Friday, December 30, 2011

Lima kepala babi dimasjid desa jaya Johor Baharu

Lima kepala babi ditemui di luar pintu pagar masuk utama Masjid Al-Falahiah, Taman Desa Jaya, Johor Bahru, pagi ini.

Kepala babi itu, dalam satu bungkusan, disedari seorang penjaga masjid itu pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Tiga lagi bungkusan yang dipercayai mengandungi tulang, juga ditemui dekat situ, tetapi polis kemudiannya mengesahkan ia mengandungi batu.

Ketua Polis Johor Datuk Mokhtar Mohd Shariff berkata polis menubuhkan sebuah pasukan siasatan yang diketuai timbalannya, Datuk Ismail Yatim untuk menyiasat kejadian tersebut.

Ketua Polis Johor , Datuk Mokhtar Mohd Shariff (kanan dalam gambar) berkata, satu pasukan khas yang diketuai timbalannya, Ismail Yatim, ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu.

Mokhtar juga mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkannya kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ini ekoran satu lagi kejadian di mana dua bungkusan yang disyaki mengandungi tulang, ditemui pada jam 5.30 petang semalam di masjid yang sama.


************************************
Polis Tahan Tiga Lelaki Termasuk Teman Lelaki Rozana Yusak

Tiga lelaki, termasuk teman lelaki Rozana Mohd Yusak, 35, wanita yang ditemui mati dengan lebih 15 kesan tikaman di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong 21 Dis lepas, ditahan polis pada Khamis.
Sumber polis berkata kesemua mereka berumur 19 hingga 20 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pantai Dalam dan Datuk Keramat.
"Dalam tangkapan pukul 8 malam sehingga 1 pagi itu, polis juga merampas sebuah komputer riba milik mangsa daripada salah seorang suspek," katanya.
Menurut sumber itu, ketiga-tiga lelaki tersebut dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pagi ini dan direman tujuh hari sehingga 6 Jan depan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan tersebut namun enggan mengulas lanjut.
Beliau berkata sidang media mengenai kes tersebut akan diadakan pada Sabtu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor oleh Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.
Dalam kejadian 1.30 pagi itu, Rozana ditemui berlumuran darah dengan lebih 15 kesan tikaman pada bahagian belakang badannya, di rumah sewanya di Puncak Desa, Kepong.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur. - BERNAMA
*****************************************************************
Pengedar Dadah Mati Selepas Tembak Menembak Dengan Polis
 Seorang pengedar dadah yang dikehendaki polis mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Sungai Lokam, Butterworth malam Khamis.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakop berkata lelaki berusia 36 tahun dan berasal dari Butterworth itu mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
"Sepasukan anggota polis yang sedang membuat rondaan pada 10.30 malaqm tadi telah mengekori kereta yang dipandu lelaki berkenaan sehingga ke tempat kejadian selepas mendapati dia berada dalam keadaan mencurigakan," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.
Beliau berkata sebaik lelaki yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan jenayah termasuk mengedar dadah itu menyedari diekori polis, dia bertindak memecut keretanya.
Katanya apabila polis memintas kereta itu di Sungai Lokam, lelaki itu terus keluar dari kenderaan itu dan melepaskan beberapa tembakan ke arah polis.
"Anggota kita bertindak membalas tembakan dan terkena lelaki yang memang dikehandaki polis itu dan dia meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Ayub berkata polis menemui sepucuk pistol dan sejumlah peluru serta dua ketul dadah jenis ganja seberat 1.2 kilogram dalam kereta itu.
Katanya polis turut menemui topeng muka, sarung tangan, satu batang rotan dan sebuah komputer riba, dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.
"Siasatan juga mendapati lelaki itu mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan senjata api dan dadah yang kedua-duanya masih dalam perbicaraan," katanya.
Dalam kes lain, polis menahan seorang lelaki dan merampas dua pucuk pistol bersama 80 butir peluru dalam sebuah kereta yang dipandunya di Nibong Tebal malam tadi.
Ayub berkata lelaki yang mempunyai rekod jenayah dan positif dadah itu direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206). - BERNAMA
****************************************
Edar Syabu, Pereka Hiasan Dalaman Ke Tali Gantung
 Seorang pereka hiasan dalaman dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 3.98 kilogram, tujuh tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa menjatuhkan hukuman itu ke atas Lee Boon Kwang, 40, dari Johor Baharu, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakimannya, beliau menolak pembelaan Lee yang mendakwa dia tidak mengetahui tentang dadah itu dan menafikan beg yang mengandungi dadah berkenaan adalah miliknya.
Lee, yang bekerja di Singapura, didakwa mengedar 3,984.4 gram dadah jenis methylenedioxy methamphetamine (MDMA) di pejabat Narkotik, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, pada pukul 7.10 pagi, 25 Sept 2004.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman sementara Lee diwakili peguam Zamani Dolmat yang menyebut bagi pihak peguam James George.
Lee sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 kali sebatan selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan pindaan memiliki dadah yang sama mengikut Seksyen 12 Akta Dadah Berbahaya 1952 di akhir kes pendakwaan.
Bagaimanapun, dia kemudian diperintah membela diri atas tuduhan mengedar dadah selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sama yang meminda pertuduhan itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman