seorang lelaki lain yang sedang menguruskan rakaman video pada ketika orang yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim masuk ke dalam bilik. Sewajarnya orang itu (yang mirip Dato’ Seri Anwar Ibrahim) sedar bahawa perlakuannya akan dirakam. Mustahil sesiapa yang waras akan melakukan adegan sedemikian kecuali dia diupah.
 
2. Tempoh masa rakaman yang menunjukkan muka si pelaku adalah terlalu pendek. Ditambah dengan rakaman yang dibuat di dalam hitam putih; menyukarkan untuk betul-betul mengesahkan identiti si pelaku.
 
3. Bahu si pelaku terlalu lebar dan tegap berbanding bahu Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 
 
4. Bahagian belakang si pelaku (punggong) juga berisi dan jelas berbeza dengan tubuh badan Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
 
5. Di akhir adegan, si pelaku bangun dan tubuh badannya dirakam dengan jelas. Perutnya adalah buncit dan terlalu besar jika dibandingkan dengan perut Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
 
6. Warna kulitnya adalah terlalu cerah dan hampir tidak dapat dibezakan dengan warna kulit wanita terlibat.
 
Selepas itu, saya menyatakan kesediaan untuk membawa beberapa orang ahli Parlimen KEADILAN agar mereka juga dapat menonton video dan berjumpa dengan Tan Sri Rahim Thamby Chik. Saya dimaklumkan sessi tayangan seterusnya akan dibuat kepada ahli-ahli Parlimen KEADILAN pada jam 330 petang 22 Mac 2011. Kami hadir semalam di Hotel Flamingo Ampang dan menunggu hingga jam 530 petang, oleh kerana mereka telah sahkan bahawa perjumpaa akan berlaku. Walau bagaimana pun, perjumpaan itu dibatalkan oleh pihak mereka.
 
Saya mengambil risiko membuat kenyataan ini diluar Dewan Rakyat kerana saya yakin bahawa episod terbaru ini adalah satu lagi rencana jahat untuk memfitnah Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 
 DATO’ JOHARI ABDUL
AHLI PARLIMEN SG PETANI
AHLI MAJLIS PIMPINAN PUSAT KEADILAN
23 MAC 2011 
 
 
KOMEN SELEPAS KENYATAAN AKHBAR DATO' JOHARI ABDUL
 
Tan Sri Rahim Thamby Chik yang menjadi dalang kepada episod ini adalah orang yang sama yang mengatur penerbitan dan pengedaran buku “50 Dalil” dalam tahun 1998 dahulu. Modus operandi fitnah terbaru ini adalah 100% sama dengan modus operandi siri fitnah tahun 1998 dahulu. Beliau diberi mandat oleh Perdana Menteri sendiri untuk membeli ahli-ahli Parlimen KEADILAN dengan tawaran wang ringgit dan sebagainya. Tempahan dan pembayaran Carcosa Seri Negara dibuat oleh RISDA, sebuah jabatan kerajaan. 
 
Saya juga percaya Dato’ Eskay Shazril Abdullah adalah “Dato’ T”. Dia adalah seorang yang berbangsa Siam dan mendapat banyak faedah dari Tun Mahathir Mohamad kerana berasal dari Kedah.
 
Seorang lagi individu yang hadir sama adalah bapa mertua kepada Dato’ Shafie Afdal, iaitu Naib Presiden UMNO. Banyak lagi nama-nama pimpinan UMNO yang terlibat secara langsung dengan konspirasi terbaru ini.
 
Saya mendedahkan semua ini agar rakyat Malaysia dapat menilai dengan sendiri politik jahat yang digunakan oleh musuh Dato’ Seri Anwar Ibrahim. 
 
Pimpinan Umno perlu berterus terang dengan rakyat dan membersihkan nama mereka secepat mungkin.

Tuesday, March 22, 2011

Bukit Aman siasat kes video seks anwar

 Satu pasukan khas dari Bukit Aman akan ditugaskan untuk menyiasat kes yang dilaporkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dengan rakaman video yang memperlihatkan adegan seks seorang pemimpin pembangkang dengan wanita yang didakwa seorang pelacur dari Asia Timur.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika memberitahu demikian menegaskan, kes itu yang dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi awal pagi Selasa oleh Anwar telah dipindahkan ke Bukit Aman kerana ia adalah satu kes berprofil tinggi dan melibatkan kepentingan awam.
“Oleh itu, satu pasukan khas dari Bukit Aman yang akan menyiasat kes ini dan mereka hanya akan bertanggungjawab melaporkan terus kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.
“Saya juga telah mengarahkan KPN agar memastikan kes ini disiasat secara telus dan secara profesional dan siasat sedalam yang mungkin," kata Hishammuddin.
Anwar katanya lagi bebas membuat dakwaan tetapi yang akan menyiasat kes ini adalah pihak polis.
Hishammuddin berkata demikian kepada para pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini Selasa.
Hishammuddin juga menyatakan bahawa beliau telah pun menjangkakan bahawa yang akan dituduh berkonspirasi di sebalik kemunculan rakaman video tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah kerajaan, perdana menteri dan pihak polis.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, apa yang penting kepada umum sekarang ialah kebenaran.
“Pada akhirnya yang kita hendak tahu dan dengar ialah kebenaran,” ujarnya.(MS)

Nazri Aziz: tiada salah siar dan tonton video lucah

Mengulas 'tayangan video aksi seks' di hotel Carcosa Seri Negara, semalam,Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.bertegas tidak salah bagi penganjur di sebalik tayangan itu berbuat demikian.


“Awak bagi tau apa yang salah. Semua orang kata ia melanggar undang-undang, tetapi bagi tahu saya, undang-undang mana? Sesiapa yang tahu, perlu tampil dan maklumakan kepada kami,” katanya.

Menurutnya, jika tayangan yang diaturkan oleh seseorang individu yang hanya dikenali sebagai Datuk T dibuat untuk mencari keuntungan, maka ia satu kesalahan.-Malaysia kini




Anwar buat report polis

Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi berhubung fitnah terbaru mengaitkan beliau dengan satu rakaman aksi seks. 
Turut hadir mengiringi Anwar di IPD Dang Wangi ialah Timbalan Presiden KEADILAN, Tian Chua; Naib Presiden, N Surendran; Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar; Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaik Ismail; Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff dan peguam-peguam dari Lawyers for Liberty.
Kira-kira 300 penyokong mengiringi  Anwar yang tiba pada jam 10.45 pagi membuat laporan polis berkenaan. Turut berlaku pergelutan di antara penyokong Anwar dan anggota polis di hadapan pintu kaca untuk masuk ke IPD berkenaan.
Anwar kini sedang membuat laporan polis di dalam IPD tersebut.

Tayangan perdana video lucah anwar di Parlimen?

 Rakaman video seks menunjukkan seorang pemimpin kanan Melayu mengadakan seks dengan seorang wanita dipercayai pelacur dari China dipertontonkan di ruang rehat ahli-ahli Parlimen selepas disaksikan oleh wakil-wakil media pagi tadi Ia ditunjukkan menerusi komputer riba milik seorang kakitangan Parlimen di ruang merokok dan disaksikan oleh beberapa wakil rakyat Barisan Nasional BN dengan pemberita-pemberita dari portal online milik Umno Sumber memberitahu The Malaysian Insider video klip itu terbahagi kepada empat bahagian Bagaimanapun komputer riba itu dirampas petang tadi selepas khabar angin mengenai video itu tersebar luas -the malaysian insider.com

Monday, March 21, 2011

RM150 ribu untu gelaran datuk kelantan

Sultan Kelantan, Sultan Muhammed V sangat memandang berat dan melahirkan rasa dukacita dengan tindakan pihak tertentu di negeri ini yang mengurniakan darjah kebesaran kepada individu dengan sewenangnya. 

Menyatakan demikian, Penasihat Undang-Undang Istana Kelantan, Datuk Sukri Mohamed berkata baginda melahirkan perkara itu kerana terdapat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang "mengurniakan" darjah kebesaran dan anugerah "datuk" kononnya daripada Kesultanan Kelantan dengan bayaran RM150,000 sedangkan anugerah itu adalah palsu. 

Sukri berkata pertubuhan itu yang dibatalkan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan pada 10 Januari lepas memberikan "darjah kebesaran Kelantan" kepada 120 orang dari dalam dan luar Kelantan mulai tahun lepas. 

"Untuk mendapatkan gelaran "datuk" ada penerima sanggup membayar sehingga RM150,000. Terbaru, pertubuhan itu telah mengadakan majlis penganugerahan di sebuah hotel di Kota Bharu minggu lepas," katanya dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu hari ini. 

Beliau berkata susulan daripada itu, pihak Istana Kelantan telah membuat tiga laporan polis - satu di balai polis Pasir Mas dan dua di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Jumaat lepas. 

Laporan turut dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan RasuahMalaysia (SPRM) dan Pendaftar Pertubuhan. 

Sukri berkata mengikut Perkara 43 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, hanya Sultan Kelantan boleh mengurniakan gelaran dan kebesaran serta mengadakan pangkat kemuliaan, pingat kebesaran dan kehormatan. 

Dalam sidang akhbar yang sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Lai Yong Heng berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada mereka yang terlibat di dalam majlis penganugerah darjah oleh pertubuhan berkenaan.

"Ia masih dalam siasatan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan, namun tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya. 

- Bernama

Thursday, March 17, 2011

hubungan maya karin dan datuk affendi Norawi, Tiara jaquelina?

Pelakon Datin Seri Tiara Jacquelina tidak mempercayai desas-desus kononnya suami beliau, Datuk Seri Dr. Effendi Norwawi, 62 menjalin hubungan dengan aktres terkenal, Maya Karin, 30.
Menurut Tiara, dia menyimpan kepercayaan seratus peratus kepada suaminya dan tidak pernah mencurigai kesetiaannya.
"Saya merasakan sayalah wanita paling bertuah mempunyai suami yang baik. Saya rasa tak ada suami dalam dunia yang mencintai isterinya sebaik suami saya," katanya.
Sebelum ini, ada laporan mengatakan kononnya Maya menjalin hubungan dengan Effendi yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri tetapi ia dinafikan aktres itu.
Gosip tersebut bagi Maya, adalah sesuatu yang tidak berasas dan langsung tidak masuk akal.

Wednesday, March 16, 2011

Suruhanjaya: Penahanan Beng Hock tak munasabah

 
Suruhanjaya yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membenarkan pembantu politik tersebut pulang selepas rakaman percakapannya dirakamkan sebagai perbuatan yang ‘tidak munasabah’.
Apatah lagi menurut Pengerusi suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kehadiran Teoh di pejabat badan berkecuali tersebut bukanlah sebagai seorang suspek, sebaliknya sebagai saksi yang bersetuju untuk memberikan kerjasama dalam penyiasatan yang dijalankan.
Bagaimanapun, pendirian itu tidak dipersetujui oleh Pemangku Penolong Pesuruhjaya SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah kerana berpandangan SPRM tidak pernah berniat untuk menahan atau melengah-lengahkan pembebasan Teoh.
Menurut Hairul Ilham, rakaman percakapan Teoh yang dimulakan pada selepas pukul 12 tengah malam, 16 Julai 2009 merupakan satu prosedur biasa yang diguna pakai oleh SPRM dan tidak menyalahi peruntukan undang-undang.
“Saya rasa dalam siasatan SPRM adalah sesuatu yang normal untuk kita memanggil saksi pada tengah malam,” tambah beliau yang dipanggil sebagai saksi ke-22 pada prosiding Selasa.
Selain itu, Hairul Ilham yang mengeluarkan arahan supaya Teoh tidak dibenarkan balik selepas selesai urusan semakan dokumen juga memberitahu, keterangan seorang saksi perlu dirakamkan dengan secepat mungkin.
“Saya tidak mahu Teoh untuk memberikan keterangan yang difikirkan semula (after thought) iaitu keterangan yang direka-reka,” kata beliau.
Pada keterangan lain, saksi yang disoal oleh pegendali suruhanjaya, Awang Armadajaya Awang Mahmud juga menafikan bahawa beliau tidak mengambil berat akan kebajikan Teoh semasa mendiang berada di pejabat SPRM.
“Saya selalu fikirkan tentang kebajikan. Tetapi dalam kes Teoh saya tidak mendapat sebarang makluman. Sekiranya ada masalah, pegawai-pegawai akan memberitahu saya,” katanya.
Mendengarkan jawapan saksi, James berkata: “Tetapi kamu sebagai seorang ketua seharusnya boleh menyemak, bertanyakan...” di mana Hairul Ilham berkata, beliau jarang berurusan secara terus dengan seorang saksi.
James seterusnya berkata amalan yang digunakan oleh SPRM amat berbeza daripada amalan agensi-agensi kerajaan yang lain yang pada kebiasaannya akan cuba untuk memudahkan urusan kerja.
James: SPRM tak buat begini... Susahkan dia. Tambahan pula dia bukan seorang suspek, dia adalah saksi.
Hairul Ilham: Itu adalah cara kita bekerja.
James: Saya ingin bertanya, adakah cara kerja ini perlu ditukar atau tidak? Adakah ini imej SPRM? Kamu sebagai seorang kakitangan mahukah imej begini?
Hairul Ilham: (saksi tidak memberikan jawapan dan hanya memandang ke hadapan).
James: Saya bangga dengan badan kehakiman. Kamu juga mesti mahukan perkara yang sama. Kamu sebagai seorang yang bekerja di sana mesti memberi cadangan kepada kami.
Sementara itu, seorang lagi anggota suruhanjaya, Datuk Abdul Kadir Sulaiman mempertikaikan bagaimana saksi boleh berpendapat majikan Teoh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah ada melakukan penyelewenggan sekiranya dokumen dokumen boleh diperoleh dari Pejabat Daerah.
Tambahan pula,Abdul Kadir menyifatkan bahawa jumlah yang disyaki oleh SPRM hanyalah satu jumlah ‘ikan bilis’ berbanding dengan kes kes lain yang melibatkan ‘jerung’.
“Saya ingin membuat penjelasan. Pada tahun 2008, SPRM ada membuat siasatan terhadap dua ADUN Barisan Nasional. Modus operandi yang digunakan adalah sama. Melihat dokumen tiada yang sangsi, tapi bila kita pergi lihat maklumat terperinci tidak dibuat pun,” jawab Hairul Ilham.
Pakar Perunding Psikiatri, Profesor Mohamed Hatta Shaharom yang turut menganggotai suruhanjaya seterusnya mempertikaikan jawapan saksi yang banyak memberi jawapan berbentuk andaian yang disifatkan sebagai ‘berbahaya’ dengan kedudukan saksi yang menjawat jawatan sebagai seorang pegawai.
Mohamed Hatta: Sepanjang lapan tahun kamu di situ, ada berapa kematian?
Hairul Ilham: Ini kali pertama.
Mohamed Hatta juga mempersoalkan sistem keselamatan bangunan pejabat tersebut apabila mendapat tahu bahawa laluan kecemasannya dikunci.
“Jika begini, tikus pun tak nak duduk di situ,”tambah Mohamed Hatta.
Suruhanjaya tersebut ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh, 30,yang ditemui mati di luar koridor tingkat lima Plaza Masalam, Seksyen 9, Shah Alam, dekat sini pada 16 Julai 2009, iaitu beberapa jam selepas hadir di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 plaza sama.
Prosiding inkues yang dijalankan sebelum ini memberikan keputusan terbuka kerana tidak boleh memutuskan sama ada Teoh mati akibat membunuh diri atau pun dibunuh.

Pegawai Kanan Kumpulan Semesta Ditahan Berhubung Kes Ugutan

Seorang pegawai kanan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) ditahan polis pada Selasa bagi membantu siasatan berhubung dakwaan beliau mengugut menerusi panggilan telefon, seorang kakitangan syarikat itu, baru-baru ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah, berkata lelaki itu ditahan pukul 9.30 pagi di Seksyen 7 di sini berikutan satu laporan kes ugutan.
"Suspek dipercayai mengugut pekerja KSSB dengan menggunakan telefon," katanya ketika dihubungi di sini.
Mohd Adnan bagaimanapun enggan mendedahkan identiti lelaki yang ditahan itu dan jawatannya dalam KSSB, anak syarikat kerajaan Negeri Selangor yang menguruskan permit pasir. - BERNAMA

Tuesday, March 15, 2011

saida taruddin tuntut cerai


Saida Taruddin mohon fasakh kerana sudah tiada persefahaman. tuntutan cerai dibuat untuk masa depannya 10 tahun akan datang...?



Penyanyi, Saida nekad untuk bercerai meskipun suaminya, Mohd Ghazali Yahya Zikri tidak bersetuju dengan permohonan untuk berpisah secara baik yang difailkannya selepas 15 tahun hidup bersama.
Peguam syarie Ahmad Nazib Johari yang mewakili Saida memberitahu, pihaknya memohon untuk meminda permohonan asal mereka kepada bercerai secara fasakh, jika Mohd Ghazali enggan memberi kata putus dalam perkara tersebut.
Saida atau nama sebenarnya Siti Nursaida Tarudin, 35, yang juga kakak kepada penyannyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza pula memberitahu, dia telah cuba untuk berbincang dengan Mohd Ghazali, 40, bagi mencari jalan penyelesaian.
“Kami masih tinggal serumah. Saya ada cuba berbincang, tetapi suami tidak setuju. Saya mohon untuk bercerai kerana kami sudah tiada persefahaman dan perbalahan kami tidak boleh dipulihkan,” katanya.
Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Suhaily Rosdi enggan membenarkan permohonan tersebut kerana beranggapan Mohd Ghazali seharusnya diberikan peluang untuk hadir di mahkamah dan menyelesaikan kes tersebut.
“Mahkamah sentiasa mempunyai budi bicara. Saya mahu lihat kehadiran defendan (Mohd Ghazali). Jika mahu bercerai, mahkamah boleh teruskan. Jika tidak, mahkamah mahu mendengar alasannya,” tambahnya.
Justeru itu, Mohd Suhaily menetapkan kes itu disebut semula pada Jumaat ini untuk kehadiran pihak-pihak.
Beliau juga menasihatkan supaya Saida dan Mohd Ghazali memanfaatkan masa yang ada dengan mencari penyelesaian kepada masalah rumah tangga mereka.
“Bincang sebagai seorang yang dewasa, sebagai ibu bapa. Ingat perceraian yang berlaku akan memberi kesan kepada anak.
“Saya bercakap bukan hanya untuk masa sekarang, tetapi untuk 10 tahun akan datang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai pendirian Mohd Ghazali dalam permohonan itu, peguam syarie Amli Embong memberitahu, ahli perniagaan itu tidak mahu menceraikan Saida.
“Mohd Ghazali mahu mempertahankan rumah tangganya,” kata Amli mewakili Mohd Ghazali yang tidak menghadiri prosiding mahkamah tersebut.
Persoalan mengenai ketidakhadiran Mohd Ghazali juga timbul apabila Amli dan Saida memberikan alasan yang berbeza mengenainya.
Menurut Amli, beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Mohd Ghazali pada pukul 9 pagi Isnin, memaklumkan bahawa beliau tidak sihat dan mempunyai sijil cuti sakit.
Bagaimanapun, Saida memberitahu suaminya kini berada di kampung halaman, iaitu di Teluk Intan, Perak.
Sehubungan itu, Mohd Suhaily memberi peringatan keras bahawa beliau akan mengeluarkan waran tangkap sekiranya Mohd Ghazali tidak menghadiri prosiding Jumaat.
Secara keseluruhan, Mohd Ghazali telah gagal untuk menghadiri tiga prosiding mahkamah.
Saida hadir di mahkamah dengan berpakaian serba hitam dan ditemani oleh kakak iparnya, Rozie Abd Razak.
Dia yang pernah mencuba nasib dalam rancangan realiti, Akademi Fantasia musim ke-enam memfailkan permohonan untuk bercerai pada 6 Oktober 2010 mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam, Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984.
Saida dan Mohd Ghazali berkahwin pada 14 Disember 1996 di kampung halaman penyanyi tersebut, Kuala Lipis, Pahang dengan berwalikan bapa kandung.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, 14, Anas, 12, Khalid, 8, dan Siti Nurul Mashitah, 5 tahun.
Mereka yang menetap di Alam Damai, Cheras, di sini tidak pernah bercerai sebelum ini.

halaman