Tuesday, March 15, 2011

Caj ekstra teksi

Penetapan caj tambahan kepada pemandu teksi beroperasi di kaunter perkhidmatan teksi di premis persendirian seperti di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) adalah di luar bidang kuasa Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata LPKP tiada halangan terhadap permohonan Awana Sutera Sdn Bhd (ASSB) untuk mengendalikan perkhidmatan kaunter teksi di KLCC kerana premis itu adalah kawasan milik persendirian dan KLCC mempunyai hak eksklusif terhadap premis berkenaan.
"Jika pihak Awana Sutera Sdn Bhd bercadang untuk terus menggunakan caj tambahan itu, KLCC Holding selaku pemilik premis dan ASSB selaku pengendali kaunter hendaklah memberi penerangan dan mendapatkan persetujuan daripada pemandu-pemandu teksi berkaitan dengan peraturan berkenaan caj tambahan itu,” katanya semasa menjawab soalan asal Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Fong ingin tahu sebab teksi Kuala Lumpur tidak boleh memasuki kawasan Suria KLCC jika tidak membayar yuran masuk dan sebab LPKP memberi hak eksklusif kepada syarikat terbabit mengutip yuran masuk tersebut.
Mohamed Nazri berkata walaupun LPKP tidak mempunyai bidang kuasa berkaitan caj tambahan yang dikenakan kepada pemandu teksi itu namun LPKP mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan persatuan teksi bersama pihak ASSB dan KLCC.
"Kita mendesak pihak ASSB mengkaji semula kadar yang ditetapkan agar tidak membebankan pemandu teksi dan meminta ASSB mengadakan pertemuan dengan persatuan teksi untuk memaklumkan kadar yang dibenarkan,” katanya.
Selain itu katanya, LPKP juga tidak diberi bidang kuasa melantik mana-mana syarikat untuk beroperasi secara eksklusif sebagai pengendali kaunter di mana-mana premis persendirian.
Menurutnya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kini dalam perbincangan untuk melesenkan semua terminal pengangkutan awam termasuk kaunter teksi.
"Ini akan memudahkan SPAD untuk memantau dan memastikan operasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada pengguna menepati kriteria ditetapkan suruhanjaya,” katanya.
Mohamed Nazri berkata pengenalan perkhidmatan kaunter teksi itu adalah bagi mengatasi masalah pemandu teksi yang enggan menggunakan meter dan menyebabkan penumpang sering ditipu. - Bernama

No comments:

Post a Comment

halaman