Wednesday, June 16, 2010

Polis bayar pampasan kepada mangsa pukulan maut

Surirumah yang kematian suami akibat dipukul seorang konstabel, akhirnya mendapat pampasan sebanyak RM90,000 daripada pihak polis dan kerajaan.

Siti Rohana Mohamed, 27, mendapat pampasan itu selepas lima daripada enam defendan iaitu Ketua Polis Balai Polis Puchong, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Ketua Polis Negeri Selangor, Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia bersetuju menyelesaikan kes saman RM2 juta di luar mahkamah terhadap mereka.


Peguam M Manoharan yang mewakili Siti Rohana berkata kelima-lima defendan bersetuju membayar jumlah itu tanpa mengaku bertanggungjawab dalam insiden yang berlaku pada 26 Mei 2002.


Manoharan juga berkata pengurusan kes itu berhubung defendan pertama iaitu Konstabel Mohd Izwan Sahak, 28, ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan ditetapkan.


Dalam samannya, Siti Rohana berkata, suaminya Ramli Othman sedang menunggang motosikal bersama-sama Mohamed Fadelli Maulud ketika dipukul Mohd Izwan secara tiba-tiba tanpa sebarang amaran pada kira-kira 1 tengah hari, pada hari kejadian.


Beliau mendakwa tindakan Mohd Izwan menghayun kayu dan memukul kepala Ramli sehingga menyebabkan kematiannya adalah satu tindakan bersifat ganas, membuta tuli, berniat jahat, cuai dan dengan penuh niat untuk membunuh.


Siti Rohana juga mendakwa Mohd Izwan gagal memberikan apa-apa pertolongan cemas bagi menyelamatkan suaminya walaupun abang suaminya, Rahmad Othman, menjerit-jerit meminta pertolongan.


Oleh itu, beliau menuntut suatu deklarasi bahawa defendan telah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan serta suatu deklarasi bahawa defendan telah gagal atau enggan atau cuai dalam mematuhi Seksyen 20,21 dan 24 Akta Polis 1967.


Siti Rohana juga menuntut ganti rugi teruk atau teladan, ganti rugi khas berjumlah RM2,020,652.00 dan faedah yang difikirkan wajar oleh mahkamah.


Pada 15 Okt 2008, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Mohd Izwan setelah didapati bersalah menyebabkan kematian Ramli.


-Bernama

No comments:

Post a Comment

halaman