Keadaan Inspektor Mohd Firdhaust Zainal, 29, yang cedera parah akibat ditetak Selasa lalu, kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Ketua Polis Daerah Yan, DSP Ismail Abu berkata mangsa kini berada dalam keadaan baik setelah menjalani pembedahan pada bahagian kaki kiri di HSB pada Rabu.
"Keadaan Mohd Firdhaust bertambah baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, seorang lagi pegawai yang juga berpangkat Inspektor mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Sebelum kejadian, sepasukan 12 anggota dan pegawai polis ke rumah suspek yang berusia 45 tahun untuk menyerahkan saman kepada suspek berhubung satu kes lain.
Bagaimanapun suspek yang melihat kehadiran polis mengambil parang panjang sebelum menyerang pegawai serta anggota polis itu serta merosakkan kenderaan mereka yang mana jumlah kerosakan yang dialami kenderaan polis itu dianggarkan RM2,500. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment