Sunday, June 20, 2010

Dakwa Saiful Apek: Polis keliru

“Polis dalam dilema sama ada mahu mendakwa pelawak terkenal dan lima lagi rakannya atas kesalahan memiliki dadah ataupun menghisap dadah,” kata Mohd Fadly Hashim, peguam yang mewakili semua tertuduh.

Menurut Mohd Fadly, polis membenarkan semua anak guamannya dibebaskan dengan jaminan polis kelmarin kerana belum dapat memutuskan dakwaan yang akan dikenakan terhadap keenam-enam mereka.


“Anak guam saya agak sukar untuk didakwa berhubung kes memiliki dadah, kerana semua mereka ditahan di rumah yang boleh diakses ramai orang dan saya nak maklumkan di sini, rumah yang diserbu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) daerah Subang Jaya Sabtu lalu bukan milik pelawak terbabit, tetapi adalah milik salah seorang daripada lima rakannya yang ditahan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, disebabkan faktor itulah tempoh dua minggu diberikan polis bagi menentukan sama ada akan mendakwa pelawak dan rakan-rakannya ataupun tidak.


“Pihak polis berkemungkinan mendakwa mereka kerana positif dadah dan jika sabit kesalahan, atas pengalaman saya sebagai peguam, semua mereka hanya akan didenda.


“Mereka juga mungkin akan menjalani tempoh pemerhatian saja kerana ia adalah kesalahan pertama. Itupun jika ujian air kencing kali kedua dijalankan makmal membuktikan mereka positif dadah,” katanya.


Mohd Fadly berkata, disebabkan menunggu keputusan ujian berkenaan jugalah semua anak guamannya dibebaskan dan pihaknya akan dimaklumkan pihak polis berhubung perkembangan kes itu kelak.-(sumber HMO)



No comments:

Post a Comment

halaman