Friday, April 29, 2011

Sivarasa: Anwar terpaksa jawab soalan tak relevan

Peguam Sivarasa Rasiah menyifatkan soalan yang diajukan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dipanggil memberi keterangan dirangka Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ini berikutan katanya, corak soalan yang dikemukakan meragukan selain mendapati ianya tidak relevan dengan siasatan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
"Gaya soalan yang ditujukan jelas ada campur tangan politik. Ini bukan polis yang buat tapi Gani Patail yang arahkan buat. Jadi macam-macam soalan ditanya dan ada yang tidak relevan dengan siasatan kes," kata beliau.

Beliau yang hadir bersama Anwar memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini berkata, polis seolah-olah tidak memberi tumpuan kepada laporan jenayah yang dibuat Ketua Pembangkang itu bulan lalu selepas trio 'Datuk T' menayangkan rakaman video seks.
Dalam kenyataannya kepada media, Sivarasa turut menegaskan kepada polis berhubung tindakan yang belum diambil terhadap kumpulan Datuk T itu yang secara jelas melakukan intimidasi jenayah dan penyebaran bahan lucah.

"Kenapa sampai sekarang selepas mereka mengakui membuat (jenayah), tiada apa-apa tindakan. Jadi itu yang kita beritahu mereka," ujarnya lagi.

Sivarasa turut memperlihatkan dokumen yang diserahkan oleh 'Datuk T' kepada Anwar sebagai bukti nyata perlakuan ugutan mendesak Ketua Umum dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail supaya meletakkan jawatan.

No comments:

Post a Comment

halaman