Thursday, April 7, 2011

Lapan Pegawai Imigresen Dicaj Terima Rasuah

Seramai lapan pegawai imigresen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan rasuah berhubung urusan kemasukan warganegara Indonesia ke Malaysia pagi tadi.

Kesemua tertuduh bertugas sebagai Pegawai Imigresen di Bahagian Perkapalan, Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kira-kira jam 11 pagi tadi, empat daripada tertuduh kelihatan memasuki perkarangan mahkamah. 

Salah seorang tertuduh, Md Shahrizal Che Dan berhadapan dengan tuduhan paling banyak iaitu 31 pertuduhan berbanding yang lain.

Md Shahrizal didakwa menerima suapan sebanyak RM 51, 760 melalui 31 transaksi dalam masa tiga bulan iaitu pada 21 April sehingga 16 Jun 2010.

Difahamkan sogokan itu diterima beliau melalui beberapa transaksi dari akaun Public Bank cawangan Klang, Port Klang, Taman Sentosa dan Bukit Tinggi.

Md Shahrizal diwakili peguam, SP Raman dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Sementara seorang lagi tertuduh, Nor Shahazlina Sulaiman, telah menerima wang sogokan sebanyak RM2,900 dari Ahmad Zamri Mohd Husin pada 29 Ogos 2010 melalui transaksi akaun Maybank cawangan Pandamaran.

Tertuduh diwakili peguam, Wan Shahrizal Wan Ladin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM 6,000 oleh seorang penjamin. Hakim Asmadi Hussein telah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Mei depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhamad Sinti.

Sementara itu di bilik yang berasingan, Mohamad Izuwanshah menghadapi 25 pertuduhan rasuah, tertuduh didakwa menerima rasuah sebanyak RM31,690 melalui bank CIMB cawangan Port Klang dan Stesen Minyak Petronas Jalan Pandamaran Klang.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan diikat jamin sebanyak RM 10,000 dengan seorang penjamin.

Seorang tertuduh lagi, Mohamad Huzzail telah menerima sogokan sebanyak RM 500 pada 25 September 2010.

Hakim, M Bakri Abd Majid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM 4,000 dan menetapkan sebutan semula kes bagi kedua-dua tertuduh adalah pada 27 April depan. 

Manakala seorang lagi pegawai imigresen, Ahmad Zahed Abd Alim, 28, dituduh menerima RM13,590.

Mohd Hafiz Zakaria pula didakwa menerima rasuah melibatkan RM8,640, Mohd Khairul Haqimie Kamarudin, RM7,350, dan Azmir Mahadi, RM5,710.

Kes melibatkan Ahmad Zahed, Khairul, Hafiz dan Azmir akan disebutkan semula esok.

Kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Mereka boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment

halaman