Monday, October 31, 2011

Pengawal Keselamatan Maut Ditembak


Seorang pengawal keselamatan maut ditembak selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun melibatkan RM170,000 berhampiran Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, Isnin.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata laporan awal menunjukkan Mohd Burhanuddin Jamaluddin, 23, mati akibat ditembak pada bahagian tulang rusuk kiri oleh seorang suspek bermotosikal dalam kejadian pada pukul 10.30 pagi.
Beliau berkata mangsa yang berada di bahagian hadapan tempat duduk penumpangsebuah kenderaan pacuan empat roda bersama dua lagi rakan sekerjanya, baru selesai mengambil wang di kawasan itu.
"Kejadian berlaku ketika kenderaan itu berhenti di persimpangan lampu isyarat sebelum ketiga-tiga suspek menghampiri dan berhenti di bahagian kiri dan kanan kenderaan itu.
"Seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arah kiri kenderaan jenis Toyota Hilux kepunyaan sebuah syarikat keselamatan," kata Wan Abdul Bari kepada pemberita di sini Isnin.
Wan Abdul Bari berkata terdahulu kesemua pengawal keselamatan berkenaan diarah membuka pintu sebelum dua das tembakan dilepaskan dan terkena Mohd Burhanuddin.
Seorang daripada suspek kemudiannya menyamun sebuah guni berisi wang tunaiRM170,000 yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan itu.
Beliau berkata mangsa meninggal dunia di PPUM pada pukul 10.57 pagi dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Dua lagi rakan mangsa tidak cedera.
Wan Abdul Bari meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman