KDN tubuh jawatankuasa pantau berita palsu
PUTRAJAYA, 9 Julai — Kementerian Dalam Negeri telah menubuhkan jawatankuasa untuk merangka strategi komunikasi kerajaan selain menangani berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata jawatankuasa itu turut dianggotai Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri adalah urusetianya.
“Selama ini kerajaan tidak mengambil tindakan undang-undang yang tegas tetapi kali ini kerajaan berpendapat, jika pembohongan dan berita palsu ini dibiarkan berterusan, pihak tidak bertanggungjawab ini akan menganggap tindakan mereka betul dan rakyat akan terus tertipu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hishammuddin berkata bahawa pada mesyuarat pertama jawatankuasa itu tiga hari lepas, dua ketetapan telah diambil iaitu mewujudkan satu pasukan bertindak tahap tinggi dan mengadakan mesyuarat jawatankuasa itu sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.
Mesyuarat pertama jawatankuasa itu, yang turut dihadiri Nazri dan Rais, membincangkan juga pindaan undang-undang, latihan untuk pegawai penyiasat, layanan terhadap saksi dan definisi “berita palsu”.
Hishammuddin juga berkata Kementerian Dalam Negeri akan melaksanakan apa yang dinamakan “Liga Balai” untuk mengukur tahap prestasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat oleh setiap balai di seluruh negara.
“Balai-balai polis yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diberikan penghargaan dan pengiktirafan manakala anggota serta pegawainya akan diberikan insentif.
“Insentif ini adalah sebagai rangsangan untuk memupuk budaya kerja cemerlang dan persaingan sihat di kalangan anggota dan pegawai,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment