Friday, April 8, 2011

Mesyuarat kabinet : Mana penting suruhanjaya diraja untuk video seks atau kematian sarbani


Tumpuan dijangka beralih kepada Kabinet yang mengadakan mesyuarat mingguan pagi ini sama ada akan membincangkan desakan penubuhan suruhanjaya diraja siasatan.
Ketika wujud polemik mengenai keperluan sebuah suruhanjaya diraja berhubung pendedahan rakaman video seks lebih dua minggu lalu, didakwa melibatkan aksi seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat, kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed, 56, kelmarin juga mencetuskan desakan ke arah itu.
Pagi kelmarin, Ahmad Sarbani, yang ditahan semalaman 1 April lalu untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram, ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini.
Isu video seks menjadi perhatian selepas rakamannya yang didakwa diambil akhir Februari lalu dipertontonkan kepada media pada 21 Mac lalu oleh “Datuk T”.
Kedua-dua kes  itu masih disiasat polis.
Mengulas desakan pembangkang supaya suruhajaya diraja ditubuhkan untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, Nazri berkata, ia tidak menjadi masalah jika melibatkan kepentingan awam sekali gus membersihkan imej SPRM.
“Sekiranya pembangkang mahu suruhanjaya ditubuhkan, maka penubuhan suruhanjaya diraja juga perlu untuk menyiasat rakaman video seks membabitkan Ketua Pembangkang.
“Saya akan bangkitkan dalam mesyuarat jemaah menteri esok (hari ini) kerana apa yang penting kebenaran dan siasatan polis terlebih dahulu,” kata beliau dipetik Sinar Harian hari ini.
Semalam, Nazri turut menerima dua memorandum Perkasa yang meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat video aksi seks itu.
Memorandum kedua pula mahu kerajaan menubuhkan sama ada suruhanjaya diraja atau mengadakan inkues bagi menyiasat kematian Ahmad Sarbani.
Presiden Persatuan Bekas Kastam Malaysia Datuk Abdul Rahman Manan juga mahukan satu suruhanjaya diraja diwujudkan untuk menyiasat insiden melibatkan kakitangan kastam itu.
“Kematian yang berlaku di pejabat SPRM itu adalah yang kali kedua dan ramai meragui cara kematian mangsa. Oleh itu, suruhanjaya ini perlu diwujudkan bagi menjaga imej SPRM dan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” katanya.
Bagaimanapun semalam di Sarawak, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan tiada cadangan buat masa ini untuk mengadakan satu suruhanjaya diraja walaupun kematian melibatkan premis SPRM.
Sebuah suruhanjaya diraja sedang menyiasat kematian bekas pegawai DAP Teoh Beng Hock dan tanggungjawabnya dijangka selesai dalam waktu terdekat.
Laporan media juga memetik Transparency International Malaysia (TI-M) mahukan supaya satu inkuiri bebas berhubung kematian Ahmad Sarbani.
Presidennya TI-M Datuk Paul Low berkata, inkuiri itu juga perlu meliputi prosedur operasi, proses dan garis panduan yang diamalkan SPRM dalam menyiasat kes rasuah.
Kata beliau, sesiapa jua yang berada di bawah tanggungjawab SPRM sama ada saksi, suspek atau pelawat perlu diberi perlindungan asas pada setiap masa.
“Kami juga mahu supaya dilaksanakan dengan segera syor,” katanya dalam satu kenyataan.

No comments:

Post a Comment

halaman