Seorang lelaki yang ditembak dan ditahan selepas merempuh seorang anggota polis ketika diarahkan untuk menyerah diri di Jalan Meru, Klang dekat sini semalam, disyaki terlibat dalam sembilan kes samun di sekitar Selangor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Mohd Adnan Abdullah berkata, siasatan juga mendapati suspek berumur 23 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau.
"Rekod jenayah itu membabitkan kes curi kenderaan di Sungei Way, Petaling Jaya dan samun sehingga mendatangkan kecederaan di Damansara Utama pada 2007 serta pemulihan akhlak selama 18 bulan di Simpang Renggam pada 2008.
"Sembilan kes samun itu membabitkan kawasan sekitar Kapar di Klang, Puchong, Sungei Way dan Damansara antara 2007 dan tahun ini," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Khamis.
Mohd Adnan berkata, kereta jenis Vios, yang dipandu suspek, dilaporkan disamun di Puchong pada 15 November lepas dan dipercayai telah digunakan dalam kes cubaan samun di Sungai Buloh pada 29 November lepas.
Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi semalam, suspek yang kebetulan bertembung dengan kereta peronda polis di Jalan Meru, Klang, enggan keluar dari kereta selepas diarahkan berbuat demikian sebelum bertindak melanggar seorang anggota polis menyebabkannya cedera di tangan.
Ekoran tindakan suspek itu, polis melepaskan tembakan dan terkena satu daripada tayar kereta yang dipandunya menyebabkan ia terbabas serta melanggar palang tempat letak kereta berhampiran sebelum ia terbalik.
Tembakan itu turut terkena pada paha kiri suspek, yang berasal dari Sungai Way, Petaling Jaya, dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Hasil siasatan pada kereta yang dipandunya, polis menemui dua batang kayu besbol, sebilah parang dan beberapa peralatan menagih dadah.
Mohd Adnan berkata, kira-kira sejam selepas ditahan, polis bertindak memeriksa sebuah hotel yang didiami suspek di kawasan Klang Utara, Klang, dan menemui seorang wanita berumur 18 tahun dipercayai teman wanita lelaki itu yang juga berasal dari Petaling Jaya.
"Dalam pemeriksaan di hotel itu polis turut menjumpai telefon bimbit, beberapa kunci kereta, komputer riba, jaket hitam dan sarung tangan. Suspek dan teman wanitanya kini direman selama tujuh hari sehingga 7 Dismber ini untuk siasatan lanjut," katanya.-BERNAMA
No comments:
Post a Comment