Friday, April 15, 2011

Tentera nafikan Raja Petra: Kol Azmi digantung tugas

Kementerian Pertahanan pada Jumaat menafikan wujudnya maklumat berkaitan dengan pembunuhan model Mongolia, Altantunya Shaaribu yang dirujuk sebagai laporan risikan oleh pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin dalam akuan bersumpah (SD) yang dikemukakan tiga tahun lalu.
Raja Petra dalam pendedahan eksklusifnya kepada TV3 Rabu lalu mendakwa, maklumat tersebut diperoleh daripada beberapa sumber termasuklah, daripada Kolonel Azmi Zainal Abidin yang juga orang nombor dua dalam unit risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika itu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan tengah hari tadi, Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin menegaskan bahawa maklumat yang disampaikan oleh Kolonel Azmi kepada Raja Petra adalah palsu dan tidak pernah wujud dalam simpanan ATM.
Azizan berkata Kolonel Azmi yang dimaksudkan oleh Raja Petra adalah seorang pegawai Tentera Darat dan beliau telah melepaskan jawatan Timbalan Ketua Anggota Tentera Cawangan Khas sejak 14 Januari 2008.
Beliau kini sedang bertugas di Markas Tentera Darat.
"Tindakan Kolonel Azmi adalah bersifat peribadi dan tiada sebarang kaitan dengan ATM," katanya.
Azizan menegaskan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan secepat mungkin bagi menyiasat dakwaan yang dilaporkan itu.
"Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM," katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata pegawai kanan Tentera Darat itu telah dilepaskan daripada sebarang tugas rasmi sehingga siasatan terhadap beliau selesai.

No comments:

Post a Comment

halaman