Thursday, April 7, 2011

Kastam serah kepada Polis siasat kematian pegawai kastam

Kastam Diraja Malaysia tidak bercadang melakukan siasatan dalaman berhubung kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad
Sarbani Mohamed semalam.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohamed Khalil Yusuf berkata siasatan kes itu sebaliknya memadai dilakukan oleh pihak polis.

Sebagai individu yang tidak berada di tempat kejadian, Mohamed Khalil berkata adalah tidak wajar untuk beliau membuat ulasan berhubung insiden itu.
  
"Kita kena hormat dengan yang telah pergi, saya tidak boleh komen banyak dan serah perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

"Saya dan rakan-rakan lain tidak tahu banyak kerana tidak berada di sana, jadi biarlah pihak yang berkenaan melaksanakan tugas mereka," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini malam tadi.
      
Mohamed Khalil berada di Terengganu untuk menghadiri Mesyuarat Pengarah Kastam Semalaysia kali ke-65 di Tasik Kenyir yang bermula Isnin lepas dan sepatutnya berakhir hari ini.

Ahmad Sarbani, 56, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di Kuala Lumpur pada pukul 10.15 pagi semalam.

Ahmad Sarbani adalah antara pegawai kastam yang ditahan SPRM dalam Operasi 3B pada pukul 1 petang, 1 April lepas di Pejabat Kastam, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang bagi membantu siasatan rasuah, aktiviti pengubahan wang haram dan pelbagai kesalahan lain. Bagaimanapun, beliau dibebaskan dengan jaminan pada 2 April.

Sambil melahirkan rasa sedih warga Kastam terhadap insiden yang melibatkan pegawainya itu, Mohamed Khalil mengarahkan semua badan keluarga dalam jabatan itu membantu meringankan beban yang dihadapi keluarga Ahmad Sarbani.

Mohamed Khalil turut meminta pegawai-pegawainya yang terlibat dalam siasatan Suruhunjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak bertindak melulu sebaliknya perlu bertenang, bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM.
  
"Janganlah sampai tertekan sehingga melakukan sesuatu yang tidak baik. Kita juga telah arah pengarah setiap negeri supaya beri khidmat nasihat dan bantu apa yang perlu.

"Kita akan beri semangat, mereka juga harus sabar dan beri kerjasama kepada SPRM, kalau di bawah siasatan, jelaskan apa yang SPRM mahukan, mungkin tidak ada kes," katanya.
  
Sementara itu mengulas mengenai dakwaan mengatakan pegawai Kastam di Pelabuhan Klang memboikot kerja pada pukul 2.30 petang semalam, Mohamed Khalil berkata jika dakwaan itu benar, Kastam akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat.

"Kita tidak pernah keluar arahan supaya mereka berhenti kerja. Saya telah arah pegawai lain turun padang pantau sama ada pegawai kita ada bertugas di tempat masing-masing dan disahkan ada.

"Bagaimanapun jika benar dakwaan itu (memboikot kerja) saya akan ambil tindakan dan kita tidak akan berkompromi," katanya.

Mohamed Khalil berkata sejak siasatan dijalankan, beliau telah mengarahkan Pusat Pengurusan Krisis ditubuhkan di pelabuhan itu dengan diketuai sendiri oleh Pengarah Kastam Selangor Datuk Aziz Yaakub.

Pakar penilai taksiran dari ibu pejabat juga telah diarah membantu kerja di pelabuhan itu bagi mempercepatkan proses eskport import, katanya.-BERNAMA

No comments:

Post a Comment

halaman