Tuesday, July 27, 2010

DR.MAHATHIR; SUNAT DAN WAJIB


1. Sejak kecil lagi saya diajar tentang perbezaan antara sunat dan wajib dalam Islam.

2. Yang sunat saya diberitahu jika dibuat berpahala tetapi tidak dibuat tidak berdosa. Sebaliknya yang wajib perlu dibuat jika tidak akan berdosa.

3. Sudah tentu awal-awal lagi saya diberitahu sembahyang lima waktu itu wajib. Tetapi kelonggaran diberi jika tidak sihat, jika dalam perjalanan, dalam kecemasan.

















4. Jika tidak dapat berdiri boleh duduk semasa sembahyang, dalam perjalanan boleh jamak. Demikian juga dengan ibadat puasa, mengeluar zakat dan mengerja haji.

5. Islam tidak membebankan penganutnya. Oleh itu banyaklah amalan yang sunat, yang jika dilakukan mendapat pahala tetapi tidak berdosa jika tidak dilakukan.

6. Ramai orang Islam yang tidak puas hati dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberi oleh Allah Subhanahuwata'ala Mereka lebih suka jika yang wajib ditambah dan yang sunat diwajibkan.

7. Ada yang sampai memaksa yang sunat dilakukan dan jika tidak, tidak Islam atau kurang Islam. Tidak ada kelonggaran yang dibenarkan.

8. Walaupun ini mungkin tidak jadi masalah kepada yang sudah Islam, tetapi ada orang bukan Islam yang takut memeluk agama Islam kerana "wajib" disunatkan.

9. Tetapi ada yang begitu keras mewajibkan "sunat" sehingga sanggup tidak menerima yang tidak mahu disunat memeluk agama Islam. Ketakutan ini lebih terdapat dikalangan wanita bukan Islam. Dipercayai wanita yang Islam pun ramai yang tidak disunatkan kerana ini adalah perkara yang tidak diwajibkan. Tetapi pihak tertentu berkeras berkenaan "sunat" bagi wanita yang memeluk agama Islam.

10. Kenapakah kita begitu tidak puas hati dengan kelonggaran yang diberi oleh Allah s.w.t. sehingga menolak hukum yang telah ditentukan oleh-Nya. Sesungguhnya banyaklah hukum Allah yang dialihkan terutama berkenaan fardhu kifayah supaya yang wajib menjadi sunat dan yang sunat diwajibkan.


No comments:

Post a Comment

halaman