Tuesday, April 19, 2011

Datok Salim Parlan Tim. KSU Kem Belia dan Sukan tak mengaku khalwat



Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, 51, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di George Town hari ini, atas tuduhan berkhalwat bersama seorang wanita di sebuah hotel di Batu Feringghi, Sabtu lepas.

Nur Diayana Norslan, 29, bekas pembantu peribadi kepada Salim, juga mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya, yang menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Salim, yang juga bekas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi, 16 April lepas, pada kira-kira pukul 5 pagi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 27 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana mengikut Seksyen 27 (b) enakmen yang sama.

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu itu, dalam prosiding itu, peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,000 daripada RM3,000, seperti yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

"Jumlah RM3,000 dicadangkan pihak pendakwaan adalah terlalu tinggi dan seolah-olah menghukum mereka sebelum perbicaraan selesai kerana jumlah itu sama dengan denda maksimum dalam pertuduhan itu.

"Sudah menjadi kebiasaan dan amalan mahkamah syariah menetapkan jaminan antara RM1,000 dan RM1,500 bagi kes khalwat," katanya.

Wan Faridulhadi turut memberitahu mahkamah bahawa isteri Salim yang turut hadir pada prosiding hari ini bersedia untuk menjadi penjamin kepada kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Ketua Pendakwa Syarie Mohd Zulkhairi Aziz memohon supaya jaminan dibayar oleh pemastautin di negeri itu.

Nik Bukhari Hashimy menetapkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin bermastautin di Pulau Pinang bagi setiap tertuduh.

Salim tiba di mahkamah bersama isterinya pada kira-kira pukul 8 pagi manakala Nur Diayana tiba berasingan pada kira-kira pukul 9.10 pagi.

Sementara itu, di luar mahkamah, Wan Faridulhadi berkata Salim dan Nur Diayana telah berkahwin di luar negara dan dalam proses mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini.

- Bernama


No comments:

Post a Comment

halaman